Ulasan The Holdovers

Dari semasa ke semasa akan ada filem yang apabila saya mula menonton sesuatu filem, saya akan berasa tenang dan ingin duduk dengan selesa yang mungkin untuk membolehkan penceritaan disampaikan kepada saya tanpa sebarang gangguan. Filem The Holdovers arahan Alexander Payne yang sebelum ini hadir dengan filem seperti Downsizing, Nebraska dan Citizen Ruth adalah salah satu filem yang saya boleh katakan memberikan kesan tersebut. Perkara utama yang memberikan kesan tersebut adalah dialog, dan filem ini mempunyai dialog yang saya sangat suka dari satu ayat ke satu ayat yang lain. Ini ditambah lagi dengan penyampaian yang baik oleh setiap pelakon yang terlibat.

Salah seorang pelakon tersebut ialah Paul Giamatti yang membawa watak Paul Hunman iaitu seorang profesor di Barton Academy, dia tidak disukai oleh pelajar dan juga rakan pengajar yang lain kerana sifatnya yang tegas dan juga kerana mempunyai personaliti yang tidak mesra. Semasa cuti Krismas dan juga hujung tahun, Paul Hunman diarahkan untuk menjaga beberapa orang pelajar yang tidak pulang ke kampung, salah seorang pelajar tersebut ialah Angus Tully lakonan Dominic Sessa dan bersama mereka ialah Mary Lamb lakonan Da’Vine Joy Randolph yang merupakan tukang masak dan juga baru sahaja kehilangan anak lelaki yang terbunuh semasa berkhidmat sebagai tentera.

Penceritaan pada awalnya lebih memfokuskan kepada profesor garam bersama dengan beberapa pelajar yang nakal akan tetapi ia kemudian menarik fokus kepada tiga watak utama di atas dan perhubungan di antara mereka bersama dengan perhubungan dengan diri sendiri. Filem ini menyampaikan perwatakan, permasalahan dan juga perkembangan mereka dengan sangat baik sekali. Kesemua ini, disampaikan dengan sangat berkesan melalui dialog yang seperti saya katakan di atas adalah antara kekuatan utama bagi filem ini. Filem ini tiada aksi, kebanyakan filem ini adalah perbualan di antara beberapa watak, tetapi di dalam perbualan segala perkara disampaikan dengan jelas. Ia mengingatkan saya kepada filem-filem hebat kerana dialognya seperti The Breakfast Club dan Dead Poets Society.

Filem ini tidak perlu untuk memperlihatkan imbas kembali ataupun penerangan yang lanjut untuk membentuk watak-watak ini, sebaliknya setiapnya disampaikan dengan adegan ringkas dan juga dialog yang sudah cukup berkesan untuk menyampaikan kesemua yang cuba disampaikan. Filem ini adalah satu filem yang saya tonton dengan sangat tenang akan tetapi filem ini juga akan mencuit dan menjentik emosi saya. Tidak kira membuat saya gelak tawa, ataupun bersedih, filem ini melakukannya tanpa satu adegan yang jelas. Jenaka hadir tanpa saya menjangka ada “punchline”, kesedihan hadir tanpa perlu pembinaan terlebih dahulu sebaliknya ia sekadar berlaku. Filem ini berjaya melakukannya kerana penulisan dan lakonan yang sangat baik oleh semua yang terlibat.

Ada kata-kata oleh W. L. Watkinson yang saya dengar di dalam permainan Days Gone, “Adalah lebih baik untuk menyalakan lilin berbanding memarahi kegelapan”, ia adalah kata-kata yang menggambarkan dengan sangat baik mengenai kisah di dalam filem ini. Setiap daripada watak ada sebab untuk mereka membenci dengan kehidupan, namun sebaliknya mereka memilih untuk menghadapi dengan cara tersendiri. Saya tidaklah dapat relate dengan kesemua permasalahan mereka, akan tetapi kerana penyampaian serta penulisan yang baik, ia menjadikan saya sekurang-sekurangnya mempunyai perasaan empati dengan setiap watak-watak ini.

The Holdovers bukan sahaja mempunyai latar masa tahun 1970, akan tetapi estetik filem ini juga ke arah gaya filem lama yang bagi saya membantu untuk membuatkan saya teringat kepada-kepada filem lama yang mempunyai gaya yang sama, ia menjadikan filem ini teras lebih tulen. Jika saya tidak mengetahui mengenai filem ini dan orang mengatakan yang ini adalah filem lama, saya akan sekadar ia bersetuju kerana filem ini benar-benar nampak lama tetapi dengan cara yang baik.

Jika anda mencari filem yang membuatkan anda gelak tawa, walaupun bukan satu filem komedi, membuatkan anda menangis walaupun bukan filem drama, filem yang benar-benar memperlihatkan baik dan buruk manusia dengan baik, serta mencari filem yang akan membuangkan anda tenang melalui lakonan dan juga dialog, The Holdovers adalah satu filem yang harus ditonton oleh semua. Semasa saya menonton, filem ini tidak menyertakan sari kata, saya tidak pasti jika perkara yang sama untuk tayangan umum, walaupun tiada sari kata, ia bukan satu masalah kerana percakapan dan dialog yang disampaikan adalah jelas.

Penafian: Tayangan untuk The Holdover disediakan oleh GSC. Filem ini akan ditayangkan di GSC yang terpilih bermula pada 25 Januari 2024.

The Holdovers
Satu filem yang penuh pengisian, penyampaian yang berkualiti yang akan membuatkan anda ketawa, menangis dan secara amnya satu filem yang tenang tetapi menjentik emosi anda. Penulisan dan lakonan yang sangat berkualiti menjadikan filem ini satu filem 'klasik'.
Positif
Lakonan Berkualiti Tinggi
Penceritaan Menarik
Penulisan Yang Baik
Negatif
10

Sohor Kini