Pada minggu lepas, kumpulan penggodam Rhysida telah mengatakan yang mereka mempunyai pelbagai data dan dokumen dalaman Insomniac Games dan membuka bidaan bermula dengan harga $2 juta kepada sesiapa yang inginkan data tersebut, termasuk juga kepada Sony sendiri.

Berdasarkan laporan oleh Cyberdaily, Rhysida telah memuat naik 1.67 TB data yang mengandungi 1.3 juga dokumen dalaman Insomniac Games di laman web gelap. Mereka dikatakan hanya memuat naik 98% data yang dimiliki dengan 2% lagi terjual kepada pembeli yang tidak dinyatakan.

Menurut laporan tersebut lagi, antara dokumen yang disertakan adalah mengenai permainan Wolverine yang sedang dibangunkan oleh Insomniac Games, Spider-Man 2 yang sudah dikeluarkan, dan kandungan-kandungan PC pekerja.

Cyberdaily juga melaporkan terdapat dokumen persetujuan di antara Marvel dan Sony Interactive Entertainment untuk hadir dengan tiga permainan berdasarkan X-Men, bermula dengan Wolverine yang disasarkan tiba tidak lewat daripada 1 September 2025, dengan dua permainan lagi pada tahun 2029 dan 2033.

Buat masa ini masih tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Sony dan juga Insomniac Games mengenai perkara ini.

Sohor Kini