Skip to main content

Sonic Dream Team adalah permainan seterusnya di dalam siri permainan popular berdasarkan landak biru kegemaran ramai ini. Permainan ini akan dikeluarkan secara eksklusif untuk peranti Apple melalui Apple Arcade, buat masa ini ia tidak ditawarkan di platform ataupun tempat yang berlainan. Sonic Dream Team dikatakan sebagai permainan Sonic yang menitik beratkan penceritaan, dan saya boleh katakan ia adalah benar dan menjadi permainan ini lebih menarik untuk dimainkan.

Permainan ini memfokuskan kepada perkara yang jahat yang ingin dilakukan oleh Dr. Eggman yang cuba untuk menjadikan mimpi yang jahat kenyataan menggunakan Reverie. Permainan ini juga memperkenalkan watak baharu iaitu Ariem. Penceritaan disampaikan dengan beberapa adegan dengan setiap watak juga mempunyai lakonan suara yang bagi saya sangat baik.

Penceritaan adalah ringkas, tetapi disampaikan dengan baik untuk memperlihatkan pergerakan dari satu dunia ke dunia lain termasuk juga mendapatkan watak-watak baharu lebih menarik. Penulisan dialog juga baik, memberi perwatakan kepada kesemua watak yang ada terutama Ariem walaupun watak baharu tetapi bagaikan satu watak yang sudah lama di dalam dunia Sonic.

Bagi yang sudah biasa dengan permainan Sonic, tarikan utama baginya adalah peringkat-peringkat yang menarik dengan cabaran yang pelbagai untuk menggunakan larian Sonic yang laju ini. Sonic Dream Team telah melakukan satu kerja yang baik di dalam menghasilkan peringkat-peringkat ini, dengan setiapnya mempunyai cabaran yang berbeza.

Sonic Dream Team dibahagikan kepada 4 dunia yang setiap-nya akan mempunyai lebih kurang 4 ‘Act’, setiap Act ini pula dibahagikan kepada 5 cabaran, setiap dunia juga akan berakhir dengan pertempuran melawan bos, menyelesaikannya, pemain juga akan mendapat watak-watak Sonic lain untuk digunakan – membentuk judul permainan ini iaitu ‘Dream Team’.

Cabaran-cabaran yang disertakan setiap dunia bagi saya adalah menarik dan memuaskan untuk diselesaikan, ia tidak akan memerlukan kerahan kemahiran ataupun pemikiran, tetapi mempunyai kepelbagaian yang mencukupi untuk menjadikan ia masih lagi menarik untuk dilakukan. Tambahan itu, setiap lokasi juga mempunyai sesuatu yang hanya boleh diakses oleh landak yang tertentu, ini membuatkan mengulangi peringkat yang sama lebih menarik.

Sonic Dream Team menyertakan 6 watak yang boleh digunakan bermula dengan Sonic, Amy Rose diikuti dengan Cream, Knuckles, Tailes dan Rouge yang akan didapatkan dengan menyelesaikan dunia-dunia yang ada. Setiap watak terasa sama di dalam pergerakan asas tetapi setiap daripada mereka mempunyai cara yang berbeza di dalam mengakses sesetengah kawasan di dalam peringkat.

Bagi kawalan, ia boleh dimainkan dengan baik menggunakan skrin sesentuh, akan tetapi bagi saya pengalaman terbaik adalah menggunakan alat kawalan, ia bukan sahaja menjadikan kawalan lebih jitu tetapi juga tidak mengganggu untuk anda melihat permainan kerana tidak tertutup dengan tangan. Namun, jika anda tidak mempunyai alat kawalan, ia masih lagi boleh dimainkan walaupun semasa Sonic sedang bergerak laju.

Grafik permainan ini adalah cukup memuaskan, terutama dengan rekaan-rekaan dunia yang berbeza. Penggunaan warna yang pelbagai juga menjadikannya lebih menarik tetapi tidak serabut. Rekaan peringkat adalah penting kerana terdapat pelbagai barangan yang perlu di cari tetapi pada masa sama ia perlu memastikan yang pemain tidak keliru dengan arah. Bagi saya permainan ini melakukannya dengan baik bagi kedua-dua perkara tersebut.

Sedikit rungutan bagi saya adalah sesetengah collectible yang perlu dikumpul jika ingin ‘100%’ kan permainan ini mungkin akan terlepas pandang dan tiada cara untuk kembali mendapatkannya selain memulakan semula peringkat tersebut. Namun, ia masalah kecil sahaja, pada masa sama sesuatu peringkat mengambil masa yang sekejap sahaja untuk dihabiskan.

Saya boleh katakan yang permainan ini mungkin akan mengambil 2-3 jam untuk dihabiskan keseluruhannya, ia sedikit mengecewakan kerana bagi saya ia mempunyai kandungan yang terhad. Namun, anda boleh panjangkan lagi sesi permainan dengan mencuba watak-watak yang lain. Pada masa sama, saya juga berharap SEGA akan menambah lagi peringkat-peringkat dan juga dunia di dalam permainan ini kerana ia sudah mempunyai asas yang memuaskan.

Akhir kata, Sonic Dream Team adalah satu permainan ‘Sonic’ yang baik, ia menyertakan kebanyakan perkara yang diharapkan daripada permainan siri ini. Rekaan kawasan serta peringkat yang baik, dengan ia cukup mencabar tetapi pada masa sama masih boleh dimainkan secara kasual. Kandungan buat masa ini masih terhad tetapi berharap yang ia satu permainan yang akan terus diberikan oleh kemaskini oleh SEGA kerana pada asasnya permainan ini cukup menarik.

Sonic Dream Team
Sonic Dream Team adalah satu permainan 'Sonic' yang baik, ia menyertakan kebanyakan perkara yang diharapkan daripada permainan siri ini. Satu harapan adalah SEGA untuk terus menambah kandungan untuknya.
Positif
Tatamain yang menarik
Rekaan peringkat yang baik
Grafik yang cantik
Negatif
Kandungan yang terhad
Apple Arcade sahaja
8

Leave a Reply