10 Filem Menarik Bulan Januari 2024

Selamat Tahun Baharu! 2023 berakhir dan bermulalah tahun 2024, tetapi bagi kaki wayang, bulan ini diteruskan lagi dengan filem-filem yang menarik akan ditayangkan sebagai pembuka untuk tahun ini. Tarikan utama bagi tahun ini sudah semestinya Pendekar Awang iaitu filem susulan kepada filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia, Mat Kilau. Persoalan utama adakah Pendekar Awang dapat mengulangi kejayaan Mat Kilau yang menghampiri kutipan sebanyak RM100 juta.

Seperti biasa tarikh tayangan adalah tepat semasa penulisan ini berdasarkan penyenaraian di Cinema Online dan ia akan berubah dari semasa ke semasa.

City Hunter The Movie: Angel Dust

Tarikh Tayangan: 4 Januari 2024

Filem baharu berdasarkan siri manga oleh Tuskasa Hojo yang diterbitkan pada tahun 1985 sehingga 1991 iaitu ‘City Hunter’. Filem animasi ini memfokuskan kepada kisah silam Ryo Saeba iaitu watak utama siri ini yang juga akan melibatkan Angel Dust. Filem ini sudah tiba di pasaran luar negara sejak tahun lepas dan dijangka tiba di Malaysia 4 Januari ini tetapi masih tiada penyenaraian oleh GSC dan juga TGV.

Anak Perjanjian Syaitan 2

Tarikh Tayangan: 4 Januari 2024

Filem terbaru arahan Ahmad Idham ini merupakan filem seram susulan kepada filem pertama Anak Perjanjian Syaitan yang dikeluarkan pada tahun 2019 arahan Helmi Yusof. Selain pengarah baharu, filem kedua ini juga menerima pelakon baharu iaitu Eyka Farhana sebagai Azlinda yang ingin menjejaki mengenai latar belakangnya selepas berlaku pelbagai kejadian aneh di dalam hidupnya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah

Tarikh Tayangan: 11 Januari 2024

Walaupun satu filem susulan kepada filem terbesar di Malaysia, iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara telah memilih untuk membawa penceritaan baharu yang memfokuskan kepada Awang, salah seorang watak yang membantu di dalam filem pertama. Fattah Amin terus kekal sebagai Awang yang turut melibatkan Nur Fazura, pengarah ialah Saiful Reza Shukor.

Lal Salaam

Tarikh Tayangan: 12 Januari 2024

Filem arahan Aishwaraya Rajinikanth memfokuskan kepada sukan kriket dan juga peperangan di antara agama. Watak utama adalah Vishnu Vishal dan Vikranth dengan pelakon legenda Rajinikanth juga akan membuat penampilan sebagai Moideen Bhai. Muzik di dalam filem ini dihasilkan oleh komposer ternekal A. R. Rahman.

Captain Miller

Tarikh Tayangan: 18 Januari 2024

Captain Miller lakonan Dhanush, yang juga watak utama yang ke-47 untuk beliau. Filem arahan Arun Matheswaran memfokuskan kepada Captain Miller yang menentang penjahahan British di India sekitar tahun 1930-an. Selain Dhanush, filem ini turut melibatkan Shiva Rajkumar, Sundeep Kishan dan Priyanka Arul Mohan.

Jiwa 8 Belas

Tarikh Tayangan: 18 Januari 2024

Filem ini memfokuskan kepada pasangan kekasih lakonan Shah Hazvee dan Sophia Alborakbah yang telah diculik oleh kumpulan perdagangan manusia. Filem ini diarahkan oleh S. Baldev Singh dengan pelakon lain seperti Izuan Razali, Kanda Khairul, Fauziah Nawi dan A. Galak.

Indigo

Tarikh Tayangan: 18 Januari 2024

Indigo satu filem seram mengenai watak Zora lakonan Amanda Manopo yang boleh melihat perkara-perkara ghaib membuatkan kehidupannya sering terganggu. Keadaan menjadi lebih rumit apabila adiknya juga mula mendapat ‘kebolehan’ yang sama. Filem ini diarahkan oleh Rocky Soraya dan pelakon lain adalah Aliando Syarief dan Sara Wijayanto.

The Beekeeper

Tarikh Tayangan: 18 Januari 2024

Filem aksi lakonan Jason Statham yang membawa watak dengan nama Mr. Clay. Dia merupakan bekas operatif satu kumpulan yang digelar sebagai “Beekepers”. Selepas jirannya membunuh diri selepas ditipu wang simpanan, dia memulakan operasi membalas dendam. Filem ini diarahkan oleh Dayid Ayer dan pelakon lain yang terlibat adalah Emmy Raver-Lampman, Josh Hutcherson dan Minnie Driver.

Rascal Does Not Dream of Knapsack Kid

Tarikh Tayangan: 25 Januari 2024

Filem ketiga berdasarkan siri manga/novel Rascal Does Not Dream ini akan memfokuskan kepada penceritaan jilid ke-9 untuknya, dengan dua filem sebelum ini memfokuskan jilid 6 sehingga 8. Filem ini diarahkan oleh Sochi Masui dan sudah ditayangkan di Jepun pada bulan lepas dengan dijangka tiba di Malaysia akhir bulan ini.

172 Days

Tarikh Tayangan: 25 Januari 2024

Filem yang mengadaptasi novel berjudul sama ditulis oleh Nadzira Shafa, mengisahkan mengenai Nadzira Shafa lakonan Yasmin Napper yang ingin mengubah hidupnya menjadi lebih baik dengan bantuan Ameer Azzkira lakonan Bryan Domani yang kemudiannya menjadi suaminya. Perkhawinan mereka tercabar apabila Ameer jatuh sakit. Filem drama romantik ini diarahkan oleh Hadrah Daeng Ratu.

Sohor Kini