Kita akhirnya memasuki minggu terakhir untuk tahun 2023 dan di dalam persediaan untuk memasuki tahun baharu sudah menjadi kebiasaan untuk kita melihat kembali tahun ini. Sepanjang minggu ini, kami akan kongsi-kan 10 Filem Terbaik (melalui artikel ini), 10 Siri TV Terbaik dan juga 10 Permainan Video terbaik. Kesemua senarai ini adalah berdasarkan ulasan yang dikeluarkan di Aksiz, kecuali untuk beberapa yang kami masih belum keluarkan ulasan tetapi skornya sudah ada secara dalaman.
Ingin lihat filem-filem yang berdiri lebih tinggi berbanding filem lain yang tiba tahun ini? Berikut adalah 10 Filem terbaik tahun 2023:
10. The Fabelmans
Baca: Ulasan The Fabelmans
Steven Spielberg melalui The Fabelmans telah hadir dengan satu filem yang ringkas tetapi pada masa sama sangat menarik untuk tontonan. Filem ini dilakonkan oleh Michelle Williams, Paul Dano, Seth Rogen dan Gabriel LaBelle. Ia adalah satu filem yang bukan sahaja mengenai cantiknya seni penghasilan filem tetapi juga mengenai perhubungan di antara keluarga yang disampaikan dengan sangat berkesan.
9. Mission Impossible – Dead Reckoning Part One
Baca: Ulasan Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One
Tom Cruise kembali sebagai Ethan Hunt untuk filem Mission: Impossible seterusnya yang diarahkan oleh Christopher McQuarrie. Filem ini juga melibatkan Hayley Atwell, Simon Pegg dan Rebecca Ferguson. Filem ini terus membuktikan yang Ethan Hunt masih lagi relevan dengan filem padat dengan aksi dan adegan yang epik, walaupun bahagian satu daripada dua, tetapi filem ini memberi penamat yang memberi kepuasan kepada penonton.
8. La Luna
La Luna diarahkan oleh Raihan Halim dengan senarai pelakon seperti Shahiezy Sam, Sharifah Amani dan Wan Hanafi Su. Filem ini sangat segar dan sangat lain dengan filem kebiasaan, tepat dengan fokus utama filem ini iaitu membuka kedai pakaian dalam wanita di kampung yang sangat konservatif. Filem ini bukan sahaja bukan sahaja mempunyai mesej yang baik akan tetapi juga disampaikan dengan sangat menghiburkan.
7. Imaginur
Baca: Ulasan Imaginur
Filem arahan Nik Amir Mustapha dan senarai pelakon Beto Kusyairy, Diana Danielle dan Afdlin Shauki membawa konsep penceritaan yang menarik dan disampaikan dengan baik. Ia adalah satu filem penuh dengan imaginasi dan juga cahaya misteri yang membantu memberikan pengalaman yang baik untuk ditonton.
6. Barbie
Baca: Ulasan Barbie
Greta Gerwig bersama dengan senarai pelakon seperti Margot Robbie, Ryan Gosling, Issa Rae dan Kate McKinnon berjaya untuk menjadikan satu filem mengenai anak patung mempunyai jiwa tersendiri. Filem ini memberi pengalaman menonton yang sangat memuaskan. Filem ini padat dengan drama menarik, elemen komedi yang mencuit hati serta pengajaran kehidupan. Oleh itu, tidak mengejutkan filem ini di dalam senarai ini dan juga merupakan filem dengan kutipan tertinggi tahun ini.
5. Killers of the Flower Moon
Baca: Ulasan Killers of the Flower Moon
Ini bukanlah filem terbaik Martin Scorsese, akan tetapi Killers of the Flower Moon yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Lily Gladstone, Robert De Niro dan Jesse Plemons membawa kisah mengenai Osage dengan baik walaupun mungkin bukan daripada perspektif yang kita inginkan. Ia benar-benar memperlihatkan keburukan dan kebaikan makhluk yang kita gelar sebagai manusia dan memuaskan untuk ditonton walaupun berdurasi 3 jam 24 minit.
4. Guardians of the Galaxy Vol. 3
Baca: Ulasan Guardians Of The Galaxy Vol. 3
Berkemungkinan filem MCU terakhir yang diarahkan oleh James Gunn, Guardians of the Galaxy Vol. 3 memperlihatkan Chris Pratt, Bradley Cooper, Pom Klementieff, Karen Gillan dan Dave Baustista kembali sebagai sekumpulan ‘penyelamat’ galaksi. Filem ini akan menyentuh hati dan membuatkan air mata mengalir. Ia turut menyertakan musuh yang mengerikan. Filem ini padat dengan aksi, drama hebat, perkembangan watak yang baik, komedi menggelikan hati dan pasti sukar untuk melupakannya. Ia adalah filem terbaik MCU tahun ini dan mungkin untuk beberapa tahun lagi.
3. Spider-Man: Across the Spider-Verse
Baca: Ulasan Spider-Man: Across the Spider-Verse
Filem animasi arahan Joaquim Dos Santos, Kemp Powers dan Justin K. Thompson dengan senarai pelakon suara seperti Shameik Moore, Hailee Steinfeld, Luna Lauren Velez dan Oscar Isaac sekali lagi memperlihatkan penggunaan animasi untuk menyampaikan penceritaan yang bukan sahaja kreatif tetapi berkesan. Kami boleh rumuskan ia ialah satu surat cinta untuk peminat animasi walaupun penonton akan keluar dengan perasaan tidak puas dan ingin lebih lagi.
2. John Wick: Chapter 4
Baca: Ulasan John Wick 4
Filem arahan Chad Stahelski yang memperlihatkan Keanu Reeves kembali sebagai John Wick bersama dengan Laurence Fishburne, Lance Reddic, Donnie Yen dan George Georgiou. Kekuatan utama filem ini sudah semestinya aksi yang bukan sahaja ngeri tetapi ia dilakukan dengan sangat menarik menjadikan melihat aksi yang berterusan sangat memuaskan. Lakonan ringkas oleh Keanu Reeves membantu untuk menjadikan watak John Wick sangat berkesan.
1. Talk To Me
Baca: Ulasan Talk To Me
Talk To Me ialah filem arahan Danny Philippou dan Micahel Philippou, dengan senarai pelakon seperti Ari McCarthy, Hamish Philips, Kit Erhart-Bruce dan Sarah Brokensha. Mengikut ulasan kami, filem ini ialah satu filem seram yang sangat ringkas dengan tidak menggunakan hantu, elemen “jump scare” tetapi lebih memfokuskan perasaan manusia dan apakah yang setiap watak rasakan. Namun, cara penyampaian filem ini ialah lancar, muzik yang masuk dengan setiap adegan seram, serta memberikan penonton rasa tidak senang hati sepanjang tayangan.