10 Filem Menarik Bulan Disember 2023

Kita sudah memasuki bulan terakhir untuk tahun ini sebelum beralih ke tahun 2024, sebagai penutup, senarai filem yang hadir mungkin sedikit mengecewakan, terutama kerana filem besar seperti Dune 2 telah ditunda ke tahun depan, begitu juga dengan beberapa filem lain yang ditunda kerana mogok pelakon Amerika Syarikat walaupun sudah ditamatkan.

Namun, di dalam kekurangan filem-filem antarabangsa, ia telah memberi peluang kepada filem-filem tempatan dan juga filem dari Asia yang lain untuk menjadi fokus bagi senarai filem menarik bagi bulan ini. Seperti biasa tarikh tayangan adalah tepat semasa penulisan ini berdasarkan penyenaraian di Cinema Online dan ia akan berubah dari semasa ke semasa.

Animal

Tarikh Tayangan: 1 Disember 2023

Filem berbahasa hindi ini diarahkan oleh Sandeep Reddy Vanga dan melibatkan senarai pelakon seperti Ranbir Kapoor dan Anil Kapoor yang kedua-dua mereka membawa dua watak di dalam filem ini. Filem ini memfokuskan kepada perhubungan di antara Vijay dan bapanya Balbir yang menjadi tidak sihat yang juga melibatkan pelbagai jenayah.

Syif Malam

Tarikh Tayangan: 7 Disember 2023

Filem seram komedi ini diarahkan oleh Fairus Anuar memfokuskan kepada rakan sekerja iaitu Ikmal, Botak dan Mok yang mendapati ada misteri di tempat mereka bekerja iaitu tempat tersebut dikatakan memerlukan satu pembunuhan untuk berlaku setiap tahun. Senarai pelakon ialah Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahn Kimin dan Zera Hariz.

Baca: Ulasan Syif Malam

Wonka

Tarikh Tayangan: 7 Disember 2023

Willy Wonka merupakan antara watak popular di dalam novel Charlie and the Chocolate Factory, di dalam filem Wonka ia akan memfokuskan kepada Wonka masih muda dan sebelum menjadi pemilik kilang coklat. Filem ini diarahkan oleh Paul King dengan watak Wonka di bawa oleh Timothee Chalamet dan Lofty di bawa oleh Hugh Grant.

The Boy and the Heron

Tarikh Tayangan: 14 Disember 2023

Filem terbaru oleh pengarah legenda iaitu Hayao Miyazaki dan Studio Ghibli ini telah ditayangkan di Jepun tanpa sebarang promosi, tetapi masih menerima sambutan yang baik. Filem ini juga sebelum ini dikatakan filem terakhir oleh beliau tetapi kemudian dikatakan beliau masih lagi akan menghasilkan filem baharu.

The Lord Musang King

Tarikh Tayangan: 21 Disember 2023

Filem kerjasama di antara Korea dan Malaysia ini memfokuskan kepada perebutan syarikat pengedar buah-buahan seperti durian Musang King yang juga melibatkan pembunuhan. Filem ini diarahkan oleh pengarah dari Korea iaitu Lee Moon Ho dan akan melibatkan pelakon-pelakon dari dua negara seperti Yusuf Bahrin, Edide Chow, Kim Bo Yeon, Kwak Dong Hyuk, Fimie Don, dan Hafidzuddin Fazil.

Aquaman and the Lost Kingdom

Tarikh Tayangan: 21 Disember 2023

Dengan penerimaan untuk filem berdasarkan adiwira kurang memberangsangkan pada tahun ini, ditambah lagi filem Aquaman ini sudah beberapa kali tertunda, keterujaan untuk menontonnya mungkin sudah berkurang. Namun, bagi peminat Aquaman ataupun DC secara umum, sudah semestinya ternanti-nanti untuk melihat Jason Momoa sebagai Aquaman. Seperti filem sebelum ini, filem ini juga diarahkan James Wan.

Pendatang

Tarikh Tayangan: 21 Disember 2023

Filem ini adalah mengenai Malaysia versi ‘distopia’ di mana, bangsa yang berlainan tidak dibenarkan untuk bercampur gaul ataupun berhubung. Filem ini memfokuskan kepada sekeluarga berbangsa Cina yang berpindah ke tempat baharu dan mendapati yang tempat tersebut terdapat seorang kanak-kanak Melayu. Diarahkan oleh Ken Kin dengan lakon layar ditulis oleh Lim Boon Siang dan melibatkan senarai pelakon seperti Fredy Chan, Mayjune Tan, Shareen Yeo, Qaidah Marha, dan Azman Hassan.

Siksa Neraka

Tarikh Tayangan: 21 Disember 2023

Filem dari Indonesia ini merupakan adapatasi kepada komik oleh M. B. Rahimsyah yang menyentuh mengenai pelbagai seksaan dikenakan terhadapap yang berdosa di neraka. Filem ini diarahkan oleh Anggy Umbara dengan senarai pelakon seperti Safira Ratu Sofya, Kiesha Alvaro dan Ariyo Wahab.

Sayu Yang Syukur

Tarikh Tayangan: 28 Disember 2023

Filem arahan Aaron Aziz ini turut melibatkan dirinya sebagai pelakon bersama dengan Arja Lee dan Nora Danish. Filem ini memfokuskan kepada Liana yang melalui satu kejadian yang tragik dan tertutup untuk menerima cinta, tetapi menjadi keliru apabila ada dua lelaki yang cuba mendekatinya.

Migration

Tarikh Tayangan: 28 Disember 2023

Filem animasi oleh Illumination ini memfokuskan kepada sekeluarga itik melewar yang ingin berhijrah ke tempat baharu tetapi mendapati perjalanan mereka dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Filem ini diarahkan oleh Benjamin Renner dengan senarai pelakon suara seperti Kumail Nanjiani, Elizabeth Banks dan Awkwafina.

Sohor Kini