Jika anda membaca ulasan saya untuk Tales of Arise yang diterbitkan baru-baru ini, anda mungkin mengetahui yang saya keluarkan ulasan Tales of Arise walaupun sudah 2 tahun dikeluarkan, kerana ia menerima DLC baharu iaitu Beyond the Dawn. Selepas meluangkan masa hampir 15 jam bermain DLC ini, saya boleh katakan yang ia adalah satu penambahan yang baik akan tetapi tidak membawa perubahan yang besar untuk menjadikan ia satu penambahan yang wajib perlu dimainkan.
Beyond the Dawn meneruskan penceritaan daripada permainan Tales of Arise, dengan ia berlaku setahun selepas kejadian di dalam permainan tersebut. Dahna telah melalui satu fasa yang baharu selepas apa yang berlaku di pengakhiran Tales of Arise, ia membawa perkara yang positif dan juga perkara yang negatif. Permainan ini masih mengekalkan kumpulan watak yang sama iaitu Alphen dan Shionne bersama dengan beberapa rakan mereka.
Penambahan utama di dalam permainan ini adalah watak baharu iaitu Nazamil yang boleh dikatakan sebagai satu watak unik kerana dia merupakan campuran Dahna dan Rena tetapi tidak diterima oleh kedua-dua bangsa. Dia juga mempunyai kuasa seakan Alphen dan juga Shionne, malangnya watak Nazamil adalah sekadar untuk penceritaan sahaja, walaupun ada menyertai pemain tetapi dia bukan watak yang boleh dikawal.
Secara amnya penceritaan adalah baik sahaja, cuma sedikit mengecewakan kerana saya merasakan penceritaan yang di bawa di dalam DLC ini tidak membawa penceritaan ke-depan, sebaliknya ia berundur sedikit, dan berakhir dengan kembali seperti mana pengakhiran kepada permainan asal. Menarik untuk mengenali Nazamil dan juga melihat keadaan Dahna setahun kemudian, tetapi pada masa sama penceritaan DLC ini tidak membawa sesuatu yang baharu.
Perkembangan watak juga saya boleh katakan tiada untuk mana-mana protagonis utama selain daripada mengembangkan lagi perhubungan di antara Alphen, Shionne bersama dengan watak-watak lain. Perkembangan utama hanya pada watak Nazamil yang merupakan satu watak baharu, itupun bagi saya watak Nazamil walaupun ada tarikan tersendiri tetapi terasa kurang menarik jika dilihat secara keseluruhan penceritaan. Bagi saya DLC ini terlepas peluang untuk membawa penceritaan yang lebih menarik dan juga mengembangkan lagi dunia di dalam Tales of Arise.
Selain daripada penceritaan, bahagian lain adalah lebih kurang sahaja dengan dengan permainan Tales of Arise. Pemain masih lagi menggunakan watak-watak serta kemahiran yang sama, cuma tanpa mengambil kira tahap di dalam permainan asal, pemain yang memulakan DLC ini akan bermula dengan watak tahap 65, jika anda mencecah tahap 100 di permainan asal, bonus akan diberikan begitu juga jika telah melakukan aktiviti-aktiviti tertentu di dalam permainan asal tersebut.
Kawasan permainan juga kebanyakannya adalah sama, tetapi mereka menambah beberapa lokasi dan juga tiga ‘dungeon’ yang boleh dikatakan kawasan utama di dalam penambahan ini yang termasuk juga kawasan terakhir. Bagi misi utama, saya boleh katakan kandungan adalah ringkas dan mengambil lebih sedikit 10 jam untuk dihabiskan, saya mengambil 15 jam kerana juga melakukan kebanyakan perkara sampingan di dalamnya.
DLC ini menambah pelbagai misi sampingan, seperti EX dan juga misi sampingan yang memfokuskan kepada watak-watak tertentu. Di permainan asal, saya katakan yang misi sampingan adalah ringkas dan cepat untuk dilakukan, perkara yang sama bagi DLC ini, ia memberi penceritaan tambahan tetapi saya tidak merasakan pemain akan terlepas perkara yang penting jika tidak melakukannya. Namun, dengan penceritaan utama pendek sahaja, melakukan misi sampingan mungkin menjadikan permainan ini lebih berbaloi.
Jika penceritaan, DLC ini terlepas peluang untuk mengembangkannya lagi, DLC ini juga terlepas peluang untuk membawa sesuatu yang baharu kepada tatamain dan juga pertempuran. Nazamil adalah watak menarik dan mempunyai kuasa tersendiri, tetapi mengecewakan kerana dia menjadi sekadar watak untuk penceritaan sahaja. Ia masuk akal dengan apa yang berlaku di dalam penceritaan, tetapi pada masa sama sesuatu mungkin boleh dilakukan untuk membolehkan wataknya dikawal oleh pemain.
Akhir kata, Tales of Arise: Beyond of the Dawn adalah satu alasan yang baik untuk kembali bermain Tales of Arise, terutama jika kali terakhir anda bermain adalah pada dua tahun yang lepas, akan tetapi ia tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan perasaan ini adalah satu permainan yang sama sahaja dengan permainan asal. Selain daripada itu, penceritaan dan juga tatamain juga tidak dikembangkan dengan mencukupi untuk menjadikan DLC ini wajib perlu dimiliki.
Penafian: Kod permainan Tales of Arise bersama dengan DLC disediakan oleh Bandai Namco bagi tujuan ulasan ini.