Ulasan Tales of Arise

Tales of Arise dikeluarkan pada tahun 2021, oleh itu anda mungkin tertanya mengapa ulasan untuknya baru sahaja dikeluarkan hari ini. Jawapan panjangnya adalah kerana Bandai Namco telah menyediakan kod ulasan semasa ia dilancarkan akan tetapi tidak berkesempatan untuk mengeluarkan ulasan, namun dengan DLC untuknya iaitu Beyond the Dawn sudah dikeluarkan pada 9 November, saya merasakan ini adalah masa yang baik untuk akhirnya mengeluarkan ulasan bagi Tales of Arise ini.

Selepas meluangkan lebih 40 jam bermain Tales of Arise, saya kecewa dengan diri sendiri kerana menangguh untuk mencuba permainan ini selama 2 tahun, tetapi pada masa sama ia membuktikan yang walaupun sudah berumur 2 tahun akan tetapi Tales of Arise adalah antara permainan JRPG yang terbaik terdapat di pasaran sekarang. Saya mempunyai masa yang baik bermain sepanjang 3/4 daripada permainan ini, sekadar bahagian akhir sahaja saya merasakan yang sedikit mengecewakan.

Perkara pertama yang menarik minat saya adalah penceritaan, saya boleh katakan yang Tales of Arise tidak membawa penceritaan baharu ataupun yang unik, premis penceritaan saya boleh katakan sudah diulang-ulang beberapa kali di dalam permainan lain ataupun kandungan-kandungan yang berlainan. Namun, ia bukan masalah bagi permainan ini kerana penyampaian yang baik masih membuatkan saya terus ingin mengikuti apa yang akan berlaku di dalam permainan ini.

Penceritaan ini digerakkan dengan baik oleh watak-watak utama yang hadir, dua watak utama adalah Alphen dan Shionne, Aplhen merupakan puak Dahna, manakala Shionne pula adalah daripada puak Rena. Di dalam dunia ini, Rena merupakan penjajah yang menakluk dunia Dahnan dan menjadikan mereka hamba untuk mengambil ‘Astral Energy’ daripada dunia Dahna dan dibawa ke Rena. Dahna dibahagikan kepada lima kawasan yang setiapnya diketuai oleh seorang ‘Lord’.

Selepas kejadian pada awal permainan, Alphen bersama dengan Shionne telah bertekad untuk membebaskan Dahna daripada Rena, untuk melakukannya mereka ingin melawan dan menumpaskan kesemua Lord. Bermula pengembaraan mereka, yang juga akan ditemani oleh pelbagai watak menarik yang juga adalah watak yang boleh digunakan. Perkara yang saya sangat suka mengenai penceritaan ini adalah di setiap lima kawasan, terdapat sesuatu yang baharu diceritakan dan setiap Lord juga membawa kisah mereka sendiri.

Ini ditambah lagi dengan rakan-rakan yang akan bersama dengan Alpehn dan Shionne, mereka juga mempunyai penceritaan tersendiri dan permainan ini melakukan satu kerja yang baik untuk memastikan setiap daripada mereka diberikan ruang yang mencukupi untuk berkembang. Mengenali setiap-setiap watak ini adalah perkara yang menarik, selain daripada melalui penceritaan utama, terdapat juga adegan-adegan pilihan yang boleh dilakukan tetapi tidak diwajibkan. Kepelbagaian ini menjadikan watak-watak yang hadir bukan sahaja sekadar untuk menyertai pasukan pertempuran tetapi setiap daripada mereka membawa penceritaan tambahan yang menjadikan penyampaian lebih menarik.

Masalah utama untuk penceritaan bagi saya adalah bahagian akhir dan juga bagaimana permainan ini cuba untuk merumuskan segala apa yang berlaku. Bagi saya, ia dilakukan dengan sangat kurang menarik terutama jika ingin dibandingkan dengan bahagian-bahagian lain di dalam penceritaan. Saya boleh katakan, ia seperti mereka telah menghasilkan penceritaan untuk 30 jam, tetapi dipaksa untuk menambah lagi 10 jam tanpa sebab. Ia mungkin bukan apa yang berlaku, tetapi saya tidak boleh membuang perasaan itu.

Oleh itu, keseronokan mengikut penceritaan untuk 3/4 bahagian di dalam permainan ini akan menjadi sedikit terganggu semasa bahagian akhir dan secara jujur-nya saya mengharapkan penceritaan, terutama di bahagian akhir boleh diringkaskan lagi dan disampaikan dengan lebih kemas. Namun, secara keseluruhannya, saya masih boleh katakan ia mempunyai penceritaan yang menarik dan setiap watak yang hadir akan mempunyai bahagian di dalam ingatan saya.

Pertempuran di dalam permainan ini saya boleh katakan menarik, namun berbanding menjadikan sesi permainan terasa mencabar, permainan ini lebih kepada menjadikannya mengambil masa yang lama. Bermain dengan tahap kesukaran ‘Normal’, strategi utama yang saya boleh katakan adalah memastikan saya dapat bertahan tanpa mati selama yang mungkin.

Oleh kerana, Tales of Arise memberikan pelbagai cara untuk membentuk pasukan, mengawal watak dan juga menghasilkan strategi, pertempuran masih menarik walaupun ada masa ia akan memberikan perasaan pertempuran ini berlaku terlalu lama. Pada satu masa, terdapat empat watak yang boleh digunakan, tetapi boleh mengawal satu watak pada satu masa, watak boleh ditukar pada bila-bila masa, kumpulan juga boleh ditukar ganti semasa pertempuran sedang berlaku.

Kepelbagaian ini lah yang menjadikan pertempuran terasa seperti satu strategi berbanding ingin membunuh secepat mungkin. Kata-kata yang kita biasa dengan, ia adalah maraton bukan satu pecutan dan saya boleh katakan ia adalah sangat tepat untuk menggambarkan pertempuran di dalam permainan ini. Ada pertempuran yang berlaku terlalu panjang dan mempunyai beberapa fasa sehingga memerlukan saya menggunakan dua pasukan dan strategi berbeza di dalam satu pertempuran, ia mungkin menjengkelkan terutama dengan jumlah pertempuran di dalam permainan ini, tetapi jika ia dilakukan dengan secara perlahan ia adalah menarik.

Adakah permainan ini memerlukan grinding? Saya boleh katakan tidak, sekurang-kurangnya untuk tahap kesukaran ‘Normal’. Ini adalah kerana anda tidak perlu cuba untuk mencari pertempuran tambahan, kerana pertempuran yang tidak dapat dielakkan sudah mencukupi, dan saya mengakhiri permainan ini dengan 3 tahap sahaja lebih rendah berbanding pertempuran akhir walaupun saya tidak melakukan aktiviti tambahan untuk meningkatkan tahap.

Permainan ini menyertakan pelbagai aktiviti tambahan, seperti misi sampingan yang kebiasaannya memerlukan saya bertempur di kawasan tertentu, ataupun mencari bahan, selain itu terdapat juga collectible, dan memancing. Bagi aktiviti sampingan, ia adalah menarik untuk dilakukan, tetapi saya cadangkan jika anda ingin melakukannya, lakukan sebelum memasuki bahagian akhir permainan ini, kerana penceritaan di bahagian akhir kurang menarik membuatkan anda ingin cepat-cepat menghabiskannya berbanding mengambil masa untuk melakukan perkara sampingan.

Tales of Arise menyertakan dua pilihan tetapan grafik iaitu Performance dan Graphics, kebanyakan bahagian permainan ini saya menggunakan Performance kerana saya tidak nampak perbezaan yang sangat ketara berbanding dengan Graphics terutama kerana arahan seni yang digunakan di dalam permainan ini, yang mengambil gaya “anime” dan “watercolor” oleh itu, tetapan Graphics tidaklah memberi kesan yang besar, sekurang-kurangnya untuk saya. Manakala kadar kelancaran lebih terasa perbezaannya.

Bercakap mengenai grafik, walaupun permainan ini dikeluarkan pada 2 tahun lepas, akan tetapi grafik permainan ini masih baik untuk waktu sekarang. Sudah semestinya ia tidak boleh dibandingkan dengan permainan yang lebih menggunakan arahan seni yang lebih realistik seperti Final Fantasy XVI tetapi untuk gaya yang digunakan oleh permainan ini, ia adalah antara terbaik. Pertempuran dengan memperlihatkan pelbagai efek visual juga nampak sangat menarik dan epik.

Akhir kata, 2 tahun kemudian, Tales of Arise masih lagi satu pengalaman permainan yang menarik. Penceritaan walaupun bukan sesuatu yang unik masih lagi menarik terutama dengan kepelbagaian watak yang setiap dikembangkan dengan mencukupi, ia sedikit mengecewakan di bahagian akhir. Pertempuran, terutama melawan bos adalah maraton dan bukan pecutan, ia bukan mengenai membunuh secepat mungkin tetapi lebih kepada bertahan selama mungkin dan melakukan kombo serangan yang terbaik. Grafik masih lagi cantik dan tidak langsung terasa sudah ketinggalan kerana arahan seni yang dipilih, dilakukan dengan baik. Dengan DLC baharu sudah dikeluarkan untuk Tales of Arise, saya sangat syorkan anda untuk mencuba siri ini jika tidak melakukannya sebelum ini.

Penafian: Kod permainan Tales of Arise untuk PlayStation 5 dan PC disediakan oleh Bandai Namco bagi tujuan ulasan ini.

Tales of Arise
Tales of Arise adalah satu permainan JRPG yang mempunyai penceritaan dan watak menarik walaupun sedikit mengecewakan di bahagian akhir. Pertempuran memerlukan kesabaran tetapi masih seronok dengan pelbagai strategi dan pilihan watak yang boleh digunakan.
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Setiap Watak Dikembangkan Dengan Baik
Pertempuran lebih Memfokuskan Strategi
Grafik Yang Berkualiti
Negatif
Bahagian Akhir Penceritaan Kurang Menarik
Sesetengah Pertempuran Terasa Terlalu Lama
9

Sohor Kini