Bungie hari ini telah mengumumkan secara rasmi yang penambahan seterusnya untuk Destiny 2 iaitu The Final Shape telah ditunda ke 6 Jun 2024 berbanding 27 Februari 2024 yang diumumkan sebelum ini.
Bagi mengisi ruang semasa penundaan ini, Bungie juga telah mengumumkan yang mereka akan menyertakan pelbagai kandungan baharu tambahan, termasuk juga Destiny 2: Into the Light yang akan tiba pada awal bulan April 2024.
Pengumuman ini mengesahkan laporan oleh Bloomberg sebelum ini yang mereka akan menunda pelancaran penambahan ini, selepas membuang sebilangan pekerja di dalam penstrukturan semula.
Penundaan ini sudah semestinya memberi kesan kepada PlayStation kerana ia akan tidak lagi dilancarkan semasa tahun fiskal ini. Mereka mengambil-alih Bungie secara rasmi pada bulan Julai tahun lepas dengan pembayaran $3.7 bilion.
Destiny 2 sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.