Ulasan The Beekeeper

Bermulanya kredit pembukaan filem The Beekeeper saya mempunyai sedikit harapan yang filem ini mungkin mempunyai penawaran yang lebih lagi berbanding yang saya lihat daripada treler, akan tetapi apabila filem bermula dan sehingga tamatnya filem ini, saya hanya dapat merumuskan ia adalah satu lagi filem aksi yang dibintangi oleh Jason Statham seperti Expend4bles, Meg 2: The Trench dan Operation Fortune yang dikeluarkan pada tahun lepas.

Saya tidak mempunyai masalah ataupun bukanlah tidak menyukai Jason Statham, akan tetapi pembawaan wataknya memenatkan walaupun saya bukannya setiap hari menonton filem-filemnya. Namun, sekurang-kurangnya di dalam The Beekeeper saya menyukai aksi dan juga sedikit penceritaan oleh itu ia tidaklah seteruk Expend4bles – saya masih mempunyai masa yang baik menontonnya walaupun berharap penulisan dilakukan dengan lebih kemas.

The Beekeper adalah mengenai Adam Clay lakonan Jason Statham yang merupakan pembela lebah madu di satu desa. Dia telah menyewa kawasan daripada seorang wanita yang juga secara langsungnya menjadi jirannya. Namun, wanita tersebut telah ditipu dan kehilangan kesemua wang simpanannya, dan wanita tersebut telah membunuh diri. Selepas kejadian tersebut, Adam Clay telah bertekad untuk mencari operasi penipuan tersebut dan menutup selamanya. Selepas bermulanya misi membalas dendam ini, mula disedari yang Adam Clay ialah bekas ‘Beekeeper’ iaitu satu organisasi rahsia kerajaan US untuk menjaga keamanan negara tersebut.

Masalah utama bagi saya untuk filem ini adalah cuba menjadi lebih rumit berbanding yang diperlukan. Pertama ia bermula dengan perkara yang sangat komikal iaitu penipuan internet, yang membawa kepada bunuh diri, kemudian didapati yang anak kepada wanita tersebut ialah FBI. Orang-orang yang terlibat dengan penipuan internet tersebut kemudiannya didapati berhubung dengan orang yang besar, perkara ini sudah biasa di dalam filem aksi sebegini, akan tetapi di dalam The Beekeper ia terasa sangat artificial berbanding menjadi penceritaan lebih menarik, sebaliknya terasa sangat mengganggu pengalaman tontonan. Saya merasakan filem ini lebih baik jika ia dilakukan dengan lebih ringkas, dan perkara yang rumit mungkin memfokuskan kepada latar belakang Jason Statham sahaja.

Selain watak Adam Clay, watak-watak lain juga terasa dihasilkan dengan kurang menarik termasuklah beberapa watak jahat, dan dua ejen FBI yang salah seorang-nya seperti saya katakan di atas, anak kepada wanita yang membunuh diri. Saya rasa menjadikan ejen FBI itu sebagai anak kepada wanita tersebut bukan sahaja mencacatkan penceritaan, tetapi membuatkan watak tersebut terasa memaksa untuk menjadi penting, walaupun selepas menonton keseluruhannya tiada watak lain yang akan diingatkan melainkan watak Adam Clay sendiri. Tiadanya watak yang menarik, terutama watak jahat yang dapat bersaing dengan Adam Clay, membuatkan filem ini terasa sebelah pihak sahaja dan ia bukanlah satu pembawaan yang menarik.

Satu-satu perkara yang saya boleh katakan menjadikan filem ini masih seronok untuk ditonton adalah adegan-adegan aksi yang disertakan, kebanyakan aksi yang diperlihatkan adalah baik dan ganas. Pertempuran jarak dekat juga adalah menarik dan seronok untuk ditonton dan saya tidak merasakan mereka menggunakan sebarang helah kamera atau suntingan untuk menghasilkan adegan-adegan tersebut. Jika anda gemarkan filem aksi kerana aksi, filem ini masih lagi baik dan Jason Statham ialah pelakon aksi yang baik walaupun akan terasa mendatar.

Akhir kata, The Beekeeper mempunyai masalah cuba menjadi terlalu besar, terlalu cepat yang tidak memberi ruang kepada watak-watak selain watak utama untuk berkembang yang akhirnya membuatkan satu filem terasa mendatar dan tidak menawarkan perkara yang lain selain daripada aksi yang rancak dan ganas. Ia juga memberi kesan kepada penceritaan yang ada masa terasa sedikit komikal walaupun jelas yang filem ini ingin ia dipandang secara serious.

Penafian: Tayangan awal untuk The Beekeeper disediakan oleh Encore Films Malaysia bagi tujuan ulasan ini. Filem ini akan mula tiba di pawagam pada 18 Januari 2024.

The Beekeper
The Beekeeper mempunyai masalah cuba menjadi terlalu besar, terlalu cepat yang tidak memberi ruang kepada watak-watak selain watak utama untuk berkembang yang akhirnya membuatkan satu filem terasa mendatar dan tidak menawarkan perkara yang lain selain daripada aksi yang rancak dan ganas.
Positif
Aksi Rancak dan Ganas
Negatif
Penceritaan Tidak Menarik
Tiada Watak Sokongan Yang Baik
6

Sohor Kini