Skip to main content

Jika ada perkara yang benar-benar menggambarkan filem untuk bergelak-tawa, E-Sarn Zombie adalah filem tersebut. Bagi saya filem ini tidak menawarkan bahagian lain dengan baik seperti penceritaan, perwatakan akan tetapi melalui pelbagai adegan jenaka yang disertakan saya tidak kering gusi dan membuatkan saya lupa mengenai segala cacat cela di dalam filem ini. E-Sarn Zombie adalah filem dari Thailand yang diarahkan oleh Tanawat Aiemjinda yang juga filem pertama beliau sebagai pengarah. Filem ini melibatkan senarai pelakon seperti Pacahara Chirathivat dan Chutimon Cheungcharoensukying iaitu pelakon watak utama di dalam filem Bad Genius dan Hunger.

Filem ini adalah mengenai watak utama Tonnun iaitu pekerja untuk sebuah pasaraya di E-Sarn, dia sering mencuri daging-daging mentah yang tamat tempoh untuk di bawa pulang dan diberi makan kepada orang bawah jagaan bapanya. Selepas Itt iaitu pengurus pasar raya tersebut mengetahui perkara tersebut, setiap daging yang ingin dibuang perlu dimasukkan di dalam bahan kimia dahulu. Terdesak untuk mendapatkan daging, Tonnun mengambil daging yang telah dimasukkan dalam bahan kimia tersebut untuk di bawa pulang, selepas memakannya zombi terjadi, dan tidak lama selepas itu, ia mula merebak keseluruh kampung.

Premis penceritaan adalah ringkas sahaja, tetapi penyampaiannya bagi saya sedikit bercelaru dan mengelirukan, babak-babak awal filem ini juga membawa perasaan yang sama, ini membuatkan perkembangan watak dan juga pembinaan perhubungan watak mengecewakan dan apabila perhubungan, terutama di antara dua watak utama iaitu Itt dan Tonnun menjadi fokus lebih penting di dalam penceritaan, ia kurang memberi impak. Namun, seperti saya katakan sebelum ini, kesemua perkara ini kurang kesannya kerana filem ini membuatkan saya bergelak tawa dengan pelbagai jenaka yang ada, termasuk juga jenaka-jenaka yang bersifat ‘tempatan’ ataupun jenaka yang menggambarkan Thailand.

Pembawaan kisah zombi di dalam filem ini adalah kurang menarik dari segi punca seseorang menjadi zombi, kerana saya sedikit keliru dengan permulaannya, namun filem ini membawa perkara yang unik bagi zombi-zombi ini, ia juga adalah sebahagian daripada jenaka yang bagi saya sangat menggelikan hati. Filem ini juga sekurang-kurangnya berjaya untuk hadir dengan zombi yang agak menyeramkan walaupun pada akhirnya ia masih lagi sekadar zombi yang kita sudah kenali dan perlawanan di antara Itt, Tonnun bersama dengan beberapa watak lain juga dilakukan dengan memuaskan tidak kira secara serious ataupun sebagai satu lagi bahan jenaka.

Akhir kata, E-Sarn Zombie bukanlah satu filem yang baik, penceritaan dan perwatakan yang ada kurang menarik dan awal filem agak mengelirukan membuatkan world building dan juga pengenalan premis penceritaan kurang menjadi. Namun, sebagai satu filem komedi, mereka berjaya membawa bahagian tersebut dengan jayanya saya sekadar ketawa sahaja dengan setiap jenaka yang hadir sehingga lupa bahagian-bahagian lain yang kurang menarik. Jika komedi sudah mencukupi untuk anda, filem ini mungkin satu yang filem yang baik.

E-Sarn Zombie
E-Sarn Zombie adalah benar-benar filem komedi, ia akan membuatkan penonton tidak kering gusi dengan pelbagai jenaka dan adegan yang melucukan, walaupun bukan satu filem yang baik kerana penceritaan serta perwatakan kurang menarik.
Positif
Filem yang sangat mencuit hati
Negatif
Penceritaan tidak disampaikan dengan baik
Perwatakan kurang menjadi
7

Leave a Reply

Final Score