Ulasan Cyberpunk 2077: Phantom Liberty

Cyberpunk 2077 sepatutnya menjadi permainan terbesar semasa dikeluarkan pada tahun 2020, namun pelancaran yang dinanti-nantikan tersebut bermula dengan langkah kiri. Permainan ini dilancarkan dengan pelbagai masalah sehinggakan boleh dikatakan tidak boleh dimainkan di konsol generasi lepas iaitu PlayStation 4 dan Xbox One. Walaupun jualan masih baik, akan tetapi imej CD Projekt Red sebagai pembangun sedikit tercalar bahkan mereka dikatakan telah menipu pemain dengan tidak berkongsi keadaan semasa permainan tersebut sebelum ia dilancarkan.

Kecewa dengan pelancaran tersebut, CD Projekt Red berjanji untuk terus memperbaiki permainan ini dan mereka melakukannya dengan baik dengan pelancaran dua kemaskini utama yang boleh dikatakan sebagai terakhir untuk permainan ini iaitu kemaskini 2.0 dan juga penambahan Phantom Liberty. Dua perkara yang telah menjadikan Cyberpunk 2077 satu permainan yang sangat baik dan jika sebelum ini saya teragak-agak untuk mencadangkan permainan ini, kini, terutama melalui pelancaran Cyberpunk 2077: Ultimate Edition saya tidak mempunyai masalah untuk mencadangkan permainan ini kepada semua.

Phantom Liberty sekali lagi membuktikan yang CD Projekt Red adalah antara pembangun terbaik apabila hadir dengan kandungan pasca-pelancaran, penambahan ini membawa penceritaan baharu tetapi dengan baiknya mengisi bahagian perantaraan sebelum pengakhiran permainan asal. Di dalam penambahan ini, V, watak utama telah dihubungi oleh “Songbird” yang mengatakan dia mempunyai penawar untuk masalah V iaitu relik Johnny Silverhand yang sedang mengambil-alih badannya. Jika inginkan penawar tersebut, V perlu menyelamatkan Rosalind Myers iaitu Presiden New USA (NUSA).

Tiada pilihan lain, V bersetuju dan tanpa dia sedari, dia terlibat dengan sesuatu yang lebih besar daripada dijangkakan yang turut melibatkan ejen rahsia NUSA iaitu Solomon Reed di bawa oleh pelakon terkenal Idris Elba. Penceritaan ini juga membawa pemain ke kawasan baharu iaitu ‘Dogtown’. Daripada penceritaan untuk penambahan ini, dan juga rekaan kawasan Dogtown, dengan jelas memperlihatkan ini lah kualiti kandungan yang CD Projekt Red boleh lakukan jika mereka tidak terlalu gopoh untuk melancarkan sebelum ini.

Penceritaan disampaikan dengan baik dan menarik, setiap watak memainkan peranan yang penting, manakala bandar Dogtown juga dihasilkan dengan lebih mendalam. Setiap sudut bandar terasa lebih terperinci berbanding dengan penghasilan beberapa kawasan di dalam Cyberpunk 2077 yang lain. Sepanjang lebih kurang 20 jam saya bermain, ia adalah satu pengalaman bermain yang terbaik saya boleh dapatkan daripada permain ini. Bahkan pengakhiran yang diberikan, walaupun satu pengakhiran alternatif saya sangat menyukai pilihan CD Projekt Red untuk tidak memberikan satu pengakhiran yang boleh dikatakan sebagai “terbaik”. Sebaliknya ia memberi pengakhiran yang membuatkan saya tertanya-tanya apa yang kita sanggup hilang semata-mata untuk terus kekal hidup.

Selain misi utama yang sendirinya sangat baik, Phantom Liberty juga menyertakan misi sampingan dan misi sampingan yang sangat menarik. Bahkan ada beberapa watak yang saya sangat kecewa hanya tiba sekejap sahaja melalui misi sampingan sedangkan mereka adalah watak yang menarik. Ada masa saya terlupa yang saya sedang melakukan misi sampingan kerana penceritaan, perwatakan dan penulisan dilakukan dengan sangat memuaskan.

Selain penambahan cerita dan kawasan baharu, melalui kemaskini 2.0, yang diberikan kepada semua pemain secara percuma, elemen ‘RPG’ di dalam permainan ini juga sudah dipertingkatkan dengan penggunaan cyberware yang lebih menarik berbanding sebelum ini. Melalui kemaskini terbaru ini, mereka memperkenalkan pelbagai cara baharu untuk menghasilkan ‘hero’, dan pada masa sama menyertakan had yang menggalakkan saya untuk menjadi lebih kreatif di dalam memilih kuasa yang saya inginkan. Perkara ini juga bagi saya memberikan perkara ini lebih bermakna berbanding terasa terlalu arked sebelum ini.

Akhir kata, kemaskini 2.0 dan penambahan Phantom Liberty merupakan dua kandungan yang meletakkan Cyberpunk 2077 sebagai permainan yang kita sepatutnya dapat semasa pelancaran lepas. Sedikit mengecewakan kerana ini adalah kandungan terakhir untuknya, dengan kata lain ia berakhir semasa sedang menjadi menarik. Namun, ia sudah semestinya membuatkan saya optimis dengan IP Cyberpunk ini dan berharap mereka tidak mengulangi masalah yang sama dan melancarkan permainan seterusnya dengan baik. Dengan penceritaan, penulisan, rekaan kawasan dan juga pelbagai misi-misi menarik Cyberpunk 2077: Phantom Liberty adalah satu penambahan yang harus dicuba dan dengan pelancaran Cyberpunk 2077: Ultimate Edition, saya tiada masalah untuk cadangkan permainan ini kepada semua.

Cyberpunk 2077: Phantom Liberty
Cyberpunk 2077: Phantom Liberty bersama dengan kemaskini 2.0 telah membawa permainan ini tahap yang sepatutnya dan juga yang kita harapkan daripada CD Projekt Red. Ia mengambil masa beberapa tahun selepas dilancarkan akan tetapi Cyberpunk 2077 kini menjadi permainan yang harus diaminkan oleh semua.
Positif
Misi utama dan sampingan yang baik
Penceritaan dan watak yang menarik
Dogtown satu kawasan yang mendalam
Negatif
Penambahan terakhir untuk permainan ini
9

Sohor Kini