Ulasan Wonka

Semasa saya menonton filem-filem pendek Wes Anderson di Netflix, saya menyedari yang nama Roald Dahl iaitu cerpen yang menjadi inspirasi setiap filem Anderson ini pernah saya dengar. Dahl adalah pencipta watak Willy Wonka melalui novel beliau Charlie and the Chocolate Factory. Saya pula membesar dengan adaptasi filem lakonan Johny Depp, apabila filem Wonka diumumkan saya menjadi teruja.

Baca – Kali Pertama Menonton Karya Wes Anderson, Adakah Ini Sinema Sebenar?

Adakah Timothée Chalamet boleh membawa DNA Johny Depp sebagai Wonka atau akan ada iterasi tersendiri? Adakah filem ini sekadar satu projek atau ada mesta Willy Wonka yang sedang dibina? Adakah filem ini cukup untuk menarik perhatian orang ramai di zaman sekarang menghargai karya Roald Dahl?


Pengalaman Menonton

Reaksi saya selepas sahaja keluar panggung wayang, WOW, Wonka bukan apa yang saya jangkakan. Filem ini mempunyai keunikan tersendiri dengan persembahan muzikal yang amat menghiburkan berserta visual yang memukau. Saya amat sukakan bagaimana Paul King menyampaikan kisah Wonka yang tidak ramai kenal, iaitu seorang jejaka yang menawan yang hanya berusaha keras cuba menjadi usahawan yang dikenali ramai.

Wonka yang Chalamet bawakan dalam filem ini membuatkan saya teruja. Beliau berjaya menterjemah bagaimana sekiranya Willy Wonka iaitu pencipta coklat seakan saintis gila ketika usia remaja cuba membina empayar sendiri. Membuatkan saya mempersoalkan adakah sekuel boleh memaparkan Chalamet membawa sisi gelap Wonka seperti yang kita kenal dalam filem lakonan Depp? Bawakan kembali elemen muzikal, tetapi lebih murung dan ke arah mengerikan. Tidak mustahil.

Jika anda sukakan gandingan Johnny Depp sebagai Willy Wonka dengan Freddie Highmore sebagai Charlie Bucket, anda pasti akan sukakan gandingan Chalamet sebagai Wonka dengan Calah Lane sebagai Noodle. Kerjasama antara dua watak ini membawakan pengajaran yang baik serta menyentuh emosi yang pasti akan membuka pintu hati seseorang.

Filem Wonka turut membina mesta Charlie and the Chocolate Factory yang unik. Ia mempertontonkan bagaimana Willy Wonka menjadi pencipta coklat terkenal seperti bermula dengan menjual secara haram, memiliki kedai yang magis, jatuh kerugian kerana dengki dan kembali bangkit melalui struktur penceritaan yang lancar dan teratur. Mesta filem ini coklat adalah seakan emas, mata wang yang paling bernilai jadi akan ada orang-orang atasan yang korupsi cuba menumpaskan Wonka kerana menjual coklat pada harga mampu milik.

Cubaan penulis menyelitkan kisah bagaimana Wonka dikerah menjadi pekerja haram dengan memaparkan watak antagonis sampingan turut menghiburkan. Ia berjaya membawakan satu filem yang seimbang antara drama rumit + komedi mencuit hati + muzikal yang saya amat mengharapkan lagu-lagunya mudah diingati selepas menonton, tetapi sayang sekali tidak.

Satu lagi perkara yang menjadikan filem ini menarik adalah lakonan Hugh Grant sebagai Oompa Loompa. Satu lakonan yang menarik dan membuatkan saya amat ingin menyaksikan filem penuh kisah Wonka memasuki Loompaland mendapatkan buah koko yang paling unik serta fasa pembelajaran Wonka mencipta pelbagai coklat menarik – prekuel kepada prekuel. Saya mahu lebih Oompa Loompa dan saya mahu lebih kisah Wonka kerana filem ini walaupun mempunyai durasi 1 jam 56 minit ia tidak cukup memuaskan.

Masa Hadapan?

Satu filem dengan pembinaan mesta Willy Wonka yang tidak pernah diperlihatkan, iaitu ketika zaman dia masih remaja dan belum mempunyai kilang. Wonka hanyalah seorang usahawan yang bekerja keras bagi menjadikan perniagaan coklat dia dikenali ramai kerana coklat Wonka penuh dengan magis. Wonka berpotensi mempunyai sekuel, mungkin dengan tona muzikal yang lebih gelap – kerana peralihan zaman remaja Wonka ke zaman pemilik kilang coklat terbesar dunia.

Kesimpulan

Wonka adalah sebuah filem yang ringkas, seronok dan menghiburkan. Kisah yang ingin disampaikan itu pendek, tetapi diisi dengan persembahan muzikal yang mempunyai visual memukau serta prestasi lakonan mantap yang menjadikan filem ini sebuah filem seisi keluarga yang menenangkan. Wonka bukan filem untuk mereka yang ingin mencari adakah Timothée Chalamet pengganti Johny Depp? Ia sebuah filem memperlihatkan satu sisi Wonka yang semua tidak kenal. Ia mungkin tidak cukup memuaskan kerana terasa begitu singkat, tetapi jika ada sekuel – oh Warner Bros. tolonglah ada sekuel – Timothée Chalamet pasti boleh menjadi Wonka seakan Depp iaitu saintis gila dengan gula-gula magis.

*Ulasan ini adalah berdasarkan tayangan awal yang disediakan oleh Warner Bros. Malaysia, Wonka akan ke pawagam bermula 7 Disember ini.

Wonka
Kisah asal usul Willy Wonka, ketika muda sebelum memiliki kilang coklat ajaib yang terkenal. Bukan filem untuk yang mencari adakah Timothée Chalamet pengganti Johny Depp, kerana Chalamet membawa iterasi Wonka tersendiri yang unik. Persembahan muzikal yang menarik dengan penceritaan ringkas yang cukup menghiburkan.
Positif
Prestasi Timothée Chalamet yang menakjubkan sebagai Willy Wonka
Persembahan muzikal yang menarik dengan visual memukau
Penceritaan yang ringkas dan penuh emosi
Negatif
Muzik yang sukar untuk dinyanyi semula
Tidak memuaskan, mahu lebih lagi Timothée Chalamet sebagai Wonka!!!
7

Sohor Kini