Setelah sekian lama, Ubisoft akhirnya hadir dengan permainan yang bukan IP-IP kebiasaan mereka, dan kali ini mereka membawa satu IP yang telah dikenali ramai tetapi dengan medium yang berlainan iaitu permainan video berdasarkan Avatar, iaitu siri filem oleh James Cameron. Secara jujurnya, saya bukanlah peminat setia untuk siri filem ini, sehingga sekarang saya sekadar menonton filem pertama, dan “in progress” bagi filem kedua iaitu Avatar: The Way of Water yang berlaku pada masa sama dengan kejadian di dalam permainan ini. Oleh itu, saya bermain permainan ini bukanlah sebagai peminat Avatar tetapi sebagai pemain yang telah mengikuti permainan-permainan Ubisoft buat sekian lama.
Semasa saya menerbitkan pandang pertama ini, anda mungkin akan melihat media-media lain mengeluarkan ulasan penuh. Ini adalah kerana saya menerbitkan pandang pertama ini semasa tarikh embargo untuk mengeluarkan ulasan, namun oleh kerana saya baru sahaja bermain lebih kurang 10 jam dan ada beberapa perkara yang saya tidak berpuas hati (saya akan jelaskan kemudian) saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan pandang pertama terlebih dahulu, dengan ulasan penuh bagi Avatar: Fronties of Pandora ini saya akan keluarkan tidak lama lagi. Jika anda melihat treler tatamain bagi permainan ini dan merasakan ia adalah seperti permainan Far Cry, selepas 10 jam pertama saya boleh katakan ia adalah benar. Kebanyakan ‘game loop’ di dalam permainan ini adalah seperti yang anda lakukan di dalam Far Cry, tetapi dengan dunia lebih fantasi di Pandaro dan menjadi Na’vi berbanding manusia biasa. Jika anda menyukai Far Cry, anda akan menyukai permainan ini, jika tidak, melainkan anda benar-benar peminat Avatar ia tidak mengubah persepsi anda mengenai tatamain bagi permainan ini.


Permainan ini menjadikan pemain seorang Na’vi yang merupakan terakhir bagi puaknya selepa diculik oleh RDA, di dalam usaha untuk melarikan diri, pemain telah disimpan di dalam cryo dan disedarkan semula selepas 15 tahun iaitu pada masa yang sama untuk filem Avatar: The Way of Water tetapi tidak akan berkait secara terus dengan filem tersebut dan boleh dimainkan walaupun tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Selepas sedar semula, bermula pengembaraan pemain sebagai Na’vi dan pada awal permainan diperlihatkan segala aktiviti yang boleh dilakukan oleh pemain. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah memburu yang saya boleh katakan merupakan fokus utama untuk bahagian awal permainan ini. Terdapat pelbagai jenis bintang yang boleh diburu untuk mendapatkan barangan berlain. Pemain perlu merujuk ‘Buku Memburu’ untuk mengetahui lanjut mengenai binatang-binatang ini, seperti yang dilakukan di dalam permainan Horizon tetapi dengan lebih ringkas. Selain binatang, pemain juga bokeh mencari pelbagai tumbuhan sebagai bahan untuk grafiting.
Selain itu pemain juga boleh mencari barangan tertentu dan didermakan kepada kem untuk mendapat ganjaran. Pemain juga boleh mencari dan mendaki kawasan tertentu untuk mendapatkan kuasa tambahan, ia adalah seperti ‘Radio Tower’ di dalam permainan Far Cry. Di dalam permainan ini, memasak juga menjadi perkara yang penting di dalam permainan ini, selain untuk menyembuh, sesetengah makanan jyga mempunai buff tertentu, semasa ke semasa pemain juga akan menjadi lapar. Tidak mengejutkan permainan ini juga menyertakan ‘membebaskan kem’, di dalam permainan ini, pemain dapat membebaskan kawasan yang digunakan oleh RDA untuk menggali Unobtanium. Pertempuran, pada awal ini saya kebanyakan menggunakan panah kerana senyap dan agak berkuasa, saya juga boleh menggunakan senjata api biasa, tetapi terasa terlalu Far Cry, oleh itu saya jarang menggunakannya.


Penulisan dan juga penceritaan pula saya boleh katakan menarik, oleh kerana ia berdasarkan dunia Avatar oleh itu kebanyakan penceritaan adalah berdasarkan dunia ini, akan tetapi dapat mengenali pelbagai Na’vi daripada puak-puak berlainan adalah menarik termasuk juga dapat mengetahui bagaimana mereka hidup di Pandora, namun setakat ini ia tidak membawa jalan cerita yang sudah kebiasaan bagi dunia ini, iaitu Na’vi melawan dengan RDA, tetapi mungkin ia sudah mencukupi untuk menjadi pengisi bagi permainan ini. Dunia permainan ini nampak luas berdasarkan peta yang disertakan, saya masih lagi di kawasan pertama permainan dan tidak menjelajah kawasan yang berlainan, tetapi tempat pertama ini dipenuhi dengan flora dan fauna, sesuatu yang sudah dijangkakan bahkan diharapkan untuk satu permainan Avatar. Perkara ini, saya boleh katakan yang Ubisoft melakukan satu kerja yang baik, saya juga suka untuk mengembara di dalam dunia ini dan tidak sabar untuk melihat kawasan-kawasan lain.
Perkara yang saya tidak berpuas hati dengan permainan ini, adalah prestasi dan grafik, saya bermain di PC dan dapat bermain dengan tetapan medium tanpa sebarang masalah untuk kadar kelancaran. Namun, saya mempunyai masalah lain seperti tekstur lambat untuk dipaparkan, ataupun tidak dipaparkan secara terus. Jika ia berlaku beberapa kali ia tidak menjadi masalah, tetapi saya dapati ia berlaku dengan terlalu kerap. Saya memasang permainan ini di SSD dan saya tidak mendapat masalah yang sama di permainan lain. Saya baru sahaja mendapat kod permainan ini untuk PS5, oleh itu saya akan menguji bermain di konsol, untuk melihat masalah yang sama masih berlaku ataupun tidak. Selain itu, saya juga mempunyai rungutan mengenai Quality of Life ataupun antaramuka bagi permainan ini, ia terasa sedikit serabut dan ada masa sesuatu penanda tidak jelas dan perlu diperiksa setiap masa untuk memastikannya. Contohnya adalah penanda bagi NPC yang mempunyai misi dan NPC yang mempunyai dialog menggunakan penanda yang sama, oleh itu saya sentiasa terpaksa memeriksa untuk melihat dia mempunyai misi ataupun sekadar dialog. Ia adalah perkara kecil sahaja akan tetapi menjejaskan pengalaman permainan, terutama di kawasan yang mempunyai ramai NPC.


Sebagai penutup, saya boleh katakan yang walaupun satu IP berlainan dengan sesuatu yang sering dihasilkan oleh Ubisoft, akan tetapi Avatar: Frontiers of Pandora tidak mempunyai beza yang ketara dengan permainan Ubisoft lain, terutama siri Far Cry. Bagi yang menyukainya, ia mungkin tiada masalah, akan tetapi bagi yang mungkin sudah kurang tertarik dengan permainan Ubisoft, permainan ini tidak membawa perbezaan yang mencukupi untuk menarik minat mereka. Tambahan pada itu, permainan ini juga masih terasa mempunyai pelbagai masalah prestasi dan grafik, terutamanya untuk PC, oleh itu saya rasakan anda patut melihat dulu ulasan-ulasan lain jika masalah yang sama berlaku.
Penafian: Kod permainan Avatar: Frontiers of Pandora disediakan oleh Ubisoft.