Skip to main content

Final Fantasy XVI adalah antara permainan terbaik tahun ini, melalui ulasan saya untuknya pada bulan Jun lepas, saya memberikannya skor 10/10, satu-satunya permainan yang menerimanya pada tahun ini. Oleh itu, tidak mengejutkan saya sangat teruja apabila Square Enix mengumumkan pelancaran DLC bagi permainan ini iaitu Echoes of the Fallen ketika The Game Awards lepas dan ia boleh terus dimainkan pada hari yang sama. Namun, selepas meluangkan lebih kurang 3 jam sahaja, saya boleh katakan yang Echoes of the Fallen agak mengecewakan kerana kandungan yang disertakan adalah sangat terhad. Satu-satunya perkara yang mengurangkan kekecewaan saya, DLC ini adalah bahagian pertama dengan bahagian seterusnya iaitu The Rising Tide akan tiba pada tahun depan.

Penceritaan di dalam Echoes of the Fallen berlaku sebelum bahagian akhir untuk permainan utama, oleh itu, jika anda baru sahaja bermula bermain Final Fantasy XVI, anda perlu bermain-nya terlebih dahulu sehingga mencapai misi yang berkait dengan “Origin”. Jika anda sudah menghabiskan permainan ini sebelum ini, anda boleh membuka fail simpanan dan permainan ini akan memperlihatkan fail simpanan yang mana boleh digunakan untuk bermain DLC ini. Anda juga perlu melakukan beberapa misi sampingan untuk mengakses-nya. Selepas sudah memenuhi segala keperluan ini, permainan ini akan menukar ke mod DLC dengan misi utama digantikan dengan misi bagi DLC ini. Anda boleh menukarnya pada bila-bila masa.

[Amaran Beberan] Bahagian ini akan mengandungi beberan (spoiler) untuk permainan utama, oleh itu jika anda tidak main lagi, amat digalakkan untuk tidak membaca perenggan ini. Penceritaan Echoes of the Fallen adalah selepas Clive melawan dengan Ultima, dan Ultima melakukan sesuatu yang mengubah keadaan di Vaslisthea. Antara kesannya adalah hadirnya “Dusk Crystal” iaitu Crystal yang berfungsi seperti Crystal lain (dapat melakukan magis) akan tetapi ia tidak bertahan lama. Clive bersama dengan Joshua dan Jill perlu menyiasat mengenai Dusk Crystal ini. [Beberan Tamat]

Permainan ini memfokuskan kepada Clive, Joshua dan Jill menyiasat mengenai kewujudan Dusk Crystal yang membawa mereka ke satu menara yang dibina oleh The Fallen. Sebahagian besar permainan ini berlaku di menara ini, yang kita boleh anggap sebagai “dungeon” baharu bagi permainan ini. Ia juga mempunyai beberapa adegan di luar menara, tetapi sekadar untuk memberi pengenalan kepada penceritaan bagi DLC ini. Bagi saya rekaan menara ini adalah menarik, akan tetapi terasa mengecewakan kerana terdapat banyak kawasan yang tidak boleh diakses, pintu yang tidak boleh dibuka, dan menjadikan pengalaman mengembara di dalamnya terlalu linear. Ini ditambah lagi, DLC ini tidak menyertakan misi-misi sampingan tambahan, menjadikan kandungan untuknya sangat terhad.

Berbanding satu penambahan penceritaan, ia terasa seperti saya tambahan misi sampingan sahaja. Saya menggemari misi tambahan di dalam permainan ini, tetapi saya merasakan untuk satu DLC, ia perlu menyertakan lebih banyak kandungan untuk memberikan lebih sebab kepada pemain untuk kembali bermain permainan ini. Terdapat juga kandungan-kandungan lain seperti pedang, aksesori dan kosmetik tetapi ia adalah penambahan kecilan sahaja. Dengan DLC ini ditawarkan dengan harga RM40, manakala DLC kedua kelak boleh didapatkan bersama Pas Penambahan dengan harga RM100, saya berharap The Rising Tide akan memberi penambahan yang jauh lebih banyak berbanding Echoes of the Fallen ini.

Perkara yang baik mengenai DLC ini adalah pertempuran menjadi lebih menarik dengan hadirnya pelbagai penjahat yang berbeza, terutama pertempuran melawan bos akhir yang saya boleh katakan antara pertempuran yang menarik disertakan di dalam permainan ini. Ia adalah satu pertempuran yang sangat berlainan dengan pertempuran-pertempuran lain, saya tidak akan jelaskan secara terperinci kerana merasakan pemain perlu merasainya tersendiri, saya cuma boleh katakan ia memberi perasaan seperti sedang bermain permainan Returnal. Bagi saya rekaan pertempuran ini sangat menarik, menjadikan bertambah kecewa kerana ia tidak ditambah lagi atau dikembangkan lagi.

Akhir kata, jika anda sangat menyukai permainan Final Fantasy XVI, bagi saya DLC ini perlu didapatkan untuk mendapatkan segala kandungan yang ada, namun berdasarkan bahagian pertama ini, ia masih lagi satu DLC yang bagi saya ‘cukup’, oleh itu saya tidak akan salahkan anda jika menunggu untuk mendapatkan DLC ini apabila kedua-dua bahagian dikeluarkan. Jika anda membelinya sekarang, saya masih mengatakan yang anda akan mempunyai masa yang baik, cuma masa yang baik itu akan berakhir dengan pantas. Cadangan saya, dapatkan DLC ini jika anda merancang untuk bermain semula keseluruhan permainan, kerana jika ia bersama dengan permainan utama ia masih satu pengalaman yang sangat baik.

Penafian: Pas Penambahan untuk Final Fantasy XVI disediakan oleh Sony Interactive Entertainment bagi tujuan ulasan ini.

Final Fantasy XVI: Echoes of the Fallen
Echoes of the Fallen meneruskan kandungan berkualiti daripada permainan utama Final Fantasy XVI akan tetapi apabila permainan mula menjadi menarik, ia berakhir dengan meninggalkan perasaan yang tidak puas.
Positif
Pertempuran Yang Menarik
Rekaan Lokasi Baharu Yang Baik
Negatif
Kandungan Terlalu Terhad
7

Leave a Reply

Final Score