Skip to main content

Percy Jackson and the Olympians adalah novel bersiri dengan lima jilid oleh Rick Riordan. Kisah buku ini telah diadaptasi menjadi dua filem pada tahun 2010 dan 2013, tetapi tidak diteruskan kerana kutipan yang tidak memberangsangkan. Terbaru, Disney telah mengolah semula filem ini menjadi siri TV dengan Riordan sendiri menulis skrip dan terlibat dengan produksi.

https://www.youtube.com/watch?v=uHb7au6Gmls&pp=ygUfcGVyY3kgamFja3NvbiBhbmQgdGhlIG9seW1waWFucw%3D%3D

Siri ini disiarkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar untuk penonton di Malaysia. Dua episod sudah boleh ditonton dan dalam artikel ini akan saya kongsikan pengalaman menonton separuh musim tanpa sebarang beberan. Ia lebih kepada pendapat adakah siri ini lebih baik berbanding filem? Apakah masa hadapan siri ini? Adakah Walker Scobell lebih baik berbanding lakonan Logan Lerman?

Siri > Filem

Berdasarkan memori saya yang ingat-ingat lupa, empat episod pertama mempunyai penceritaan yang lebih kurang sama dengan filem pertama. Banyak adegan membuatkan saya tertanya kepada diri sendiri “Kenapa aku rasa macam dah tengok?”. Walaupun begitu, siri ini ternyata lebih baik dan lancar berbanding filem. Ini kerana filem mempunyai durasi terhad dan banyak elemen daripada buku dipotong atau dimampatkan. Dalam siri banyak perkara boleh disampaikan memberi penonton pengenalan yang baik untuk mesta Percy Jackson.

Lakonan Mantap

Selepas menyaksikan Walker Scobell beraksi bersama Ryan Reynolds dalam filem Netflix The Adam Project, beliau membawakan bakat lakonan yang hebat ini ke dalam siri Percy Jackson and the Olympians. Cuma, watak kanak-kanak yang beliau bawakan kurang menarik kerana nampak aneh untuk Scobell yang telah remaja menjadi watak kanak-kanak. Walaupun begitu, Scobell jelas sekali membawakan semangat Percy Jackson yang sepatutnya dipertontonkan dalam filem.

Beliau digandingkan bersama Leah Sava Jeffries yang menjadi Annabeth Chase seorang separa dewa yang turut berada di Camp Half-Blood dan juga Aryan Simhadri sebagai Grover Underwood sejenis satir iaitu dewa hutan yang turut menjadi kawan baik Percy Jackson. Kedua-dua mereka menjadi pengganti Alexandra Daddario, Alisha Newton, Brandon T. Jackson dan Bjorn Yearwood yang lebih bagus dengan iterasi tersendiri.

Bukan Untuk Semua Orang

Penyampaian cerita siri ini sebenarnya baik tetapi bukan untuk diri saya. Saya turut yakin ramai akan mempunyai perasaan yang sama. Ini mungkin kerana Riordan inginkan siri ini boleh ditonton oleh orang ramai termasuk kanak-kanak. Jikalau saya masih di sekolah saya akan rasa teruja dengan dunia fantasi Percy Jackson ini. Kisahnya terlampau ringkas, kurang aksi yang berisiko dan play safe. Ia tidak mempunyai keunikan selain cuba memperkenalkan mesta Percy Jackson secara lebih mendalam. Di mata saya, ia hanyalah satu extended cut dengan kualiti visual yang cantik.

Masa Hadapan

Ada bagusnya siri ini play safe agar ia boleh bertahan lama. Riordan pernah berkongsi yang dengan siri inilah beliau boleh mengadaptasi kesemua jilid buku ke aksi nyata. Berdasarkan apa yang saya tonton, jika ramai kanak-kanak dan remaja menonton atau ibu bapa yang pernah menonton dua filem asal ingin jadikan hiburan fantasi sekeluarga – siri ini berpotensi tinggi untuk berjaya. Perancangnya adalah untuk mempunyai lima musim dengan setiap musim berdasarkan satu jilid buku;

  • Musim 1 – The Lightning Thief
  • Musim 2 – The Sea of Monsters
  • Musim 3 – The Titan’s Curse
  • Musim 4 – The Battle of the Labyrinth
  • Musim 5 – The Last Olympian

Kesimpulan

Percy Jackson and the Olympians adalah sebuah siri yang baik. Ia menyertakan pelakon yang bagus, penceritaan menarik dan kualiti visual yang cantik. Ia mungkin bukan siri TV fantasi terbaik, tetapi menawarkan pengalaman menonton yang jauh lebih baik berbanding filem. Siri ini akan membawa penonton menyelami dunia Percy Jackson secara lebih mendalam. Saya amat mengharapkan perancangan lima musim siri ini menjadi asalkan ia kekal mempunyai kaedah penyampaian yang lebih kurang sama – mungkin sedikit lebih pantas agar penonton tidak lemas dengan kisah anak Poseidon ini.

Siri ini akan disiarkan secara mingguan dengan episod ketiga tiba pada 26 Disember dan tamat pada 30 Januari 2024 dengan jumlah lapan episod kesemuanya.

Leave a Reply