Skip to main content

Migration adalah filem animasi terbaru oleh Illumination, walaupun hadir selepas kejayaan besar The Super Mario Bros. Movie, filem ini tidaklah akan menjadi sebesar filem berdasarkan IP Nintendo tersebut, namun bagi saya yang sudah tonton kedua-dua filem saya boleh katakan kedua-dua filem membawa keseronokan tontonan yang sama, bahkan saya boleh katakan saya sedikit lebih menyukai Migration kerana mempunyai beberapa watak yang tidak terkenal tetapi lebih menarik.

Migration adalah filem mengenai sekeluarga itik melewar, iaitu Mack Mallard (bapa) lakonan suara Kumail Nanjiani, Pam Mallard (ibu) lakonan Elizabeth Banks, bersama dengan Dax Mallard lakonan suara Caspar Jenning dan Gwen Mallard lakonan suara oleh Tresi Gazal iaitu dua anak mereka. Mereka hidup bahagia di sebuah kolam, dan tidak seperti itik atau burung-burung yang lain mereka tidak melakukan migrasi. Ini adalah kerana Mack Mallard sentiasa risaukan keselamatan keluarganya. Sehinggalah, Pam Mallard dan juga kedua-dua anak mereka mendesak untuk Mack membawa mereka ke Jamaica untuk melihat sendiri keindahan tempat tersebut.

Maka bermulalah pengembaraan mereka yang penuh dengan pancaroba, pelbagai halangan dan juga pelbagai kejadian yang menyeramkan dan juga melucukan. Perkara menarik utama bagi saya di dalam filem ini adalah ia sentiasa diisi dengan satu perkara yang menarik, dan setiap daripadanya mempunyai permulaan, perkembangan dan pengakhiran tersendiri. Saya bagaikan melihat tiga bahagian penceritaan yang berbeza, yang setiap-nya mempunyai perkara yang menarik. Satu perkara yang saya sedikit kecewa adalah watak jahat utama di dalam filem ini adalah manusia, iaitu seorang tukang masak yang ingin menjadikan Mack dan Pam sebagai makanan. Watak tukang masak ini masih lagi menarik, dan watak penjahat yang baik, namun saya lebih rasa menarik jika penceritaan ini dikekalkan dengan melibatkan binatang sahaja.

Menjadikan penceritaan lebih menarik juga adalah pembawaan watak untuk setiap itik, dan juga beberapa watak lain seperti Chump iaitu burung merpati yang dilakonkan suara oleh Awkwafina. Kesemua watak ini ditulis dengan menarik, walaupun watak seperti Mack terasa mudah untuk dijangka, namun ia masih lagi memuaskan. Penarik utama bagi saya di dalam filem ini adalah Dax Mallard dan Gwen Mallard yang mempunyai dinamik yang sangat baik mengingatkan saya kepada Bluey dan Bingo daripada siri animasi Bluey. Kedua-dua mereka sangat menghiburkan terutama kerana mempunyai perwatakan yang berbeza tetapi sangat baik apabila bersama. Filem ini juga memilih waktu yang baik untuk memperkenalkan watak baharu, seperti Chump, tukang masak, dan watak-watak lain yang bagi saya tiba pada masa yang tepat untuk menjadikan sesuatu adegan lebih menarik dan sesuatu bahagian menjadi lebih segar.

Kualiti animasi pula, saya boleh katakan sesuatu yang sudah dijangkakan daripada Illumination, dan mereka menghasilkan dunia yang menarik untuk filem ini. Terdapat kawasan kolam, terdapat kawasan bandar, dan juga kawasan hutan. Setiap daripadanya dihasilkan dengan baik dan memberi lebih banyak perkara yang menarik minat saya. Saya juga sangat sukakan adegan ‘aksi’ yang disertakan di dalam filem ini, tidak kira semasa terbang, melarikan diri ataupun sedang bertempur dengan penjahat, setiap aksi tersebut diperlihatkan dengan baik dan seronok untuk ditonton menjadikan filem ini tidak membosankan.

Akhir kata, Migration adalah satu filem yang baik, sangat sesuai untuk tontonan sekeluarga. Ia mempunyai banyak bahagian yang menyeronokkan dengan setiapnya mempunyai pengakhiran tersendiri menjadikan filem ini tidak kekurangan perkara yang menarik. Penceritaan walaupun mudah untuk dijangka masih lagi disampaikan dengan menyeronokkan kerana watak-watak yang ada di dalam filem ini dan juga kualiti animasi yang ditampilkan.

Penafian: Tayangan untuk Migration disediakan oleh United International Pictures bagi tujuan ulasan ini. Filem ini akan mula ditayangkan pada 28 Disember 2023.

Migration
Migration adalah satu filem yang menyeronokkan mengenai sekeluarga itik melewar melakukan migrasi pertama mereka dan dipenuhi dengan pelbagai kejadian dan berjumpa dengan kawan dan lawan. Filem ini dikuatkan dengan perwatakan dan animasi yang baik, walaupun penceritaan yang mudah untuk dijangka.
Positif
Perwatakan Yang Baik
Animasi Yang Menarik
Pelbagai Adegan Menghiburkan
Negatif
Jalan Cerita Mudah Dijangka
Watak Jahat Utama Adalah Manusia
8

Leave a Reply

Final Score