Bungie iaitu pembangun untuk permainan Destiny 2 telah mengumumkan yang pembuangan pekerja berlaku di dalam studio mereka tetapi tidak mengumumkan jumlah keseluruhan. Menurut Bloomberg, pembuangan ini adalah sebahagian daripada penstrukturan semula yang sedang berlaku di dalam PlayStation.
Pete Parsons iaitu CEO Bungie di dalam penulisan di X telah mengatakan yang hari ini adalah satu hari yang sedih untuk mereka kerana terpaksa mengucap selamat tinggal kepada beberapa individu yang telah memberi sumbangan yang besar kepada mereka dan berharap studio-studio yang mempunyai peluang dapat mengambil mereka.
Bungie telah mengumumkan penundaan untuk penambahan seterusnya bagi Destiny 2 iaitu The Final Shape ke bulan Jun tahun depan berbanding bulan Februari. Selain itu, turut dilaporkan permainan akan datang mereka iaitu Marathon hanya akan tiba pada tahun 2025. Bungie sebelum ini tidak mengumumkan sebarang tarikh pelancaran untuk permainan tersebut.
Selain Bungie, pada minggu lepas Media Molecule iaitu pembangun untuk Dreams juga telah mengumumkan pembuangan 15 hingga 20% daripada keseluruhan tenaga kerja mereka selepas beralih ke projek baharu.
PlayStation mengambil-alih Bungie secara rasmi pada bulan Julai tahun lepas dengan pembayaran $3.7 bilion.