Jika bercakap mengenai penawaran iPhone, setiap tahun mereka akan melancarkan dua model iaitu model biasa dan ‘Pro’. Perbezaan di antara kedua-dua model ini bagi saya lebih kepada penggunaan profesional seperti kamera dan juga spesifikasi yang lebih berkuasa. Namun, bagi permainan video, perbezaan ini tidak terlalu ketara kecuali sokongan paparan ProMotion yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz.
Seperti yang saya katakan di dalam ulasan untuk iPhone 14 Pro Max dan iPhone 14 Plus, perbezaan ProMotion ini hanya terhad untuk pengalaman umum dan beberapa permainan sahaja seperti Genshin Impact yang menyokong kadar kelancaran melebihi 60FPS. Namun, dengan kebanyakan permainan mudah alih masih lagi sekadar menyokong 60FPS sahaja, ProMotion ini tidak membawa perbezaan yang ‘sangat diperlukan’ oleh itu untuk sesi bermain penawaran iPhone model biasa sudah mencukupi.
Perkara yang sama saya boleh katakan untuk iPhone 15 jika ingin dibandingkan iPhone 15 Pro yang tiba tahun ini kecuali dengan satu penambahan yang utama untuk model kali ini iaitu, model Pro kini juga akan menerima permainan-permainan bertaraf ‘konsol’ seperti Resident Evil Village, Resident Evil 4, Death Stranding, dan Assassin’s Creed Mirage. Oleh itu, jika anda berniat untuk bermain permainan-permainan ini di iPhone, model Pro seharusnya menjadi pilihan, jika tidak iPhone 15 dan juga iPhone 15 Plus yang menjadi topik untuk ulasan ini sudah mencukupi.
Di dalam Pandang Pertama iPhone 15 Plus saya telah mengatakan yang menggunakan iPhone 15 Plus ini seperti menggunakan iPhone 14 Pro Max iaitu telefon utama saya untuk lebih setahun yang lepas, apabila saya beralih ke telefon ini bagi tujuan ulasan dan selepas hampir sebulan menggunakannya saya boleh katakan saya tidak merindui iPhone 14 Pro Max walaupun ia mempunyai sokongan ProMotion dan juga kamera dengan lebih fungsi.
Ini adalah kerana selain dua perkara tersebut, iPhone 15 Plus adalah sebaik iPhone 14 Pro Max terutama dengan menggunakan cip pemprosesan yang sama iaitu A16 Bionic. Oleh itu, gelaran ‘telefon pintar terbaik untuk bermain permainan mudah alih’ yang saya berikan kepada iPhone 14 Pro Max sebelum ini, saya boleh berikan juga kepada iPhone 15 Plus ini yang dapat bermain kesemua permainan yang saya cuba dengan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah.
Antara permainan yang saya uji menggunakan telefon ini adalah Genshin Impact, Honkai: Star Rail, Marvel Snap dan juga FC Mobile dan kesemua permainan-permainan ini boleh dimainkan tanpa sebarang masalah. Walaupun tidak menyokong kadar kelancaran melebihi 60FPS, tetapi seperti yang saya cuba semasa mengulas iPhone 14 Pro Max, cip pemprosesan A16 Bionic ini tidak mempunyai masalah untuk menjalankan permainan mudah alih dengan kadar kelancaran yang lebih tinggi.
Walaupun tidak mempunyai ProMotion, paparan di iPhone 15 Plus masih lagi setaraf dengan iPhone 15 Pro dengan menggunakan panel OLED, Super Retina XDR dengan resolusi 2796 x 1290 dan 460ppi. Ia adalah satu paparan yang berkualiti, memberi kejituan warna yang sangat baik. Saya mempunyai pengalaman yang baik bukan sahaja semasa bermain permainan mudah alih tetapi juga menonton kandungan hiburan seperti di Youtube ataupun perkhidmatan penstriman terutama dengan sokongan HDR dan Wide colour (P3).
Selain memberi pengalaman yang sama dengan iPhone 14 Pro Max, saya juga boleh katakan yang iPhone 15 Plus mempunyai beberapa kelebihan antaranya adalah rekaan dan pengalaman penggunaan. Walaupun mempunyai saiz skrin yagn sama dengan telefon tersebut, iPhone 15 Plus adalah lebih ringan iaitu 201g berbanding 240g, selain itu, model iPhone 15 juga memperkenalkan rekaan yang lebih melengkung di bahagian tepi yang bagi saya memberikan lebih keselesaan semasa memegang.
Kelebihan kedua bagi saya adalah ketahanan bateri, saya dapat bermain permainan mudah alih, menonton kandungan hiburan dan juga sekadar menggunakan untuk melayari internet. Secara purata saya boleh menggunakan telefon ini dari 100% sehingga 1% dengan mempunyai 12-13 Jam Screen-On-Time yang saya boleh katakan hampir 1 jam lebih lama berbanding semasa saya menguji iPhone 14 Pro Max sebelum ini – ini sudah semestinya disebabkan iPhone 14 Pro Max yang mempunyai ProMotion.
Satu lagi kelebihan, ataupun kekurangan(?) bergantung kepada perspektif pengguna yang berlainan, iPhone 15 Plus seperti model iPhone 15 yang lain menjadi iPhone pertama yang menggunakan sambungan USB-C. Bagi saya, ia adalah satu kelebihan kerana saya mempunyai pelbagai peralatan yang sedia ada menggunakan USB-C dan ini bermakna ia adalah satu lagi pengurangan kabel yang saya perlu bawa. Tambahan pada itu, ia juga bermakna yang pengeluar aksesori tidak lagi perlu mengeluarkan aksesori mereka secara berasingan untuk iPhone dan Android.
Jika anda tertanya mengapa saya membandingkan iPhone 15 Plus dengan iPhone 14 Pro Max berbanding iPhone 14 Plus adalah disebabkan kerana ia jelas iPhone 15 Plus adalah satu peningkatan yang besar berbanding iPhone 14 Plus, terutama dengan ia kini juga mempunyai Dynamic Island sesuatu yang tidak disertakan model ini untuk keluaran tahun lepas. Dengan kata lain, iPhone 15 Plus lebih menghampiri iPhone 14 Pro Max oleh itu membandingkan dengan iPhone 14 Plus terasa tidak diperlukan kerana keputusannya adalah jelas.
Akhir kata, iPhone 15 Plus adalah satu pilihan yang baik jika anda inginkan iPhone yang bersaiz besar tetapi tidak mempunyai keperluan untuk mendapatkan model ‘Pro’ yang sudah semestinya mempunyai pelbagai kelebihan terutama dengan bakal menerima pelbagai permainan bertaraf konsol. Selain daripada itu, iPhone 15 Plus sangat mencukupi untuk menjadi peranti bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan hiburan utama. Walaupun tidak mempunyai ProMotion, paparan yang digunakan oleh telefon ini masih lagi antara yang terbaik di pasaran.
Setiap permainan-permainan yang saya cuba boleh menggunakan tetapan tertinggi, ini tidak mengejutkan kerana ia menggunakan cip pemprosesan yang sama dengan iPhone 14 Pro Max yang boleh bermain sesetengah permainan dengan kadar kelancaran melebihi 60FPS. iPhone 15 Plus juga mempunyai antara ketahanan bateri yang terbaik bagi model-model iPhone termasuk juga jika ingin dibandingkan dengan iPhone 15 Pro Max.
iPhone 15 Plus ditawarkan dengan harga bermula RM4,899 dengan tiga pilihan saiz storan iaitu 128GB, 256GB (RM5,399) dan 512GB (RM6,399). Terdapat 5 pilihan warna iaitu Blue, Pink, Yellow, Green dan Black. Ulasan ini menggunakan iPhone 15 Plus dengan storan 512GB berwarna Black.