Skip to main content

Selepas The Irishman yang dikeluarkan pada tahun 2019, Martin Scorsese sekali lagi hadir dengan filem yang durasinya adalah melebihi 3 jam, iaitu secara spesifiknya 3 jam 24 minit untuk filem Killers of the Flower Moon. Walaupun mempunyai keraguan pada awalnya mengenai filem ini boleh mengisi tempoh yang lama tersebut, selepas menontonnya saya boleh katakan yang 3 jam 24 minit tidak langsung seperti satu filem yang melebihi 3 jam.

Martin Scorsese berjaya untuk memastikan setiap adegan di dalam filem ini mempunyai tarikan tersendiri dengan adegan-adegan diselitkan di beberapa bahagian, dan adegan ini bukan semuanya bahagian penting bagi plot penceritaan. Semasa sesuatu dialog sedang berlaku, ia mungkin diselitkan dengan tarian, ataupun diselitkan dengan kejadian lain menjadikan dialog tersebut tidak terasa draggy dan ia berlanjutan sepanjang filem ini memberikan pengalaman tontonan yang sangat baik walaupun untuk satu durasi yang panjang.

Filem ini saya juga boleh katakan kepada tiga bahagian, dengan setiap bahagian mempunyai fokus tersendiri dan setiap bahagian ini saya boleh katakan disampaikan dengan menarik secara sama rata. Jika anda tonton filem seperti Oppenheimer contohnya, filem tersebut boleh dikatakan mempunyai dua bahagian dan saya merasakan bahagian kedua kurang menarik. Berbeza bagi filem ini dengan untuk saya setiap bahagian adalah menarik, termasuk juga bahagian ketiga yang lebih kurang dengan bahagian akhir untuk Oppenheimer tetapi disampaikan dengan lebih menarik.

Membantu untuk menjadikan filem ini lebih menarik adalah ia merupakan kisah benar mengenai kejadian “Pembunuhan Orang Asli Osage”, sesuatu yang saya secara jujurnya tidak pernah tahu ataupun mempunyai pengetahuan mengenainya. Bagi saya, filem ini berjaya menyampaikan tragedi tersebut dengan baik sekali terutama dengan memfokuskan kepada dua watak iaitu Ernest Burkhart dan Mollie Burkhart iaitu sepasang suami isteri menjadi penggerak utama bagi filem ini. Pilihan untuk menyampaikan tragedi ini melalui kisah cinta mereka, berbanding menyampaikan tragedi ini secara menyeluruh membuatkan filem ini lebih mudah untuk diikuti tetapi juga menjadikannya lebih berkesan di dalam penyampaian emosi.

Ini dibantu lagi dengan pembawaan yang baik oleh Leonardo DiCaprio sebagai Ernest Burkhart dan juga Lily Gladstone sebagai Mollie Burkhart. Walaupun suami isteri yang mencintai satu sama lain, tetapi kedua-dua watak ini sangat berbeza. Ernest Burkhart disampaikan sebagai seorang suami yang keliru dengan apa yang baik apa yang tidak, keliru dengan perasaannya dan juga kesetiaannya. Manakala Mollie Burkhart pula disampaikan sebagai seorang yang mencintai suaminya dan tabah dengan segala cabaran yang dihadapinya tetapi pada masa sama merupakan seorang yang tegas.

Sepanjang filem ini, saya sebagai penonton dapat menjiwai kedua-dua dengan baik, saya merasakan kekeliruan yang dirasai oleh Ernest Burkhart dan juga saya juga merasai perasaan marah dan geram yang dirasai oleh Mollie Burkhart, namun saya boleh katakan watak Mollie Burkhart akan menjadi pendorong emosi utama bagi filem ini dan sekali lagi saya katakan Lily Gladstone menyampaikan wataknya dengan sangat berkesan. Oleh itu, pilihan Martin Scorsese untuk menyampaikan tragedi ini melalui dua watak ini juga membantu menjadikan filem yang panjang ini terus memberi impak kepada saya.

Bagi saya, filem ini bukanlah satu filem drama biasa dengan setiap permasalahan ada penyelesaian, dengan sedih ada kegembiraan, sebaliknya ini adalah filem yang memperlihatkan tragedi secara terus melalui dua watak yang terlibat. Saya boleh katakan ia adalah satu filem yang sangat ‘penat’ untuk ditonton kerana sepanjang saya menontonnya saya bertambah geram, sedih dan terutamanya marah dengan apa yang berlaku. Walaupun filem ini ada ‘pengakhiran’ tetapi pengakhiran tersebut tidaklah membuat saya gembira ataupun bertukar emosi sebaliknya perasaan marah itu masih terus kekal dan saya boleh katakan ia adalah kerana penyampaian yang baik dan juga subjek tragedi ini.

Selain watak Ernest Burkhart dan Mollie Burkhart saya juga harus nyatakan Robert De Niro juga membawa wataknya dengan baik iaitu William King Hale yang saya boleh katakan sebagai antagonis utama bagi filem ini. Wataknya adalah watak kebiasaan untuk satu watak jahat, tetapi Robert De Niro mempunyai penyampaian yang tersendiri untuk membawakan watak tersebut yang sangat jahat tetapi pada masa mempunyai kehalusan yang tersendiri.

Seperkara lagi yang membantu untuk menyampaikan tragedi ini dengan efektif adalah filem ini tidak segan untuk memperlihatkan aksi pembunuhan ataupun mayat-mayat yang terbunuh, ada masa disampaikan secara kasual dan ada masa disampaikan dengan lebih mendalam, bagi saya pilihan ini membantu untuk memperlihatkan bagaimana sesetengah kejadian walaupun sepatutnya berat tetapi di dalam kaca mata keseluruhan tidak diendahkan sehinggalah kejadian tersebut berkait dengan watak utama terutama Mollie Burkhart barulah kesan emosi itu disampaikan dengan lebih, kerana saya sebagai penonton merasa empati.

Filem ini juga menarik kerana saya boleh katakan terdapat beberapa genre yang digunakan untuk menghasilkan filem Killers of the Flower Moon, ia adalah drama, ia adalah jenayah, ia adalah penyiasatan dan ia juga adalah romantik. Setiap genre berbeza ini telah dicampur dengan baik sekali, memberikan satu filem yang cukup rasa tetapi pada masa sama mengekalkan satu aspek penceritaan iaitu ingin membuatkan saya terus merasa geram dan marah dengan apa yang berlaku.

Akhir kata, Killers of the Flower Moon adalah satu filem mengenai tragedi “Pembunuhan Orang Asli Osage” yang secara baiknya disampaikan untuk 3 jam 24 minit. Pemilihan untuk menyampaikan melalui dua watak yang juga pasangan suami isteri iaitu Ernest Burkhart dan Mollie Burkhart, dan tidak cuba untuk menyampaikan tragedi ini secara terlalu umum, ia membantu untuk memberi kesan emosi yang lebih mendalam kepada saya.

Ini dibantu lagi dengan prestasi yang sangat baik oleh dua pelakon watak tersebut iaitu Leonardo DiCaprio dan Lily Gladstone yang benar-benar memperlihatkan keburukan dan kebaikan makhluk yang kita gelar sebagai manusia. Durasi yang lama mungkin membuatkan ramai ‘takut’ untuk tonton di pawagam, tetapi saya boleh katakan ia adalah pengalaman yang sangat memuaskan tetapi sedikit amaran, filem ini akan membuatkan anda penat dengan perasaan marah.

Penafian: Tayangan untuk filem Killers of the Flower Moon disediakan oleh UIP Malaysia bagi tujuan ulasan ini. Filem ini akan mula ditayangkan pada 19 Oktober 2023.

Killers of the Flower Moon
Killers of the Flower Moon adalah satu filem mengenai tragedi "Pembunuhan Orang Asli Osage" yang secara baiknya disampaikan untuk 3 jam 24 minit. Ia benar-benar memperlihatkan keburukan dan kebaikan makhluk yang kita gelar sebagai manusia.
Positif
Penyampaian Kisah Tragedi Yang Baik
Lakonan Baik Oleh Kesemua Pelakon
FIlem Diisi Dengan Adegan Menarik Dan Penting
Negatif
Ada Masa Filem Terasa Bergerak Terlalu Pantas
9

Leave a Reply

Final Score