Seperti kami kongsi di laman sosial Facebook dan juga X awal hari ini, Konami akhirnya mengumumkan secara rasmi kandungan khusus untuk Piala Asia AFC yang akan berlangsung di Qatar tidak lama lagi. Antara yang disertakan adalah kad istimewa kejohanan untuk pasukan Malaysia dan juga kad “Epic” untuk bekas pemain Malaysia Safee Sali.

Antara pemain yang menerima kad istimewa untuk Piala Asia AFC ialah Dion Cools, Afif Aiman, Faisal Halim, Dominic Tan dan Syihan Hazmi. Anda boleh lihat senarai penuh di bawah, pemain-pemain ini boleh didapatkan secara percuma bermula 11 Januari sehingga 29 Februari 2024.

Manakala Safee Sali pula menerima kad “Epic” bersama dengan dua pemain negara jiran iaitu Chanathip Songkrasin dari Thailand dan Pratama Arhan dari Indonesia yang juga menerima kad istimewa Piala Asia AFC. Kad Safee Sali bermula dengan Rating 79 dan boleh ditingkatkan tahap sehingga 93, kad ini juga mempunyai “Acrobatic Finishing“.

eFootball 2024 sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, PC, iOS dan juga Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.

Sohor Kini