Skip to main content

Samsung pada minggu ini telah melancarkan model terbaru bagi penawaran telefon mercu mereka iaitu Samsung Galaxy S24, Samsung Galaxy S24+ dan Samsung Galaxy S24 Ultra. Maklumat lanjut dan juga penawaran-penawaran model lain boleh dibaca melalui pautan ini, melalui artikel ini saya ingin kongsi pandang pertama untuk Samsung Galaxy S24+ yang saya sudah luangkan masa lebih kurang 24 jam lepas.

Model yang disediakan oleh Samsung untuk saya cuba ini ialah model yang mempunyai storan 256GB dengan RAM 12GB, model lain disertakan dengan storan 512GB. Model ini mempunyai tujuh pilihan warna dan yang saya gunakan ialah Amber Yellow. Spesifikasi lain adalah ia disertakan dengan skrin bersaiz 6.7-inci iaitu 0.1-inci lebih besar berbanding Samsung Galaxy S23+ tahun lepas. Perbezaan sedikit saiz skrin ini dicapai dengan Samsung mengurangkan lagi takuk yang terdapat di skrin berbanding dengan sebelum ini. Samsung menggunakan panel yang sama untuk kesemua model siri ini iaitu AMOLED 2X yang bagi saya merupakan antara paparan terbaik di pasaran telefon pintar sekarang oleh itu saya sangat berpuas hati dengan kualiti gambar dan warna di telefon ini semasa bermain permua dan juga menonton kandungan video.

Selain saiz skrin, S24+ juga menyertakan resolusi skrin yang lebih tinggi iaitu QHD+ iaitu 1440×3120 dengan kadar segar semula 120Hz. Resolusi ini adalah lebih tinggi berbanding penawaran S23+ iaitu FHD+ atau 1080×2340. Oleh itu, jika saya membuka tetapan untuk S24+ saya kini boleh memilih tiga tetapan resolusi iaitu HD+, FHD+ dan QHD+ ini sudah semestinya menjadikan telefon ini lebih “future proof” dan juga memberikan pengalaman yang lebih baik kerana paparan adalah lebih tajam terutama semasa melihat kandungan-kandungan yang mempunyai resolusi sama atau lebih tinggi. Namun, menggunakan QHD+ sudah semestinya akan menggunakan bateri lebih berbanding pilihan resolusi yang lain.

Bercakap mengenai bateri, S24+ menyertakan bateri bersaiz 4900mAh yang juga lebih besar berbanding S23+, memberikan lebih bateri untuk ‘menampung’ kegunaan resolusi QHD+. Sepanjang saya menggunakan selama 24 jam lepas, saya boleh katakan yang bateri adalah mencukupi untuk kegunaan sehari penuh, termasuk juga bermain beberapa permua seperti Marvel Snap dan Honkai: Star Rail dan menggunakan tetapan resolusi tertinggi. Seperti model lepas, S24+ mempunyai pengecasan pantas sehingga 45W pada pengujian saya untuk kali pertama, ia mengambil masa lebih kurang sejam untuk pengecasan penuh daripada sifar.

Bagi tahun ini, model selain daripada S24 Ultra, termasuk juga S24+, Samsung telah memilih untuk menggunakan cip pemprosesan mereka sendiri iaitu Exynos 2400 berbanding cip Snapdragon. Pada percubaan awal saya, saya tidak mempunyai masalah untuk bermain tetapan tertinggi bagi dua permainan yang saya nyatakan sebelum ini, badan telefon terasa sedikit panas tetapi tiada masalah untuk prestasi itu sendiri. Di atas kertas, cip ini sepatutnya menyamai prestasi yang di bawa oleh Snapdragon 8 Gen 3, oleh itu di ulasan penuh kelak saya akan cuba untuk membandingkan di antara dua cip ini.

Samsung, semasa pengumuman untuk Samsung Galaxy S24 memfokuskan kepada AI, dengan pelbagai fungsi yang menarik seperti Call Assist, Chat Assist, Note Assist, Transcript Assist, Circle to Search dan juga suntingan gambar dan Video. Namun, buat masa ini fungsi AI ini tidak secara langsung melibatkan penggunaan bermain permua, ataupun menonton kandungan hiburan oleh itu, ia bukan sesuatu yang saya akan uji dengan lebih lagi tetapi ia sudah semestinya fungsi yang menarik untuk kegunaan secara umum. Jika anda berminat untuk mengetahui lanjut mengenai penawaran Samsung Galaxy S24+ dengan lebih menyeluruh anda boleh baca – Pandang Pertama Samsung Galaxy S24 Dan S24+ – Exynos Kembali Garang.

Seperti saya nyatakan di atas Samsung Galaxy 24+ ditawarkan dengan dua pilihan iaitu 256GB storan dengan harga RM4899 dan 512GB storan dengan harga RM5399 iaitu RM900 lebih murah berbanding penawaran paling murah untuk Samsung Galaxy S24 Ultra. Oleh itu, bagi saya jika anda tidak terlalu mementingkan penawaran yang di bawa oleh model Ultra iaitu kamera, saiz skrin, S-Pen dan juga badan menggunakan Titanium, S24+ adalah satu pilihan yang baik kerana masih membawa apa yang baik bagi siri ini dengan harga yang lebih berpatutan tanpa pengorbanan terlalu besar terutama jika anda sekadar ingin mencari telefon baharu untuk bermain permua.

Saya akan meluangkan masa lebih lama lagi untuk mencuba telefon ini, dan akan berkongsi dengan lebih menyeluruh mengenai prestasi bermain permua, bateri dan juga kualiti paparan untuk setiap kegunaannya ketika ulasan kelak.

Leave a Reply