10 Siri TV Terbaik Tahun 2023

Kita akhirnya memasuki minggu terakhir untuk tahun 2023 dan di dalam persediaan untuk memasuki tahun baharu sudah menjadi kebiasaan untuk kita melihat kembali tahun ini. Sepanjang minggu ini, kami akan kongsikan 10 Filem Terbaik, 10 Siri TV Terbaik dan juga 10 Permainan Video terbaik. Kesemua senarai ini adalah berdasarkan ulasan yang dikeluarkan di Aksiz, kecuali untuk beberapa yang kami masih belum keluarkan ulasan tetapi skornya sudah ada secara dalaman.

Ingin lihat filem-filem yang berdiri lebih tinggi berbanding filem lain yang tiba tahun ini? Berikut adalah 10 Siri TV terbaik tahun 2023:

10. What If..? (Musim 2)

Baca: Ulasan What If…? Musim Ke-2

What If kembali dengan musim kedua untuk membawa pelbagai kisah alternatif bagi MCU dan siri ini kekal memberikan kualiti animasi yang cantik, penceritaan yang lebih matang dan unik. Ia bukan satu tontonan bagi yang ingin tahu kisah seterusnya di dalam MCU tetapi masih lagi siri menarik untuk yang meminati segala perihal Marvels.

9. Yu Yu Hakusho

Baca: Ulasan Yu Yu Hakusho (2023)

Netflix semakin giat hadir dengan siri ataupun filem aksi nyata berdasarkan manga dan anime. Yu Yu Hakusho adalah salah satu daripadanya. Agak mengejutkan, siri ini dihasilkan dengan baik dan menyeronokkan walaupun kebanyakan penceritaan diringkaskan dan tidak menyertakan banyak bahagian daripada sumber asal. Ia sudah semestinya satu siri yang berhak untuk mendapat musim seterusnya.

8. Ahsoka

Baca: Ulasan Ahsoka

Ahsoka adalah sebuah siri Star Wars yang menarik. Ia merupakan sambungan kepada animasi Rebels dalam pencarian Ezra Miller dan juga Admiral Thrawn. Siri ini mempunyai penceritaan yang menarik dan prestasi lakonan yang cukup hebat. Peminat Star Wars pasti akan menghargai siri ini kerana penglibatan Anakin yang bagus.

7. Monarch: Legacy of Monsters

Baca: Ulasan Monarch: Legacy Of Monsters

Siri Monach berjaya melakukan apa yang sering gagal dilakukan oleh kandungan daripada genre ini iaitu benar-benar memfokuskan kepada manusia dan meletakkan raksasa di latar belakang. Perkara ini telah menjadikan siri ini satu siri yang serius, dan matang. Ditambah lagi dengan visual yang baik dan sentiasa mempunyai adegan yang mencemaskan.

6. The Last of Us

Baca: Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama

Menghasilkan siri aksi nyata untuk permainan yang boleh dikatakan mempunyai penceritaan terbaik bukanlah satu perkara yang mudah, akan tetapi siri ini berjaya melakukannya bahkan untuk beberapa bahagian menjadi lebih baik berbanding sumber asal. Ia membawa penceritaan yang menghormati penceritaan asal daripada permainan video, akan tetapi memberikan ruang yang mencukupi untuk menambah penceritaan bagi menjadikan ia lebih mendalam bagi yang sudah mengetahui mengenai penceritaan ini dan juga yang tidak.

5. Star Wars Vision (Musim 2)

Baca: Ulasan Star Wars: Vision Musim 2

Sebagai siri antalogi yang mempunyai penceritaan berbeza yang dihasilkan oleh studio-studio berlainan, Star Wars Vision musim 2 ini meneruskan apa yang baik daripada musim pertama tetapi kali ini banyak bermain dengan konsep Kuber Crystal dan Lightsaber dengan penceritaan yang lebih menarik, aksi lebih hebat dan animasi yang lebih unik.

4. Shrinking

Baca: Ulasan Shrinking

Shrinking merupakan siri yang melibatkan pelakon-pelakon popular seperti Harrison Ford dan Jason Segel. Ia adalah satu siri komedi, yang akan membuatkan penonton bergelak tawa tetapi pada masa mempunyai pengajaran dan kisah drama yang sangat baik.

3. Ejen Ali (Musim 3)

Baca: Ulasan Ejen Ali Musim 3

Meneruskan penceritaan daripada filem, Ejen Ali musim ketiga ini membawa satu penceritaan yang sangat matang, tetapi pada masa sama masih lagi sangat baik dan memuaskan untuk tontonan secara umum. Ia sudah semestinya satu musim yang membuatkan ramai ternanti-nanti untuk melihat penceritaan seterusnya bagi siri ini.

2. Black Mirror (Musim 6)

Baca: Ulasan Black Mirror (Musim 6)

Selepas 4 tahun, Black Mirror kembali dengan musim keenam, dan mungkin antara musim terbaik pernah dihasilkan. Pengalaman menonton kali ini jauh lebih menarik dan memuaskan berbanding musim lepas. Setiap adegan cukup mengerikan dan mendebarkan. Banyak aspek cukup mengejutkan kerana sukar untuk diramal.

1. Gen V

Baca: Ulasan Gen V

Gen V bukan sahaja siri sampingan untuk The Boys akan tetapi ia juga membawa segala perkara yang menarik daripada The Boys untuk hadir dengan siri baharu yang tetapi menarik. Gen V mempunyai aksi ganas ngeri yang menjijikkan dan pasti menghiburkan. Skrip yang matang, watak yang menarik ditemani visual hebat. Ia adalah siri yang pasti peminat The Boys akan hargai.

Sohor Kini