Abang Adik merupakan filem pertama yang diarahkan oleh Lay Jin Ong dan saya boleh katakan beliau bermula dengan langkah kanan. Filem ini dihasilkan dengan sangat baik, permasalahan yang cuba disampaikan berjaya dilakukan bukan sahaja dengan menarik tetapi memberi kesan yang besar kepada penceritaan, saya sekadar mempunyai sedikit rungutan mengenai bagaimana pertukaran filem dilakukan yang membuatkan filem ini bagaikan dua filem di dalam satu. Filem ini memfokuskan kepada dua watak utama iaitu Abang lakonan Kang Ren Wu, pelakon berasal dari Taiwan dan Jack Tan yang membawa watak Adi. Mereka adalah dua orang yang tidak mempunyai pertalian darah tetapi membesar bersama dan mempunyai perhubungan erat seperti adik beradik kerana mereka berdua tidak mempunyai dokumen kerakyatan yang sah untuk menetap di Malaysia.

Pada pertengahan pertama bagi filem ini, kisah mengenai kesukaran untuk hidup di Malaysia kerana tidak mempunyai dokumen yang sah, diperlihatkan dengan sangat baik. Ini ditambah lagi dengan filem ini memilih lokasi Pudu yang boleh dikatakan satu lokasi yang sangat kontra dengan bandaraya Kuala Lumpur. Lokasi yang dipilih bukanlah lokasi yang tersembunyi tetapi lokasi yang saya sendiri pernah melaluinya, ataupun pernah melihat, tetapi filem ini dengan baiknya menggunakan lokasi ini untuk memperlihatkan di dalam bandar yang terus membangun dengan pelbagai projek bangunan-bangunan tinggi, tetap ada sebahagian daripada masyarakat kita yang hidup dengan serba kesukaran dan kesusahan yang juga memainkan peranan di dalam ‘menghidupkan’ negara ini.

Menonton filem ini, ia membuka mata saya untuk melihat masalah yang saya langsung tidak terlintas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang tidak mempunyai nasib yang baik terpinggir daripada masyarakat. Saya juga menyukai bagaimana filem ini memperlihatkan cara yang berbeza di antara Abang dan Adi melalui kehidupan mereka, Abang terus bekerja keras dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan, manakala Adi pula sering terlibat dengan perkara-perkara yang bermasalah namun pada masa yang sama, mereka berdua menghormati sesama yang lain. Bagi saya, bahagian ini disampaikan dengan sangat berkesan kerana filem ini berani untuk memperlihatkan raw emotion yang memberi kesan kepada saya sebagai penonton. Segala kesusahan, kesedihan dan juga kegembiraan mereka memberi kesan dan ditambah lagi dengan lakonan yang sangat baik oleh semua pelakon yang membawa watak mereka dengan sangat berkesan.

Disebabkan itulah saya sedikit kecewa apabila filem ini beralih ke ‘bahagian kedua’. Selepas satu kejadian yang besar berlaku, filem ini telah berubah menjadi satu filem yang sangat berbeza. Ia masih lagi satu penceritaan yang baik dan menarik, tetapi segala permasalahan dan juga perkara yang sangat ingin lihat daripada bahagian awal filem bagaikan sudah dilupakan dan diganti dengan sesuatu yang baharu, dengan kata lain permasalahan sebelum ini sekadar menjadi pendorong ataupun kesan sahaja. Saya berpendapat yang arah filem ini boleh dikekalkan tetapi pada masa sama peralihan di antara dua bahagian ini boleh dilakukan dengan lebih baik untuk memastikan saya dapat mengekalkan perasaan saya daripada bahagian awal hingga ke akhir penceritaan berbanding menggantikan terus perasaan saya dengan sesuatu yang berlainan, walaupun begitu saya masih menyukai apa yang cuba disampaikan di bahagian kedua, ia bagaikan saya sedang menikmati memakan yang manis, tiba tiba diberikan sesuatu yang pedas.
Akhir kata, Abang Adik adalah satu filem yang baik di dalam memperlihatkan kesukaran untuk rakyat Malaysia yang tidak mempunyai dokumen sah, ia juga memperlihatkan perhubungan adik beradik yang sangat rapat walaupun dua orang yang tidak mempunyai pertalian darah. Filem ini juga mempunyai bahagian seterusnya yang lebih memfokuskan kepada pengorbanan dan juga penyesalan di dalam hidup. Filem ini juga mempunyai kualiti lakonan yang sangat baik terutama, setiap watak di bawa dengan berkesan dan berjaya untuk menyampaikan segala emosi yang diinginkan. Ia adalah satu filem yang saya sangat cadangkan untuk anda tonton.
Penafian: Tayangan untuk filem ini disediakan oleh mm2 Entertainment. Ia akan tiba di pawagam pada 14 Disember 2023.