Predator League Asia Pasifik 2024 sedang berlangsung di Manila, Filipina dan bersempena dengan penganjuran acara tersebut, Presiden Acer untuk Pan-Asia Pasifik, Andrew Hou telah melakukan persidangan media untuk berkongsi mengenai perancangan masa depan Acer terutama bagi tahun 2025. Bersama beliau, pengarah urusan untuk negara-negara Asia Pasifik juga bersama termasuk juga Pengarah Urusan Acer Malaysia, Kon Tek Yoong.

Antara yang dikongsi oleh Andrew Hou adalah bagaimana Acer beralih daripada satu syarikat pengeluar komputer kepada syarikat gaya hidup dan juga satu syarikat yang mementingkan alam sekitar melalui penawaran produk-produk yang memfokuskan kepada kelestarian. Pada masa sama, mereka juga akan memastikan jenama Acer terus dikenali ramai dengan penganjuran pelbagai acara, termasuk juga Predator League.
Di akhir perkongsian beliau, telah diumumkan yang Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Predator League Asia Pasifik. Menjawab mengapa Malaysia dipilih, beliau mengatakan yang pemilihan tuan rumah dilakukan secara undian di dalam Kumpulan Acer dan bagi tahun 2025 Malaysia telah terpilih. Kon Tek Yoong juga mengatakan yang mereka akan memastikan penganjuran Predator League Asia Pasifik 2025 di Malaysia akan menjadi antara yang termeriah.
Bagi kejohanan Predator League Asia Pasifik untuk tahun ini, Dota 2 dan Valorant telah dipilih, manakala bagi kejohanan seterusnya ia masih belum ditetapkan lagi. Menurut Andrew Hou, pemilihan permainan akan melihat kepada pelbagai aspek termasuk juga tuan rumah, menjawab mengenai mengapa dua permainan sahaja dipertandingkan, beliau mengatakan agar dapat memberikan fokus yang lebih kepada kedua-dua permainan tersebut.
Anda boleh mengikuti perkembangan terbaru mengenai kejohanan Predator League Asia Pasifik dengan mengikuti laman sosial Aksiz di Facebook dan X.