Rockstar Games hari ini telah berkongsi treler untuk permainan seterusnya bagi Grand Theft Auto iaitu Grand Theft Auto (GTA) VI. Walaupun mereka terpaksa kongsinya awal kerana ia tertiris, treler ini masih lagi menarik minat ramai pemain dengan menerima 26 juta tontonan dalam masa 3 jam.

Di dalam kenyataan untuk media, Rockstar Games juga mengesahkan yang GTA VI akan dilancarkan pada tahun 2025 untuk PlayStation 5 dan Xbox Series tetapi tiada pengesahan mengenai versi PC. Adakah ini perkara yang mengejutkan?

Tidak. Ini adalah kerana sudah beberapa siri permainan GTA, versi PC sentiasa dikeluarkan lebih lewat berbanding versi konsol. Bahkan, kali terakhir permainan ini dikeluarkan untuk PC dan konsol secara serentak adalah GTA II, di mana versi PC dikeluarkan bersama dengan PlayStation pada 22 Oktober 1999.

Menariknya, permainan pertama bagi siri ini iaitu GTA dikeluarkan terlebih dahulu di PC, namun hanya berbeza beberapa bulan sahaja dengan PlayStation. Bermula dengan GTA III, versi PC dikeluarkan lebih lambat berterusan sehinggalah GTA V dengan pemain PC perlu menunggu lebih setahun sebelum ia tiba di platform tersebut.

Mengapa Rockstar Games mengeluarkan versi PC lebih lambat? Mereka tidak mengeluarkan kenyataan rasmi, akan tetapi sering mengatakan yang ingin memastikan permainan di dalam keadaan yang terbaik. Oleh itu, kita hanya boleh menganggap yang pembangunan untuk permainan ini, memfokuskan kepada konsol terlebih dahulu.

Buat masa ini, masih tidak disahkan lagi jika GTA VI akan mengikut langkah yang sama, tetapi dengan tiadanya kenyataan rasmi mengenai versi PC, kita boleh menganggap pemain di PC perlu menantikan lebih lama untuk akhirnya bermain GTA VI ini.

Sohor Kini