Ulasan Thanksgiving

Filem slasher adalah antara genre kegemaran aku dalam kategori filem seram. Scream, Halloween, Friday the 13th, dan lain-lain yang lebih kurang samalah yang membuatkan aku jatuh hati kepada genre ini. Terbaru, Sony Pictures telah hadir dengan filem Thanksgiving yang pada aku berpotensi menjadi pengganti kepada Halloween iaitu filem pembunuhan bersiri bertemakan percutian di Amerika Syarikat. Idea dan konsep filem ini berjaya menghiburkan aku dan aku mungkin akan mengulangi tontonan jika versi digital sudah keluar suatu hari nanti.


Pengalaman Menonton

Thanksgiving adalah satu filem pembunuhan bersiri di mana majoriti watak yang menjadi mangsa pembunuhan tidak cukup terkenal. Sementara pelakon popular menjadi watak sampingan yang memeriahkan lagi situasi yang mencemaskan. Durasi filem adalah 1 jam 46 minit digunakan sebaik mungkin kerana filem tidak rasa meleret dan dari awal filem sehingga tamat mempunyai penceritaan yang lancar dengan banyak elemen komedi ringan serta pembunuhan yang mengejutkan.

Thanksgiving adalah satu lagi filem di mana pembunuh sebenar telah diacah dari awal filem tetapi penonton akan terus membuang dari senarai suspek kerana tidak ada bukti yang kukuh. Hanya pada hujung filem barulah semua akan terkejut dan menyedarinya. Disebabkan majoriti mangsa dalam filem ini adalah sekumpulan pelajar sekolah menengah di zaman moden, aku mudah rasa marah kerana masing-masing melakukan keputusan melulu yang dungu.

Setiap pembunuhan adalah sangat kejam dan ganas. Cara si pembunuh menyerang juga agak licik dan aksinya juga mengerikan. Sebut sahaja mahu apa, badan terputus dua, kepada terpusing 360 darjah, kepala dipancung, tikaman dan banyak lagi semuanya ada. Cuma apa yang aku tidak puas hati adalah LPF yang tidak konsisten. Filem ini sudah diklasifikasikan sebagai 18 tetapi setiap adegan yang dipotong menjadikan ia seakan filem untuk tontonan 16. Ia adalah seakan filem Halloween Kills di mana aksi pembunuhan itu tidak nampak dan terus menunjukkan mayat sahaja.

Masalah lain yang aku hadapi dalam filem ini adalah prestasi lakonan watak utama yang tidak bersemangat iaitu Nell Verlaque yang menjadi Jessica. Beliau tidak membawakan emosi yang realistik dan apa yang beliau lakukan untuk menyelamatkan diri adalah klise. Seorang lagi watak penting iaitu Sheriff Eric Newlon lakonan Patrick Dempsey juga agak lemah dan tidak memberikan satu prestasi yang memuaskan.

Dari segi visual, runut bunyi, pergerakan kamera dan set penggambaran adalah baik sekali. Filem seperti ini tidak perlu bergantung kepada kesan visual besar yang gah kerana kesan praktikal adalah lebih baik. Suntingan filem seperti setiap peralihan antara adegan dan warna juga mampu membawakan tema filem seram pembunuhan bersiri yang moden dan menarik perhatian.

Pada hemat aku, jika filem ini menerima kutipan yang bagus dan sambutan orang ramai yang baik – Sony Pictures boleh menjadi studio baharu yang menghidupkan semula francais filem slasher. Thanksgiving benar-benar boleh menjadi pengganti Halloween untuk zaman moden dan suatu hari nanti ia boleh menjadi filem kultus atau filem seram klasik sedekad akan datang.

Kesimpulan

Peminat filem seperti ini boleh cuba menontonnya di pawagam. Anda boleh saksikan bagaimana Sony Pictures menghasilkan filem slasher yang menarik. Ia padat dengan drama tersendiri, tidak meleret dan cukup menghiburkan. Hanya dua perkara sahaja membuatkan aku tidak boleh berikan filem ini skor yang tinggi, iaitu LPF potong banyak adegan ganas tetapi tidak membuang adegan lucah dan juga pengakhiran filem yang klise kerana amat mudah diramalkan apakah yang bakal berlaku seterusnya.

Filem ini akan ditayangkan bermula 30 November akan datang, ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Sony berikan minggu lepas.

Thanksgiving
Jika anda suka Friday the 13th, Halloween, Scream, Nightmare on Elmstreet - anda pasti akan sukakan Thanksgiving. Dengan francais Halloween sudah tamat, filem ini berpotensi dikembangkan menjadi satu francais filem 'slasher' popular sebagai pengganti. Ia mempunyai cerita yang ringkas, elemen balas dendam, ada sedikit komedi, sangat ganas dan ngeri - cuma aneh sekali pilihan adegan yang dipotong LPF tidak konsisten.
Positif
Sebuah penceritaan menarik yang ada potensi berkembang lagi.
Adegan pembunuhan yang ganas dan mengerikan.
Penyampaian yang lancar dan tidak meleret.
Negatif
Banyak adegan pembunuhan dipotong tidak seperti Saw X atau Evil Dead Rise.
Prestasi lakonan beberapa watak yang tidak meyakinkan.
Masih ada elemen klise untuk meneka pembunuh sebenar.
7

Sohor Kini