Predator League Asia Pasifik 2024 dengan jayanya berlangsung di Manila, Filipina pada 11 hingga 14 Januari lepas yang mempertandingkan dua permainan iaitu Dota 2 dan juga Valorant buat pertama kali menggantikan PUBG yang menjadi permainan untuk Predator League tahun-tahun lepas. Bersempena dengan penganjuran ini, Predator telah membawa kami ke Manila untuk melihat dan mengalami sendiri pertandingan ini.

Kami terbang ke Manila pada 12 Januari, akan tetapi Predator League 2024 sudah bermula pada 11 Januari untuk peringkat kumpulan yang sedikit mengecewakan kerana kedua-dua pasukan yang mewakili Malaysia iaitu Myth Avenue Gaming untuk Dota 2 dan Todak untuk Valorant telah tersingkir di peringkat kumpulan lagi yang menyebabkan tiada wakil dari Malaysia bermain di atas pentas Predator League 2024.

Hari Pertama

Selepas mendarat di Manila, pada hari yang sama kami diberi peluang untuk duduk bersama dengan kedua-dua pasukan yang mewakili. Bercakap mengenai kekecewaan tersingkir, mereka mengatakan dengan format permainan BO1, ia tidak memberi peluang yang mencukupi untuk mereka merancang strategi. Satu kesilapan bermakna yang mereka kalah perlawanan yang sekali gus menyukarkan untuk mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Selain itu, mereka juga mengatakan yang berharap untuk mempunyai lebih banyak kejohanan tempatan, perkara ini disuarakan oleh kedua-dua pasukan yang melihat masih kurang kejohanan tempatan bagi permainan Dota 2 dan juga Valorant terutama jika ingin dibandingkan dengan permainan lain seperti Mobile Legends dan PUBG Mobile. Bagi mereka, dengan adanya kejohanan-kejohanan ini boleh membantu untuk mana-mana pasukan yang akan mewakili Malaysia kelak lebih bersedia menghadapi pasukan dari negara-negara lain.

Hari Kedua

Sebelum kami menuju ke SM Mall of Asia Arena yang menjadi lokasi kejohanan ini, kami menghadiri terlebih dahulu sidang media bersama dengan ketua-ketua Acer termasuk juga Presiden Acer Pan-Asia Pasifik, Andrew Hou dan Pengarah Urusan Acer Malaysia, Kon Tek Yoong. Anda boleh baca mengenainya di pautan ini. Perkara utama yang dikongsikan pada sidang media tersebut adalah Acer beralih daripada satu syarikat pengeluar komputer, kepada syarikat gaya hidup yang membawa penawaran produk-produk berlainan. Selain itu, turut diumumkan yang Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk Predator League 2025.

Kami kemudian di bawa ke SM Mall of Asia Arena untuk melihat tempat penganjuran Predator League 2024, kami boleh katakan yang tempat penganjuran ini adalah sangat menarik dengan kawasan agak luas, ditambah lagi dengan Predator memilih untuk mengambungkan dua perkara di dalam penganjuran ini iaitu muzik dan esukan. Ketika acara pembukaan dua artis popular tempatan iaitu Felip dan Ylona Garcia. Dengan menyertakan persembahan artis ini, acara ini menarik minta bukan sahaja yang ingin menonton esukan tetapi juga peminat-peminat artis tersebut dan secara langsungnya memeriahkan lagi penganjuran ini.

Sebahagian daripada acara pembukaan, kesemua pasukan yang terlibat dengan peringkat kumpulan bagi Predator League di bawa ke pentas sebagai tanda penghargaan sebelum bermulanya kejohanan Separuh Akhir di antara FAV Gaming dari Jepun melawan BOOM Esports dari Indonesia dan Team Secret dari Filipina melawan Team Flash dari Vietnam yang memperlihatkan FAV Gaming dan Team Secret ke Peringkat Akhir. Bagi Dota 2 pula adalah diantara Execration dari Filipina bertemu dengan Aster.Aries dari China dan Blacklist International dari Filipina dan IHC Esports dari Mongolia yang memperlihatkan kedua-dua pasukan tuan rumah melayakkan diri ke peringkat akhir.

Hari Ketiga

Acara hibrid esukan dan muzik diteruskan pada hari terakhir untuk kejohanan ini dengan penonton disajikan dengan pelbagai persembahan daripada artis-artis tempatan seperti Pablo dan KZ Tandingan yang juga menjadi artis penutup untuk kejohanan ini. Kami boleh katakan yang hari terakhir kejohanan ini, sebahagian besar penganjuran adalah persembahan muzik di bahagian pembukaan dan juga bahagian akhir acara ini.

Bagi perlawanan akhir pula, ia menjadi meriah kerana tiga daripada empat pasukan yang terlibat adalah pasukan tuan rumah. Bagi Dota 2, pertempuran di antara dua pasukan Filipina iaitu Blacklist International dan Execration yang memperlihatkan persaingan sengit akan tetapi dengan jelas Blacklist bermain dengan lebih cemerlang untuk menjadi juara Predator League 2024 dan mengekalkan trofi ini di Filipina selepas Polaris Esports memenanginya pada tahun 2022.

Valorant pula memperlihatkan dominasi satu lagi pasukan dari Filipina iaitu Team Secret, pengalaman mereka bertanding di Valorant Championship Tours jelas diperlihatkan apabila mudah mengalahkan pasukan FAV Gaming, terutama di pusingan kedua di mana mereka bermain di peta kegamaran Team Secret iaitu Haven. Dengan kemenangan ini, kedua-dua trofi Predator League 2024 berada di Filipina untuk terus memperlihatkan dominasi mereka di arena esukan.

Rumusan

Seperti yang anda baca di bahagian judul untuk artikel ini, kami boleh rumuskan yang Predator League 2024 memperlihatkan Filipina sebagai tuan rumah telah memenangi penganjuran yang bagi saya adalah satu acara yang baik walaupun mungkin boleh ditambah-baik dengan memastikan bahagian muzik tidak terlalu mendominasi acara, kerana pada asasnya ini adalah Predator League dan tarikan utama seharusnya adalah esukan. Namun, pada masa sama ia juga menarik lebih ramai penonton walaupun bukan peminat esukan untuk tonton secara penstriman langsung ataupun menghadiri sendiri dan bersesuaian dengan peralihan Acer daripada syarikat komputer kepada gaya hidup.

Dengan mempunyai tiga pasukan daripada empat di peringkat separuh akhir, dan memenangi kedua-dua kejohanan terus memperlihatkan yang Filipina adalah satu negara yang sangat gah di arena esukan. Ini bukan sahaja kerana mereka tuan rumah, akan tetapi di kejohanan-kejohanan lain pasukan-pasukan Filipina adalah antara yang terbaik jika bukan terbaik. Oleh itu, adalah sangat tepat untuk Malaysia, melakukan ‘Dasar Pandang Ke Filipina’ jika ingin melihat bagaimana esukan berkembang dengan baik di negara tersebut.

Seperti dinyatakan di atas Malaysia juga akan menjadi tuan rumah untuk Predator League 2025 dan Predator dan Acer Malaysia sudah semestinya dapat melihat apa yang baik daripada Predator League 2024 dan ia juga boleh menjadi penanda aras yang baik untuk membawa penganjuran yang lebih menarik. Pengarah Urusan Acer Malaysia, Kon Tek Yoong juga mengatakan yang mereka akan memastikan penganjuran Predator League Asia Pasifik 2025 di Malaysia akan menjadi antara yang paling meriah.

Nota Tambahan: Bagi perjalanan ke Predator League Asia Pasifik 2024 ini, Predator juga menyediakan kami Predator Robust Luggage iaitu salah satu penawaran bagasi di bawah jenama Predator. Ia adalah satu bagasi yang kukuh dan mempunyai pembahagian di dalam beg yang baik untuk menjadikan pengalaman pengembaraan yang lebih baik. Anda boleh baca lanjut mengenai bagasi melalui pautan ini.

Sohor Kini