Ulasan The Boy and the Heron

Status Hayao Miyazaki sebagai pencipta animasi legenda tidak boleh disangkalkan lagi, menyampaikan satu penceritaan dengan tema yang berat dengan memfokuskan kepada perlambangan dan dunia yang pelbagai serta misteri adalah gaya dirinya yang terus di bawa ke pelbagai filem olehnya termasuk yang terbaru iaitu The Boy and the Heron. Pertama kali filem ini ditayangkan di Jepun, Toho telah memilih untuk tidak melakukan sebarang pemasaran untuknya, tiada treler dilancarkan, tiada gambar ataupun sinopsis dan bagi saya itu adalah perkara yang baik bagi filem ini kerana penonton dapat mengalaminya tanpa sebarang persepsi awal. Walaupun selepas filem ini mula ditayangkan luar Jepun, terutama untuk tayangan di Amerika Syarikat, treler mula dikeluarkan. Saya tonton treler tersebut tetapi masih memasuki tayangan filem ini dengan hampir tanpa sebarang pengetahuan mengenai apa fokus bagi filem ini. Jika anda masih tidak menontonnya, saya cadangkan untuk anda tidak melakukannya sebaliknya terus sahaja tonton filem ini di pawagam. Adakah ia satu lagi filem yang menarik oleh Hayao Miyazaki?

Saya boleh katakan yang ia bukanlah penghasilan terbaik bagi beliau, tetapi pada masa yang sama saya masih mempunyai masa yang baik melihat penyampaian penceritaan ini. Saya tidak akan terangkan sinopsis ataupun terangkan penceritaan untuknya, sebaliknya saya boleh katakan yang ia membawa satu permasalahan yang menarik, dengan penyampaian yang bukan secara terus. Filem ini banyak bermain dengan tempat dan masa yang berbeza di dalam penyampaian permasalahan, tetapi fokus utama sudah semestinya ‘The Boy’ iaitu Mahito Maki dan juga seekor burung bangau yang mempunyai misteri tersendiri sebagai ‘The Heron’ dan mereka bersama merungkai mengenai misteri kehidupan dan juga dunia, pada masa sama terdapat juga tema kekeluargaan yang memainkan peranan yang sangat penting di dalam penceritaan.

Saya katakan sebelum ini, filem ini bukanlah filem terbaik Hayao Miyazaki pertamanya adalah pilihan beliau untuk menyunting filem ini, dan membawa sesuatu adegan, bagi saya ia sedikit bercelaru dan berkemungkinan akan membuatkan ramai tidak dapat mengikutinya dengan baik. Sudah menjadi sesuatu yang dijangkakan oleh filem Hayao Miyazaki, beliau mempunyai pelbagai kejutan dan perlambangan di dalam penyampaian, tetapi pada masa sama saya biasanya mempunyai kefahaman yang tetap mengenai permasalahan utama yang serba sedikit membantu untuk saya menghayati filem dengan lebih baik, akan tetapi bagi The Boy and the Heron, perkara tersebut tidak disampaikan sehingga lewat filem, walaupun telah diperlihatkan ia masih tidak benar-benar menjawab persoalan saya.

Oleh itu bagi saya, berusaha untuk memahami setiap adegan ataupun cuba untuk mencari setiap makna di sebaliknya, akan membuatkan saya tidak dapat menghargai filem sebegini, sebaliknya daripada cuba memahami apa yang berlaku, saya lebih memfokuskan untuk melihat apa yang filem ini dan juga Hayao Miyazaki ingin sampaikan dan saya filem ini terus menjadi lebih baik semasa saya menontonnya. Pada masa yang sama, saya juga tidak boleh meminta sesiapa menonton seperti mana saya tonton filem ini, ada penonton yang ingin sekurang-kurangnya faham dengan lebih lagi apa yang ditonton untuk membuatkan mereka menghargai sesuatu filem – bagi mereka, ada kemungkinan yang mereka tidak akan menyukai filem ini dan mereka tidak ‘salah’.

Animasi filem ini masih lagi apa yang kita harapkan daripada Studio Ghibli, saya sangat menyukai pergerakan setiap watak, walaupun sekadar memperlihatkan satu watak tidur, tetapi melihat watak tersebut bernafas memberi kepuasan. Rekaan pelbagai dunia dan juga kawasan di dalam filem ini juga menarik, filem ini juga banyak menyertakan elemen-elemen ‘moden’ walaupun filem yang berlaku pada tahun 1943 memberi gambaran dunia yang berbeza. Filem ini juga menjadikan burung sebagai ‘penjahat’ utama, dan seperti biasa terdapat makhluk yang comel tetapi memainkan peranan yang penting di dalam filem ini.

Bagi filem ini, saya boleh merumuskan yang ia bagaikan anda sedang mendengar seorang pelipur lara yang sangat pandai menyampaikan penceritaan dan cerita yang disampaikan juga adalah menarik, tetapi oleh kerana penceritaan yang disampaikannya dengan cara yang lebih rumit, mungkin ada pendengar yang berasa keliru dan apabila tamat terasa sedikit kecewa. Seperti saya katakan sebelum ini, ia adalah satu penerimaan yang tidak salah – anda mungkin akan kecewa dengan filem ini kerana ia sedikit bercelaru. Bagi saya, saya sekadar gembira untuk mendengar satu lagi kisah daripada pelipur lara ini, saya masih sangat mencadangkan untuk anda tonton filem ini, tetapi dengan ‘amaran’ yang penyampaian-nya mungkin tidak seperti yang anda harapkan.

Penafian: Tayangan filem The Boy and the Heron disediakan oleh Encore Films bagi tujuan ulasan ini. Filem ini akan ditayangkan pada 14 Disember 2023.

The Boy and the Heron
The Boy and the Heron adalah satu lagi filem dengan kisah yang menarik dengan penggunaan pelbagai cara penyampaian yang berbeza. Namun, kelebihan itu juga boleh menjadi perkara yang kurang baik kerana penyampaian-nya terasa sedikit bercelaru.
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Animasi Yang Berkualiti
Negatif
Penyampaian Sedikit Bercelaru
Banyak Persoalan Tidak Terjawab
8

Sohor Kini