Ulasan Aquaman and the Lost Kingdom

Aquaman and the Lost Kingdom adalah filem kedua DCEU yang memfokuskan kepada adiwira lautan Aquaman, selepas filem pertama yang dikeluarkan pada tahun 2018. Filem ini sekali lagi diarahkan oleh James Wan dan melibatkan pelakon seperti Jason Momoa sebagai Arthur Curry/Aquaman, Patrick Wilson sebagai Orm Marius, Amber Heard sebagai Mera dan Yahya Abdul-Mateen II sebagai David Kane/Black Manta iaitu antagonis utama di dalam filem ini.

Filem ini boleh dikatakan berada di satu kedudukan yang ‘menarik’ bagi saya, ini adalah kerana filem ini ialah filem yang terakhir untuk DCEU sebelum siri adiwira ini beralih ke projek baharu iaitu DC Universe yang diselia oleh James Gunn dan Peter Safran. Ia menarik kerana saya pergi menonton filem ini dengan tanggapan filem ini adalah yang terakhir oleh itu saya tidak mempunyai sebarang keinginan untuk melihat apa-apa daripada filem ini perlu sambungan, menjadikan filem ini boleh menjadi lebih ringkas tetapi kekal menarik.

Saya juga merasakan yang James Wan menyedari mengenai perkara ini dan filem ini berlaku dan berakhir tanpa mempunyai sebarang ‘sequel-bait‘, sebaliknya ia adalah kesinambungan kepada filem Aquaman yang pertama, dan berakhir sebagai satu filem Aquaman yang mungkin terakhir. Oleh itu, kisah penceritaan adalah ringkas, mengenai Black Manta yang ingin membalas dendam selepas Aquaman membiarkan bapanya mati sebelum ini, di dalam usaha untuk membalas dendam ini, dia telah mendapat satu kuasa kuno yang sangat merosakkan. Di dalam usaha untuk melawan Black Manta, Aquaman telah meminta pertolongan adiknya Orm Marius. Oleh kerana tiada kekangan ini, saya merasakan penceritaan adalah lebih ringkas tetapi menarik, tiada cameo yang mengganggu fokus utama dan tiada desakan untuk anda ternanti-nanti apa seterusnya.

Walaupun filem ini tidak membawa sebarang pengembangan kepada mana-mana watak, kecuali Orm Marius yang sebelum ini adalah watak antagonis utama, menjadi pembantu kepada Aquaman, namun secara keseluruhannya ia masih mempunyai penceritaan yang baik dan menyeronokkan. Saya tidak terasa bosan dengan penyampaian-nya, walaupun ada beberapa bahagian terasa sedikit janggal dan juga terasa seperti mendesak. Saya boleh katakan bahagian utama yang bersalah untuk perkara ini adalah perhubungan di antara Arthur Curry dan bapanya, dan juga perhubungan keluarga Arthur Curry, Mera dan juga anak mereka. Kebanyakan babak melibatkan mereka terasa sedikit aneh, seperti sesuatu yang terpaksa dilakukan dan tidak menjadi kemas seperti bahagian lain di dalam filem ini.

Filem ini juga terasa seperti satu filem pengembaraan dengan Aquaman perlu pergi ke beberapa tempat berbeza, dan setiap tempat ini mempunyai rekaan yang unik. Ia adalah seperti bermain permainan video dengan setiap peringkat mempunyai ciri yang tersendiri. Penghasilan dunia yang baik ini, telah menampung kekurangan yang hadir daripada penceritaan yang biasa, sesuatu yang saya sudah jangkakan daripada mana-mana filem adiwira yang dikeluarkan untuk setahun dua ini. Ada masa semasa saya menonton filem ini, saya lupa yang ini adalah filem adiwira, tetapi merasakan seperti satu filem fiksyen sains seram seperti Aliens. Apabila, filem beralih kepada sesuatu yang ‘adiwira’ saya sedikit kecewa dan inginkan bahagian tersebut mempunyai dilanjutkan lagi. Satu lagi perkara mengecewakan, product placement dilakukan dengan terlalu jelas yang membuatkan filem ini terasa murahan.

Akhir kata, Aquaman and the Lost Kingdom terasa seperti satu filem di atas tanah (atau air) yang tidak terlalu menyerlah, dan tidak cuba untuk menyerlah. Ia tidak dihasilkan untuk menjadi permulaan kepada sesuatu baharu, ataupun tidak dihasilkan untuk memperluaskan satu lagi mesta, sebaliknya ia adalah satu filem yang memfokuskan kepada penceritaan tersendiri dan berakhir dengan satu pengakhiran. Ini menjadikan penceritaan yang ringkas, mudah dijangka tetapi menjadikan tontonan lebih menarik dan tidak terbeban dengan perkara-perkara luar yang tidak penting. Blue Beetle adalah filem DC paling menarik tahun ini, dan saya boleh katakan filem ini menghampirinya.

Penafian: Tayangan untuk Aquaman and the Lost Kingdom disediakan oleh Warner Bros Malaysia bagi tujuan ulasan ini.

Aquaman and the Lost Kingdom
Aquaman and the Lost Kingdom tidak dihasilkan untuk menjadi permulaan kepada sesuatu baharu atau mengembangkan lagi mesta, sebaliknya ia adalah satu filem yang memfokuskan kepada penceritaan tersendiri dan berakhir dengan satu pengakhiran. Menjadikannya ringkas tetapi seronok untuk tontonan.
Positif
Rekaan Dunia Yang Menarik
Penceritaan Ringkas Dan Menarik
Negatif
'Product Placement' Yang Terlalu Jelas
Beberapa Adegan Terasa Janggal Dan Memaksa
7

Sohor Kini