Skip to main content

Gamescom Asia 2023 telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Oktober sehingga 22 Oktober lepas dan saya telah berkesempatan untuk mengunjungi acara satelit bagi Gamescom di Asia ini selama 2 hari iaitu pada 20 Oktober dan 21 Oktober. Melalui artikel ini saya akan kongsikan pengalaman saya menghadirinya dan berkongsi pendapat sama ada ia sesuatu yang perlu dikunjungi di masa hadapan.

Trade Zone

Acara ini saya boleh katakan dibahagikan pada dua bahagian iaitu Trade Zone dan Entertainment Zone. Trade Zone adalah dikhususkan untuk penerbit, pembangun dan juga pihak-pihak terlibat dengan industri permainan video dan bukan khusus untuk pemain ataupun orang umum. Trade Zone yang dianjurkan selama 2 hari iaitu pada 19 Oktober sehingga 20 Oktober memberikan peluang kepada setiap pihak di dalam industri untuk berjumpa dan mengenali satu sama lain.

Di dalam Trade Zone, terdapat beberapa reruai yang dibuka oleh penerbit permainan ataupun syarikat yang menyediakan perkhidmatan tambahan untuk permainan video contohnya Xsolla yang menyertakan sistem pembayaran untuk pembangun. Selain itu, terdapat juga beberapa reruai permainan indie yang dibuka untuk memberi peluang kepada pengunjung mencuba permainan tersebut.

Gamescom Asia 2024 di Suntec Convention & Exhibition Centre, Singapura
Permainan Dadoo oleh pembangun dari Indonesia, Algorocks

Pada masa sama terdapat juga perkongsian yang dilakukan oleh orang-orang industri contohnya Oliver Ye iaitu Ketua Penerbitan dan Esukan PUBG Mobile di Asia Tenggara yang berkongsi mengenai pembinaan ekosistem yang mampan untuk Asia Tenggara dan juga Dominic Law iaitu CEO untuk Neopets yang berkongsi mengenai ‘Neopets Renaissance’.

Perkongsian “From Zero to Infinite” oleh Oliver Ye. (Gambar: PUBG Mobile)
Perkongsian ‘Neopets Renaissance’ oleh Dominic Law, CEO Neopets

Selain mengunjungi reruai yang dibuka ataupun menghadiri perkongsian oleh orang-orang industri, pengunjung juga boleh berhubung secara terus melalui aplikasi Gamescom Biz yang bukan sahaja tempat untuk memperlihatkan jadual terbaru bagi acara ini, tetapi saya juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk berhubung secara terus dengan sesiapa sahaja termasuk juga untuk menetapkan temu janji.

Trade Zone ini sudah semestinya adalah perkara yang sangat baik bagi B2B ataupun perniagaan ke perniagaan, walaupun saya sebagai media sendiri berpeluang untuk berjumpa dengan beberapa penerbit permainan dengan mengunjungi reruai dan juga melalui temu janji yang dilakukan melalui aplikasi mereka, contohnya bersama dengan Wargaming iaitu penerbit bagi permainan World of Tanks dan World of Warships yang ingin mengembangkan lagi penawaran mereka di pasaran Asia Tenggara.

Entertainment Zone

Buat pertama kali, Gamescom Asia juga pada tahun ini menyertakan Entertainment Zone yang juga merupakan tarikan utama bagi pengunjung umum dan juga peminat permainan video. Ruangan ini yang dibuka kepada umum (memerlukan pembelian tiket kemasukan) menyertakan reruai oleh penerbit permainan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba pelbagai permainan mereka, termasuk juga permainan-permainan yang tidak dilancarkan lagi.

Capcom

Antara penerbit utama yang membuka reruai di zon ini adalah Capcom yang boleh dikatakan sebagai penerbit utama di ruangan ini. Capcom menyertakan 7 permainan untuk dicuba oleh pengunjung iaitu Dragon’s Dogma 2, Resident Evil 4 (mod VR), Apollo Justice: Ace Attorney Trilogy, Resident Evil Village (iPad Pro), Exoprimal, Street Fighter 6, dan Devil May Cry: Peak of Combat.

Reruai Capcom di Gamescom Asia 2023
Dragon’s Dogma 2
Resident Evil Village (iPad Pro)

Selain dapat mengunjungi reruai Capcom, saya juga berkesempatan untuk terlibat dengan sesi temubual bersama dengan Kenichi Hashimoto iaitu penerbit bagi Apollo Justice: Ace Attorney Trilogy iaitu kompilasi seterusnya bagi permainan Ace Attorney yang akan dikeluarkan pada 25 Januari 2024 untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC.

Di dalam temubual ini saya telah bertanya mengenai apa yang dipelajari daripada dua kompilasi Ace Attorney sebelum ini yang digunakan semasa pembangunan bagi Apollo Justice: Ace Attorney Trilogy, yang menurut Kenichi Hashimoto adalah menyediakan kandungan tambahan kepada pemain, dan melalui permainan ini mereka menyertakan Museum yang mengandungi pelbagai karya untuk permainan ini termasuk juga studio animasi.

Apollo Justice: Ace Attorney Trilogy
Kenichi Hashimoto, Penerbit Apollo Justice: Ace Attorney Trilogy

Capcom juga menjadikan Gamecom Asia 2023 sebagai lokasi untuk Capcom Pro Tour 2023: Singapore Offline iaitu kejohanan Street Fighter 6. Kejohanan ini berlangsung pada 20 sehingga 22 Oktober dan boleh ditonton kepada semua yang mengunjungi Entertainment Zone. Kejohanan ini melibatkan 60 peserta yang memperlihatkan Gachikun dari Jepun telah menjadi pemenang keseluruhan selepas mengalahkan Chris Wong di peringkat akhir.

Capcom Pro Tour 2023: Singapore Offline
Capcom Pro Tour 2023: Singapore Offline

PlayStation

PlayStation juga membuka reruai tersendiri dan memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba, permainan yang baharu oleh mereka iaitu Marvel’s Spider-Man 2, yang turut memperlihatkan figura yang hadir dengan Collector Editon serta PS5 rekaan khas. Selain itu, pengunjung juga dapat mencuba beberapa permainan lain seperti Gran Turismo 7, Just Dance 2024 dan EA Sports FC 24 di mana mereka juga menganjurkan kejohanan untuknya.

Marvel’s Spider-Man 2
Figura Collector’s Edition dan PlayStation 5 Marvel’s Spider-Man 2
Gran Turismo 7
EA Sports FC 24
Kejohanan EA Sports FC 24

Epicsoft Asia

Selain Capcom dan PlayStation, Epicsoft Asia juga antara penerbit utama di Entertainment Zone dengan mereka memfokuskan kepada tiga permainan yang diedarkan oleh mereka di Asia Tenggara iaitu S.T.A.L.K.E.R 2 yang akan tiba pada 2024, Endless Dungeon yang sudah dikeluarkan dan juga Atomic Heart yang sudah dikeluarkan tetapi di Gamescom Asia mereka memfokuskan kepada DLC kedua yang akan tiba untuk permainan ini.

S.T.A.L.K.E.R 2 – Heart of Chornobyl
Atomic Heart
Endless Dungeon

Indie Wavemakers Rally

Selain penerbit-penerbit besar, tarikan utama untuk Entertainment Zone juga adalah Indie Wavemakers Rally iaitu zon yang khusus untuk permainan indie dibawakan oleh Xbox. Saya boleh katakan sepanjang dua hari saya mengunjungi Entertainment Zone, zon Indie lah antara yang menjadi tarikan utama kerana pelbagai permainan menarik yang boleh dicuba oleh pemain.

Pengunjung bukan sahaja dapat mencuba permainan-permainan yang ada, tambahan itu dengan mencuba sekurang-kurangnya empat permainan, mereka berpeluang untuk memenangi hadiah menarik termasuk juga langganan untuk PC Game Pass. Pengunjung juga dapat melakukan undian untuk permainan kegemaran mereka.

Undian ini akan menentukan pemenang untuk “Audience Choice Award” di anugerah Indie Wavemakers Awards yang dimenangi oleh BattleBrew Productions melalui permainan mereka Cuisineer. Dua lagi anugerah yang dipilih oleh juri adalah “Judges’ Choice Award” yang juga dimenangi oleh Cuisineer dan “Most Creative” yang dimenangi Light Odyssey oleh Ssun Games.

Indie Wavemakers Rally di Gamecom Asia 2023
Indie Wavemakers Rally di Gamecom Asia 2023
Zombie Soup oleh AeonSparx Interactive dan Astrolabe Games
Raji: An Ancient Epic oleh Nodding Heads Games
Cuisineer oleh BattleBrew Productions dan XSEED Games
Hexlords: Quantum Warfare oleh Tantanmen Games

Lain-Lain

Penerbit lain yang membuka reruai di Entertainment Zone adalah Ubisoft akan tetapi tiada permainan yang disertakan untuk dicuba tetapi lebih kepada pengenalan kepada dua permainan mereka iaitu Assassin’s Creed Mirage yang sudah dikeluarkan dan juga Skull & Bones yang dibangunkan oleh Ubisoft Singapura.

Reruai Ubisoft Singapore di Gamescom Asia 2023
Reruai Ubisoft Singapore di Gamescom Asia 2023

Penerbit lain adalah seperti Make Waves iaitu penerbit yang berasal dari Singapura yang menerbitkan permainan VR seperti Sky Strikers, Slam City, dan Star Legacy. Selain itu Neopets, Arc System Works, Battle Showdown, Mystery Mask: The Immortal Soul dan zon permainan papan juga mempunyai reruai tersendiri.

Reruai Arc System Works di Gamescom Asia 2023
Reruai Neopets di Gamescom Asia 2023
Reruai Battle Showdown di Gamescom Asia 2023
Reruai Mystery Mask The Immortal Soul di Gamescom Asia 2023
Zon Permainan Papan di Gamescom Asia 2023

Di pentas yang terdapat di zon ini juga menganjurkan pelbagai acara untuk pengunjung antaranya adalah sesi perkongsian Monster Hunter bersama dengan Ryozo Tsujimoto iaitu penerbit untuk siri Monster Hunter yang juga berkesempatan bermain permainan Monster Hunter Rise Sunbreak bersama dengan pencipta kandungan.

Persembahan Cosplay juga dianjurkan dengan kerjasama bersama Singapore Cosplay Club. Selain persembahan ini, pengunjung juga dapat melihat cosplayer yang turut menghadiri acara ini, termasuk juga yang berada di sekitar acara ini untuk memberi peluang kepada pengunjung yang ingin bergambar bersama.

Ryozo Tsujimoto, Penerbit Siri Monster Hunter
Monster Hunter Rise Sunbreak
Cosplay Fashion Show di Gamescom Asia 2023
Cosplay Fashion Show di Gamescom Asia 2023

Gamescom Asia 2024

Buat masa ini masih tiada pengesahan mengenai penganjuran untuk Gamescom Asia 2024 akan tetapi boleh dijangkakan ia akan dianjurkan pada tarikh yang sama dengan tahun ini. Gamescom 2024 juga sudah disahkan akan berlangsung pada bulan Ogos tahun depan.

Selepas mengunjungi acara ini selama 2 hari, saya boleh rumuskan yang ia adalah satu penganjuran yang baik dan memberi peluang kepada warga industri permainan video terutama dari Asia Tenggara untuk bertemu dan berbincang mengenai kerjasama yang boleh dilakukan oleh mereka.

Manakala bagi pengunjung umum, terutama untuk Entertainment Zone, ia adalah memuaskan dan dapat mencuba pelbagai permainan baharu terutama dari Capcom dan permainan indie adalah satu peluang yang baik tetapi pada masa sama saya mengharapkan lebih banyak reruai dan penerbit permainan yang dibuka. Saya juga berharap, zon permainan indie diperluaskan lagi kerana ia adalah antara zon paling menarik di Gamescom Asia 2023.

Leave a Reply