Hari ini di acara MonstaCon 2023, Aksiz berpeluang menemuramah CEO Monsta iaitu Nizam Abd Razak. Di acara ini, Nizam terus menjelaskan visi masa depan IP Power Sphera Universe iaitu perancangan lima tahun untuk mengembangkan lagi animasi tempatan ke pelbagai medium.

Kini sudah ada tiga power sfera iaitu BoBoiBoy + Ochobot, Amato + Mechabot dan akan datang Pipi Zola + Cimubot. Monsta akan mempunyai dua francais lain dengan watak baharu bersama power sfera tersendiri. Dengan BoBoiBoy kini meneruskan kisah dengan siri animasi BoBoiBoy Galaxy 2 yang ada 4 bahagian, Mechamato yang akan mempunyai enam musim serta Papa Pipi yang akan mempunyai filem dan seterusnya siri animasi penuh – apakah perancangan Monsta seterusnya?


Soalan – IP Power Sphera Universe sekarang telah berkembang kepada permainan video, tetapi terhad kepada Roblox sahaja. Adakah akan datang, IP ini akan mempunyai permainan video tersendiri untuk konsol generasi baharu atau PC?

JAWAPAN – Sudah semestinya kami ada merancang untuk membangunkan permainan video tersendiri. Tetapi kami bereksperimen terlebih dahulu dengan Roblox, di mana permainan ini pun agak rumit untuk dibangunkan agar mempunyai watak Mechamato serta pelbagai elemen-elemen lain untuk pengalaman bermain yang lebih imersif. Namun untuk permainan konsol dan PC, ia akan mengambil masa lebih lama lagi dan kami tiada sebarang tarikh yang boleh didedahkan.

Soalan – Apakah potensi untuk mana-mana IP Power Sphera diadaptasi menjadi filem aksi nyata?

JAWAPAN – Ini adalah soalan yang paling banyak kali ditanya kepada kami. Sudah tentu kami ingin mempunyai filem aksi nyata tersendiri, namun begitu kos pembangunan filem ini agak tinggi dan kami masih perlu melakukan kajian sama ada adakah berbaloi untuk kami mengeluarkan bajet yang tinggi untuk satu filem berbanding bajet untuk animasi.

Sohor Kini