Ulasan Disney’s Wish

Di dalam cerita-cerita dongeng oleh Disney, antara ‘watak’ yang sering membuat penampilan adalah bintang ataupun “wishing stars”, sesuatu yang menjadikan hajat satu kenyataan. Penggunaan paling popular sudah semestinya di dalam filem Pinocchio yang juga mempunyai lagu tersendiri iaitu “When You Wish Upon a Star”. Namun, bintang ini tidak dijadikan sebagai satu watak yang hidup, tetapi sebagai satu gambaran sahaja ataupun metafora, sehinggalah membuat penampilan pertama kali di dalam filem Strange World (di bahagian kredit) sebelum diperlihatkan secara mendalam di dalam filem Wish ini.

Filem Wish berkait rapat dengan konsep hajat, di mana ia berlaku di Kingdom of Rosas, raja di negara ini adalah King Magnifico (Chris Pine) yang memerintah dengan baik dan memberi kemewahan secara percuma. Namun, setiap warga negara tersebut mesti memberikan hajat terbesar mereka untuk disimpan di istana. Setiap tahun, untuk beberapa kali King Magnifico akan menunaikan beberapa hajat tersebut di satu acara khusus.

Perkara ini pada permukaan nampak tidak bermasalah dan diterima oleh semua rakyat negara tersebut, sehinggalah Asha (Ariana DeBose) yang ingin menjadi pembantu raja untuk meminta King Magnifico menunaikan hajat datuknya yang berumur 100 tahun. Asha meminta kepada King Magnifico tetapi telah ditolak kerana menurut raja, hajat yang diinginkan oleh datuk Asha boleh mencetus masalah kepada negara tersebut.

Tidak berasa senang dengan perkara tersebut, Asha mula mendesak King Magnifico untuk kembalikan hajat yang tidak akan ditunaikan kepada pemiliknya agar mereka dapat berusaha sendiri untuk mencapainya. Permintaan tersebut ditolak, dan Asha kini menjadi lawan kepada Kingdom of Rosas. Di dalam kegusaran mengenai perkara tersebut, Asha telah berhajat kepada bintang, dan turunlah bintang untuk membantu Asha melawan King Magnifico dan mengembalikan kesemua hajat kepada pemiliknya.

Penceritaan bagi saya adalah ringkas dan cukup menarik untuk saya tonton, tetapi saya berharap ia lebih dikembangkan lagi, dan sesetengah bahagian terasa berlaku terlalu cepat tanpa hadirnya pembinaan tetapi terus menjadi klimaks ataupun permasalahan. Begitu juga dengan watak Asha yang saya rasakan perkembangan dilakukan dengan terlalu cepat saya tidak merasakan hadirnya perkembangan watak untuknya.

Filem ini juga kurang berjaya untuk menaikkan lagi watak-watak sampingan yang hadir, beberapa kawan Asha walaupun melakukan penglibatan secara langsung, tidak terlalu memberi kesan kerana filem ini terlalu memfokuskan kepada Asha dan King Magnifico, bahkan ‘Bintang’ juga walaupun terlibat di setiap adegan hanya terasa kehadirannya di bahagian akhir sahaja. Satu-satunya watak sampingan yang saya rasakan diberi ruang mencukupi adalah Valentino (Alan Tudyk) iaitu seekor kambing yang boleh bercakap selepas ditunaikan hajatnya, dia menjadi watak yang menjadikan penceritaan lebih menarik dengan pelbagai tingkah laku dan dialog yang melucukan.

Walaupun begitu, saya tidak merasakan penceritaan yang disampaikan kurang menarik. Saya masih mempunyai masa yang baik menonton, dan watak Asha serta King Magnifico dilakukan dengan baik, terutama King Magnifico yang saya boleh katakan mempunyai beberapa perwatakan yang berbeza menjadikannya watak penjahat yang klasik.

Sebagai filem yang hadir untuk meraikan ulang tahun ke-100 Disney, Wish menggunakan gaya animasi komputer dengan gabungan animasi watercolor. Bagi saya ia nampak sangat cantik, walaupun saya merasakan mungkin penggunaan warna agak suram akan tetapi selepas melihat pelbagai filem animasi lain menggunakan gaya-gaya yang berbeza, pilihan Walt Disney Animation untuk menggunakan gaya animasi yang berlainan adalah tepat dan menjadikan filem ini terasa lebih segar.

Sebagai filem animasi oleh Walt Disney, sudah semestinya lagu juga menjadi fokus utama untuknya. Filem ini membawa beberapa lagu yang menarik seperti “The Wish” dan “A Wish Worth Making” tetapi selain daripada dua lagu ini, saya tidak berasa lagu-lagu lain mempunyai tarikan yang mencukupi. Paling mengecewakan bagi saya adalah lagu yang sepatutnya dinyanyikan oleh King Magnifico, yang tidak memberi perasaan seperti satu lagu watak jahat, selain daripada liriknya. Namun, saya boleh katakan yang Ariana DeBose mempunyai suara yang sangat baik dan sedap untuk didengar.

Akhir kata, Wish adalah satu filem yang dikatakan adalah permulaan kepada kisah-kisah dongeng Walt Disney Animation yang lain, ia juga adalah filem untuk meraikan ulang tahun ke-100 Disney, oleh itu sedikit mengecewakan kerana penceritaannya terasa terlalu biasa, dan lagu-lagu yang hadir juga tidak memberi kesan seperti kebiasaannya. Namun, ia masih lagi satu kisah yang menarik untuk ditonton dan gaya animasi yang digunakan juga menarik. Dengan ia adalah permulaan kepada filem animasi Disney yang lain, terdapat pelbagai easter egg yang anda boleh jumpai termasuk juga selepas kredit berakhir.

Penafian: Tayangan awal untuk Wish disediakan oleh The Walt Disney Malaysia untuk ulasan ini.

Gambar: © 2023 Disney

Disney's Wish
Wish mempunyai penceritaan yang menarik tetapi terlalu selamat, dan lagu yang kurang memberi kesan. Namun, gaya animasi dan pelbagai easter egg menjadikannya tontonan yang menyeronokkan.
Positif
Gaya Animasi Yang Menarik
Pelbagai Easter Egg Untuk Peminat Disney
Negatif
Penceritaan Terasa Terlalu Selamat
Beberapa Lagu Sahaja Menarik
7

Sohor Kini