Wall Street Journal melalui laporan terbaru mereka mengatakan yang Netflix di dalam perancangan untuk membawa permainan “Grand Theft Auto” di dalam perkhidmatan permainan mereka yang hadir bersama dengan langganan.
Menurut laporan tersebut lagi, Netflix yang buat masa ini sekadar memfokuskan kepada permainan mudah alih, ingin membawa permainan yang lebih mercu untuk distrim terus ke TV dan juga PC untuk mempertingkatkan lagi penawaran mereka.
Pada bulan Ogos lepas, Netflix telah mula mencuba Netflix Game Controller dan juga penstriman permainan video di TV sebagai permulaan untuk penawaran ini.
Sejak tahun yang lepas, Netflix telah menyertakan pelbagai permainan terutama yang berkait dengan kandungan mereka tetapi tidak banyak permainan yang benar-benar popular di kalangan pemain permainan video.
Dengan permainan seperti “Grand Theft Auto” ia sudah semestinya akan menarik lebih ramai pemain untuk mencuba perkhidmatan mereka.