Jika anda membaca ulasan kami untuk Samsung Galaxy S24+ sebelum ini, anda akan tahu yang ia adalah satu telefon yang baik untuk sesi permainan mudah alih. Cip Exynos 2400 adalah satu cip yang berkemampuan untuk bermain permainan dengan tetapan tertinggi, termasuk juga permainan berat seperti Genshin Impact.
Namun, masih ada beberapa perkara yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan pengalaman bermain di telefon ini:
Gaming Hub

Gaming Hub merupakan aplikasi terpasang di mana-mana peranti Samsung, selain menjadi ‘folder’ untuk kesemua permainan mudah alih, ia juga menyertakan tetapan ‘Game Booster’ yang mempunyai pelbagai tetapan untuk mempertingkatkan pengalaman bermain. Antaranya ‘Game Optimisation’ yang pemain boleh tukar untuk mendapat prestasi terbaik ataupun menjimatkan penggunaan bateri. Selain itu, pengguna juga boleh memasang Game Plugins bersama dengan tambahan Perf Z untuk melihat prestasi semasa sesuatu permainan.
Set Fon Telinga

Samsung Galaxy S24+ mempunyai pembesar suara yang baik, kami dapat bermain ataupun menonton pelbagai kandungan video tanpa secara terus melaluinya, termasuk juga mendengar lagu. Namun, untuk pengalaman terbaik terutama semasa berada di tempat awam, penggunaan set fon telinga sangat membantu. Jika anda menggunakan set fon telinga oleh Samsung seperti Galaxy Buds2 Pro, ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik bukan sahaja melalui kualiti bunyi tetapi juga proses sambungan set fon telinga ini.
Pengecasan Pantas

Samsung Galaxy S24+ mempunyai kapasiti bateri 4900 mAh dan seperti kami nyatakan di dalam ulasan, ia mempunyai ketahanan yang memuaskan. Namun, jika anda bermain permainan mudah alih dengan lebih kerap, adalah sangat digalakkan untuk mempunyai palang pengecas yang menyokong 45W. Palang pengecas tidak disertakan di dalam kotak, oleh itu anda perlu dapatkan secara berasingan ataupun menggunakan yang sedia ada selagi ia menyokong pengecasan pantas 45W yang membolehkan pengacasan penuh dalam masa sejam lebih daripada sifar.
Alat Kawalan

Telefon pintar sekarang mempunyai sokongan yang baik untuk alat kawalan, permainan mudah alih juga mula memberikan sokongan untuk penggunaan alat kawalan seperti permainan Call of Duty Mobile dan Honkai: Star Rail. Mengawal terus melalui skrin sesentuh sudah menjadi kebiasaan, dan mungkin cara yang paling mudah untuk bermain permua akan tetapi menggunakan alat kawalan akan menjadikan sesi permainan yang lebih baik terutama dapat menggunakan skrin sepenuhnya serta bagi kami ia adalah lebih selesa. Anda boleh gunakan alat kawalan seperti DualSense dan alat kawalan Xbox, atau alat kawalan khusus untuk telefon pintar seperti Backbone.
Google Play Pass

Google Play Pass merupakan perkhidmatan oleh Google melalui Play Store, yang menawarkan ratusan permainan dan juga aplikasi dengan langganan bulanan. Google Play Pass ditawarkan dengan harga RM10.99 sebulan ataupun RM99 setahun. Ia menyertakan pelbagai permainan menarik seperti Stardew Valley, Goat Simulator, Limbo, dan Terraria yang boleh didapatkan tanpa bayaran tambahan. Anda perlu mempunyai langganan yang aktif untuk bermain mana-mana permainan walaupun yang sudah dimuat-turun.
Samsung Galaxy S24+ ditawarkan dengan harga RM4899 untuk 12/256GB dan RM5399 untuk 12/512GB dengan tujuh pilihan warna.