Seperti yang kami laporkan sebelum ini, siri animasi tempatan BoBoiBoy akan kembali selepas lima tahun tiada episod baharu. Siri baharu BoBoiBoy Galaxy ini akan mempunyai empat bahagian iaitu BoBoiBoy Galaxy Sori, BoBoiBoy Galaxy Windara, BoBoiBoy Galaxy Gentar dan juga BoBoiBoy Galaxy Gur’latan.

Setiap bahagian akan mempunyai enam episod dengan jumlah kesemuanya adalah 24 episod. Siaran akan bermula di Netflix dan saluran YouTube Monsta 3 Disember ini. Ia kemudian akan tiba di saluran TV9 pada 13 Disember. Setiap bahagian akan tiba pada setiap tahun sehingga tahun 2025.

Sori (2023), Windara (Jun 2024), Gentar (Disember 2024) dan Gur’latan (Jun 2025) diadaptasi daripada komik BoBoiBoy Galaxy Musim Ke-2. Siri animasi baharu ini berlaku selepas filem BoBoiBoy Movie 2 di mana Stesen TAPOPS telah musnah akibat serangan Retak’ka. BoBoiBoy bersama-sama rakan-rakan mengembara ke seluruh angkasa dan bertemu dengan watak baharu serta mempelajari asal-usul kuasa elemental yang dimiliki.

BoBoiBoy turut dilihat mempunyai jam kuasa tersendiri bagi mengawal kuasa dia untuk bertukar-tukar antara kuasa dan personaliti berbeza. Siri animasi musim baharu ini turut dihasilkan dengan perisian Blender dan tidak dihasilkan Monsta sepenuhnya kerana ada bekerjasama dengan artis luar juga.

Bagi yang menantikan siri ini, sama-sama kita saksikan di Netflix 3 Disember ini. Selepas BoBoiBoy Galaxy Gur’latan tamat, BoBoiBoy Movie 3 akan ditayangkan pula.

Sohor Kini