Francais filem Saw adalah antara filem terawal yang mendedahkan saya kepada genre seram ngeri dengan aksi yang ganas serta menjijikkan. Selama ini saya hanya tonton mana-mana filem Saw di atas talian seperti baru-baru ini sebelum Saw X saya telah menonton kesemua Saw kembali di Netflix.
Saya difahamkan, setakat ini hanya Saw (2004) dan Spiral (2021) sahaja yang pernah ditayangkan. Lain-lain tidak kerana mengandungi unsur yang tidak menyenangkan. Namun selepas LPF memperkenalkan sistem rating baharu tahun ini, penawaran filem menarik di Malaysia semakin bertambah dan ini termasuk dengan Saw X yang memberikan pengalaman menonton yang memuaskan di pawagam.
Kali pertama saya menonton filem aksi ngeri seperti ini di pawagam tempatan adalah Evil Dead Rise, di mana adegan yang dipotong hanya sedikit sahaja dan tidak mengganggu jalan cerita. Filem Saw X adalah filem Saw pertama saya tonton di pawagam, sementara Spiral ketika ditayangkan di Malaysia versi digital sudah pun saya sewa.
Melihat aksi ngeri di skrin besar (GSC BIG) adalah sangat memuaskan. Ada orang kata saya mempunyai minda seakan seorang psiko atau pembunuh bersiri, tetapi saya katakan tidak. Menonton filem seperti ini hanyalah untuk saya menghargai kesan visual praktikal yang digunakan. Banyak filem Hollywood cuba membawakan kesan visual menggunakan CGI untuk aksi-aksi ganas seperti Saw namun itu tidak cukup memuaskan dan mata saya boleh nampak elemen-elemen 3D yang dihasilkan.
Saw X membuatkan saya lebih berharap kepada masa hadapan pawagam Malaysia untuk menawarkan lebih banyak filem seperti ini. Saw masih lagi diklasifikasikan sebagai filem seram dan selepas banyak lambakan filem seram yang terlampau bergantung kepada takut kejut, ramai sudah rasakan ia terlampau klise dan merasakan filem seram di Malaysia perlu mempunyai satu kelainan.
Filem Saw yang kesepuluh ini bukannya unik, cuma jarang ditayangkan di Malaysia menjadikan ia sesuatu judul yang istimewa dan juga membawakan nostalgia ketika zaman di kolej atau universiti menonton filem ini bersama rakan-rakan sebelum peperiksaan akhir. Kalau Evil Dead Rise sudah masuk, Saw X atau Sisu, saya amat mengharapkan filem seram ngeri seakan A24 lain akan masuk.
Dalam filem Saw X ini, Tobin Bell kembali sebagai John Kramer atau Jigsaw. Ia bukannya olahan semula atau sekuel sebaliknya adalah prekuel yang berlaku di antara Saw I dan Saw II. Ia adalah kisah di mana Kramer cuba mendapatkan rawatan untuk kanser otak dia. Ketika ini, dia masih baru dalam dunia menyeksa orang demi memberikan pengajaran dan juga sebagai balas dendam selepas mangsa dia melakukan sesuatu yang tidak bermoral.
Kramer dalam filem ini menculik sekumpulan scammer yang mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang sakit tenat. Scammer ini menipu kononnya boleh menyembuhkan mereka semua. Selepas Kramer sendiri ditipu dia cuba memberikan pengajaran kepada penipu ini. Mengejutkan dalam filem ini, John Kramer iaitu Jigsaw dipandang sebagai protagonis bukannya antagonis. Saya turut terkejut apabila di dalam pawagam, orang ramai memberi sorakan kepada Kramer walaupun jauh di dalam hati mengetahui dia juga jahat dan kejam.
Penceritaan dalam filem ini pada awalnya sedikit perlahan. Namun apa yang pengarah iaitu Kevin Greutert yang juga merupakan penyunting filem Saw lepas, sangat menarik. Ia cuba memberi peringatan kepada orang ramai mengenai legasi Jigsaw. Kebanyakan perangkap yang digunakan tidak pernah diperlihatkan dalam mana-mana filem Saw tetapi masih mengacah perangkap ikonik. Filem ini turut memperlihatkan lokasi ikonik mangsa diperangkap, selain turut memperlihatkan muka Kramer dibanjiri darah seperti filem Saw pertama dan sudah semestinya kemunculan cameo watak-watak penting dalam francais Saw yang semua orang kenal seperti Amanda Young.
Dengan Saw X yang mempunyai visual yang menarik, suntingan yang hebat serta prestasi lakonan yang mantap ia secara tidak langsung telah meletakkan filem ini dalam tiga teratas filem Saw kegemaran saya. Filem ini tidak sempurna kerana ada runut bunyi yang kadangkala saya rasa tidak sesuai serta pelakon yang sudah berusia yang tidak kena dengan masa dan adegan dalam filem yang berlaku di masa silam.
Untuk menonton filem ini anda harus lupakan segala bahan promosi yang mendakwa LPF tidak memotong apa-apa dalam filem ini. Kerana jika anda benar mengharapkan Saw X versi penuh akan ditayangkan anda hanya bermimpi. Ada sekitar 20 saat adegan dipotong oleh LPF yang mengganggu perasaan teruja mangsa Jigsaw diseksa. Namun begitu seperti yang saya katakan ia tidak mengganggu jalan cerita seperti Scream V yang satu adegan penting terus dipotong.
Saw X akan ditayangkan di Malaysia pada 26 Oktober dengan beberapa pawagam menawarkan tayangan seawal 25 Oktober. Pada hemat saya, jika anda meminati francais Saw sebelum ini anda wajib menonton Saw X di Malaysia untuk pengalaman menonton yang memuaskan di skrin besar dengan audio yang imersif.
*Ulasan ini adalah berdasarkan tayang awal dengan tiket yang diberikan oleh GSC Cinemas