PlayStation telah berkongsi tiga permainan popular bagi tahun 2023 mengikut jumlah jam sesi permainan bermula pada Januari 2023 sehingga November 2023, mereka telah membahagikan-nya mengikut beberapa negara, namun Malaysia bukanlah antara negara yang terpilih kerana ia terhad kepada 23 negara sahaja.
Setiap negara mempunyai permainan popular yang berbeza akan tetapi kebanyakannya adalah empat permainan berikut Fortnite, EA Sports FIFA 23, Call of Duty dan Grand Theft Auto V. Hanya di Korea Selatan dan Jepun sedikit berlainan dengan menyertakan permainan seperti Diablo IV, Elden Ring, Apex Legends dan Genshin Impact.
Melihat kepada senarai ini, boleh kita lihat yang permainan berterusan ataupun ‘live service’ terus menjadi permainan yang paling lama dimainkan oleh pemilik PlayStation, permainan-permainan ini juga boleh dikatakan menjana pendapatan yang tinggi dan berterusan dari tahun ke tahun. Oleh itu, tidak mengejutkan jika PlayStation sendiri sebelum ini berjinak-jinak untuk hadir dengan permainan live service.
Mereka mengambil-alih Bungie yang membangunkan Destiny 2, studio lain seperti Naughty Dog juga membangunkan permainan The Last of Us Factions, tetapi kemudiannya dibatalkan. Mereka mungkin kini lebih perlahan dengan fokus untuk live service selepas beberapa kegagalan ini, akan tetapi tidak boleh disangkalkan lagi permainan live service akan terus menjadi permainan paling popular kerana sifatnya yang berterusan.
Namun, daripada senarai ini juga kelihatan satu masalah, kesemua permainan yang tersenarai adalah satu IP yang sudah lama, dan tiada permainan-permainan baharu live service ataupun tidak yang menjadi permainan popular. Ini membuktikan yang agar sukar untuk memasuki genre live service dan berharap dapat melawan dengan permainan yang sedia ada. Oleh itu, live service masih lagi raja untuk industri permainan video, dan seperti raja, kebiasaan ia sukar untuk dijatuhkan.