Sudah bertahun aku tidak menonton filem tempatan yang bertemakan gangster atau samseng. Kegemaran aku dahulu adalah francais KL Gangster yang mempunyai empat filem dan satu siri TV dengan dua musim. Baru-baru ini aku telah menonton Budak Flat di MBO Cinemas, Big Screen sempena pelancarannya untuk siaran di Prime Video semalam.
Filem ini adalah sebuah filem yang hebat yang ditulis oleh penulis skrip Seribu Nina iaitu Nazri M. Anuar dan June Tan serta diarahkan oleh Eugene Lim dengan koreografi aksi dikendalikan oleh Faizal Ishak yang turut menjayakan KL Gangster: Underworld. Filem ini memberi pengalaman menonton yang memuaskan dan dalam artikel ulasan ini akan aku kongsi kenapa anda semua wajib menonton Budak Flat.
Budak Flat bukan sebuah filem gangster yang tipikal di Malaysia. Setiap penjenayah ini tidak menggunakan slang orang Cina seperti Lu gua, Lengchai sudah mari, wa ingat lu sudah mampus dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Filem ini memfokuskan penduduk di sebuah flat iaitu Flat Colombia Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Majoriti penduduk di sini terlibat dengan jenayah yang dilakukan oleh dua kumpulan gangster di flat ini. Satu kumpulan diketuai oleh Aman lakonan Zahiril Adzim dan satu lagi diketuai oleh Riz lakonan Pablo Amirul. Aman dan Riz adalah adik-beradik yang telah bergaduh dan berdendam kerana pandangan organisasi jenayah yang berbeza juga kerana berebut dengan seorang gadis.
Perjalanan cerita Budak Flat adalah sangat lancar, ia tidak meleret dan cukup menghiburkan. Filem ini tidak begitu memfokuskan kepada perkembangan watak tetapi lebih kepada perkembangan satu kumpulan gangster yang diawasi oleh ketua penjenayah yang mendakwa mengendalikan jenayah satu Kuala Lumpur. Penulisan skrip juga baik kerana tidak begitu klise berbanding filem lain dengan tema yang sama. Ia memberi satu perspektif segar kepada penonton yang kononnya inilah dunia gangster sebenar.
Setiap aksi dilakukan dengan baik, ia boleh diterima tetapi kesan bunyi dan pergerakan kamera tidak begitu stabil dan bergegar. Walaupun begitu ia tidaklah seteruk pada filem Mat Kilau. Aku difahamkan filem ini melakukan penggambaran kurang sebulan bermula bulan Ramadan lepas. Jadi dengan masa yang singkat, hasil filem ini mempunyai kualiti yang aku boleh diterima.
Memandangkan ini adalah filem Malaysia, satu elemen drama cinta tiga segi masih diselitkan. Bahagian ini pada aku sedikit bosan kerana aku lebih berminat untuk mengetahui konflik Aman dan Riz yang lebih mendalam berbanding mereka berdua berebut dengan seorang gadis lakonan Nabila Huda. Elemen komedi turut berjaya diselitkan yang meredakan sedikit adegan yang genting dan menariknya ia tidak begitu cringe.
Budak Flat turut seakan mengambil inspirasi adegan akhir filem Avengers: Endgame, di mana Captain America menyebut “Avengers, assemble” tetapi dalam filem ini salah seorang watak utama menyebut “Kami, budak-budak flat” – lebih kurang begitu. Untuk sebuah filem aksi gangster dengan durasi 1 jam 44 minit, Budak Flat memberikan aku satu kepuasan dan pasukan produksi serta barisan pelakon layak menerima pujian tinggi. Aku amat kecewa yang filem ini adalah untuk Prime Video dan bukannya untuk pawagam.
Jika anda berminat dengan filem gangster dan sudah lama tidak menyaksikan filem dengan tema ini, Budak Flat adalah contoh filem yang baik. Dari aksi sehingga dramanya, semuanya seimbang dan akan memberikan pengalaman menonton yang baik. Prestasi lakonan yang hebat, elemen komedi yang sesuai dengan masa, koreografi aksi yang mantap dan penceritaan yang lancar akan membuatkan anda tidak sabar menantikan sekuel. Ya, Budak Flat ada mengacah yang filem ini akan bersambung lagi suatu hari nanti.
Budak Flat sudah pun boleh ditonton di Prime Video sejak semalam. Filem ini adalah eksklusif untuk platform penstriman dan jika anda ingin menyaksikan filem ini, Prime Video boleh dilanggan pada harga RM25 sebulan.