Microsoft hari ini telah mengumumkan di dalam proses penstrukturan semula Microsoft Gaming selepas pengambil-alihan beberapa studio besar seperti Activision Blizzard dan ZeniMax sebelum ini, mereka telah mengumumkan pemecatan 1,900 pekerja yang melibatkan pasukan Activision Blizzard, ZeniMax dan juga Xbox.

Selain itu, Blizzard juga telah mengumumkan Presiden Mike Ybarra dan Pegawai Eksekutif Rekaan Allen Adham meninggalkan syarikat tersebut dengan presiden baharu akan diumumkan tidak lama lagi. Selain itu, mereka juga mengumumkan pembatalan permainan ketahanan hidup Odyssey.

Menurut Jez Corden, Editor untuk Windows Central, antara bahagian utama yang terkesan ialah bahagian Khidmat Pelanggan dengan ia akan dilakukan oleh pihak ketiga, bahagian komuniti dan juga menutup bahagian yang bertanggungjawab untuk versi fizikal bagi permainan Xbox.

Dengan pengumuman ini, ia telah menjadikan 5600 pekerja di dalam industri permainan video telah hilang pekerjaan berdasarkan data yang dikumpul oleh Game Industry Layoffs iaitu 53% daripada jumlah keseluruhan pada tahun lepas, walaupun kita baru sahaja berada di bulan Januari. Antara syarikat utama yang melakukan pemecatan pada bulan ini ialah Unity dengan 1800 pekerja, Twitch dengan 500 pekerja, dan Riot Games dengan 530 pekerja.

Malangnya ini bukanlah yang terakhir kita akan dengar mengenai pemecatan pekerja, dengan industri permainan video masih sedang melalui perubahan pasca-covid, jumlah pekerja yang akan hilang pekerjaan pada tahun ini mungkin jauh lebih tinggi berbanding tahun lepas.

Sohor Kini