Badan Persaingan Dan Pasaran UK (CMA) telah memberi kelulusan untuk Microsoft mengambil-alih Activision Blizzard, ini adalah lanjutan daripada mereka memberi kelulusan awal sebelum ini dan memberi laluan untuk Microsoft menyelesaikan pengambil-alihan ini.
UK menjadi yang terakhir meluluskan pengambil-alihan ini dan antara perkara yang menjadi halangan utama adalah mengenai persaingan di dalam perkhidmatan awanan. Bagi menyelesaikan halangan tersebut, Microsoft telah mengumumkan yang hak penstriman bagi permainan Activision Blizzard akan dimiliki oleh Ubisoft untuk sekurang-kurangnya 15 tahun selepas pengambil-alihan selesai.
Menurut CMA perkara tersebut akan memastikan Microsoft tidak dapat mendominasi pasaran perkhidmatan awanan permainan video. Microsoft menawarkan perkhidmatan awan melalui Xbox Game Pass Ultimate, selain itu mereka juga bekerjasama dengan penyedia lain seperti NVIDIA GeForce Now.
Activision Blizzard hari ini juga telah menghentikan penawaran saham mereka di NASDAQ sebagai langkah awal untuk penyelesaian pengambil-alihan ini. Pengambil-alihan ini dikatakan bernilai $70 bilion (~RM335 bilion).