Ketua PlayStation Studios, Hermen Hulst bersama dengan Hideo Kojima ketika acara State of Play telah mengumumkan yang Kojima Productions akan membangunkan permainan dan IP baharu iaitu Physint. Permainan ini akan membawa genre ‘aksi-pengintipan’ satu genre yang tidak asing lagi untuk Hideo Kojima selaku pencipta siri Metal Gear.
Di dalam video pengumuman ini, Hideo Kojima mengatakan yang pembangunan untuk Physint ini akan bermula selepas Death Stranding 2, di mana pada acara yang sama Kojima Production telah mengumumkan yang Death Stranding 2 On The Beach akan dilancarkan pada tahun 2025.
Selain itu, Hideo Kojima juga mengatakan yang Physint merupakan satu permainan video yang interaktif tetapi pada masa yang sama ia juga merupakan satu filem. Beliau juga mengatakan yang ingin untuk melangkaui sempadan di antara filem dan permainan video melalui permainan ini.
Kojima Productions pada tahun 2021 juga telah membuka cawangan baharu di Amerika Syarikat yang dikatakan akan memfokuskan kepada TV, filem dan muzik, permainan ini mungkin adalah sebahagian daripada projek studio baharu tersebut. Mereka juga sedang membangunkan permainan bersama dengan Xbox Game Studios iaitu OD.