Skip to main content

Sejak mula dikeluarkan pada tahun 2005, Forza Motosport telah menjadi permainan yang penting bagi Microsoft dan Xbox terutama kerana ia adalah IP yang membawa genre simulasi perlumbaan kereta ke konsol Xbox. Bermula Forza Motosport yang pertama sehingga Forza Motosport 7 yang dikeluarkan pada 2017, permainan ini dikeluarkan setiap 2 tahun.

Namun, selepas Forza Motosport 7 dikeluarkan, untuk beberapa tahun tiada pengumuman mengenai permainan susulan sehinggalah pada tahun 2020, Turn 10 Studios telah mengumumkan permainan ini akan diolah semula dan menggunakan judul Forza Motosport. Saya tidak mempunyai pengalaman untuk permainan-permainan yang sebelum ini, akan tetapi saya boleh katakan dengan permulaan semula ini, ia telah dilakukan dengan langkah kanan.

Forza Motosport menawarkan simulasi perlumbaan yang memuaskan dan ia adalah satu permainan yang baik bukan sahaja untuk peminat permainan lumba kereta tetapi juga untuk pemain kasual seperti saya yang biasanya mencuba permainan lumba kereta dari semasa ke semasa sahaja. Permainan ini juga terasa dihasilkan dengan sangat memfokuskan kepada kereta dan juga perlumbaan di hadapan dan saya mempunyai masa yang baik bermain-nya.

Berlumba di dalam permainan ini terasa sangat baik, alat kawalan Xbox tidak mempunyai kelebihan yang di bawa oleh DualSense melalui Gran Turismo 7 oleh itu dari segi memberi immersion kepada pemain, ia masih ketinggalan. Namun, saya juga merasakan yang bagi pemain yang benar-benar mementingkan perkara ini, berkemungkinan besar sudah memiliki set stereng untuk permainan-permainan seperti ini.

Bagi kawalan pula bagi saya ia tidak mempunyai sebarang masalah dan terasa sangat baik. Pengawalan kereta terasa berlainan mengikut jenis kereta dan juga mengikut keadaan semasa cuaca. Memandu dua jenis kereta yang berlainan akan memerlukan saya mengawal brek dan pergerakan kereta dengan berbeza. Ada kereta yang lebih memaafkan dan ada juga kereta yang perlu diperhalusi kawalannya agar saya tidak berakhir di tepi litar.

Bagi pemain yang ingin lebih mengawal pengalaman memandu sesebuah kereta, Forza Motosport juga menyertakan bahagian tuning dan juga upgrade yang mendalam. Kebanyakan bahagian kereta yang memberi impak kepada pemanduan dan kelajuan boleh ditetapkan dan ditambah baik. Bagi yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara ini seperti saya, terdapat juga fungsi automatik yang memberikan tetapan terbaik untuk saya gunakan.

Bagi perlumbaan pula, terdapat beberapa pilihan mod yang ditawarkan iaitu Career iaitu siri perlumbaan Solo yang menyertakan beberapa jenis siri perlumbaan. Ia adalah satu mod yang baik untuk permulaan dan juga bagi yang ingin mencuba kereta-kereta berbeza. Perlumbaan tertentu akan dikunci dan memerlukan saya untuk berlumba perlumbaan lain terlebih dahulu, oleh itu ia akan memberikan perasaan kemajuan di dalam permainan ini.

Forza Motosport juga memberikan tetapan yang baik untuk saya mengubah tahap kesukaran bagi mod ini, saya boleh meningkatkan tahap kesukaran AI dan juga menggunakan peraturan tertentu, seperti menentukan sama ada kerosakan kereta adalah kosmetik sahaja ataupun juga memberi impak kepada prestasi kereta, membuka Rewind ataupun tidak, dan juga tahap sistem penalti.

Melalui pelbagai tetapan ini, saya boleh menjadikan sesi permainan yang kasual ataupun yang lebih simulasi jika ingin terasa cabaran. Mengubah tetapan ini juga akan menentukan bonus yang anda peroleh, lebih sukar anda bermain lebih besar bonus yang anda dapat. Saya juga boleh menentukan kedudukan pada permulaan perlumbaan, lebih terkebelakang lebih banyak duit yang saya akan dapat.

Selain itu terdapat juga sesi multi-pemain, secara dalam talian sama ada secara tertutup bersama rakan ataupun bersama dengan pemain-pemain lain. Bagi Featured Multiplayer, saya akan berlumba dengan pemain lain untuk menentukan Skill Rating. Selain Skill Rating terdapat juga Safety Rating yang memerlukan pemain untuk mengikut Forza Race Regulation seperti elak daripada melanggar pemain lain ataupun menggunakan pintasan yang tidak dibenarkan, pemain akan mendapat penalti atau jika berlaku terlalu kerap akan mendapat DQ.

Saya ada mencuba mod ini, akan tetapi dengan permainan ini tidak dikeluarkan sepenuhnya lagi ia tidak menggambarkan pengalaman sebenar. Namun, melalui pengalaman terhad yang saya dapat, perlumbaan secara dalam talian adalah baik, saya tidak terasa sebarang masalah dari segi lagging ataupun sambungan terputus, cuma kemahiran saya masih jauh jika ingin dibandingkan dengan pemain-pemain yang ada.

Seterusnya adalah Rivals, yang boleh dikatakan sebagai berlumba dengan pemain lain tetapi bukan secara bersama. Ia sebaliknya, perlumbaan untuk menentukan siapa yang terpantas. Melalui mod ini, saya akan diberikan masa sasaran untuk diatasi, selepas berjaya melakukannya, masa yang seterusnya dikeluarkan, ia sangat mengasyikkan untuk melihat anda mengatasi masa-masa yang dilakukan oleh pemain lain.

Mod ini juga mempunyai pilihan kelas dan juga litar yang berbeza, dan selain daripada dapat melihat ranking anda berbanding secara keseluruhan, ia juga memperlihatkan ranking anda berbanding benua dan juga berbanding rakan anda. Bagi anda yang tidak yakin untuk berlumba melawan pemain lain secara terus, mod ini mungkin akan menjadi lebih menarik.

Forza Motosports dilancarkan dengan lebih 500 kereta untuk dipilih, jumlah yang lebih rendah berbanding permainan sebelum ini tetapi bagi saya sudah mencukupi untuk permulaan permainan. Berkemungkinan besar, kereta baharu akan ditambah dari semasa ke semasa. Jika anda mendapatkan Car Pass, anda juga akan memperoleh 30 kereta tambahan yang akan diberikan satu setiap minggu bermula semasa pelancaran nanti.

Anda boleh dapatkan kereta dengan membelinya, menggunakan wang yang diperoleh daripada berlumba seperti yang saya katakan di atas, anda juga boleh menyewa jika ingin kereta tertentu tetapi tidak ingin memilikinya, terutama jika sekadar ingin menyertai perlumbaan tertentu yang memerlukan kereta khusus.

Namun, bagi kereta yang disewa saya tidak akan mendapat Level untuk kereta tersebut. Level merupakan sesuatu yang dipertingkatkan dengan setiap penggunaan kereta di dalam perlumbaan, peningkatkan Level akan memberikan akses kepada naik taraf yang lebih baik untuk menjadikan kereta tersebut lebih pantas ataupun memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Bagi saya sistem Level untuk kereta ini adalah baik, kerana tidak menjadikan sesuatu kereta itu untuk digunakan sekali sahaja, sebaliknya saya diberikan sebab untuk terus menggunakan sesuatu kereta berbanding menukar kereta sepanjang masa. Anda juga boleh mengubah suai ataupun menghias kereta dengan pelbagai pelekat, termasuk juga mendapatkan rekaan yang dihasilkan oleh pemain lain.

Saya bermain permainan ini di Xbox Series X dan ia memberikan kualiti grafik yang sangat memuaskan. Kereta dengan teknologi Ray-Tracing kelihatan sangat realistik, ini termasuk juga semasa berlumba dan bukan sahaja di dalam garaj ataupun mod foto. Anda boleh memilih tiga pilihan grafik iaitu Performance yang menyasarkan 60FPS tanpa Ray-Tracing, Performance RT yang menyertakan Ray-Tracing tetapi masih menyasarkan 60FPS dan Visuals untuk grafik yang terbaik dengan Ray-Tracing dan menyasarkan 30FPS.

Semasa bermain permainan ini, saya kebanyakan masa menggunakan Performance ataupun Visuals, bagi saya 60FPS lebih penting oleh itu Performance adalah pilihan saya, Performance RT juga adalah satu pilihan akan tetapi kekurangan visual berbanding Performance adalah noticeable, sedangkan kesan Ray-tracing tidaklah dapat menebus perkara tersebut. Jika anda boleh bermain secara 30FPS tanpa masalah, Visuals juga adalah tetapan yang baik.

Rekaan litar dan juga persekitaran di kawasan tersebut dihasilkan dengan baik, tidak kira litar yang bertempat di kawasan bandar ataupun di kawasan berhampiran dengan hutan. Hari dan cuaca yang dinamik juga memberikan pengalaman yang berbeza untuk setiap litar, walaupun ada masa yang saya dapat keadaan menjadi terlalu pudar dan berkabus membuatkan pemanduan sedikit sukar.

Selain grafik, saya juga boleh katakan bunyi juga dilakukan dengan baik. Setiap kereta mempunyai bunyi tersendiri dan setiap pelanggaran juga mempunyai kesan bunyi yang memberi impak kepada pelanggaran tersebut.

Semasa saya mencuba permainan ini, saya dapat ada beberapa pepijat yang sering berlaku termasuk juga versi yang saya main beberapa jam sebelum ulasan ini dikeluarkan. Antaranya adalah semasa bahagian awal perlumbaan, terdapat kereta yang tidak dimuat dengan sepenuhnya, memperlihatkan pemandu berdiri di sebelah tempat yang kosong.

Selain itu, saya juga sering terpaksa menutup permainan apabila melakukan ubah suai kereta selepas sesuatu perlumbaan. Oleh kerana sesi perlumbaan itu tidak disimpan, saya terpaksa melakukan sekali lagi. Saya merasakan perkara ini akan diperbetulkan semasa pelancaran ataupun tidak lama selepas itu, akan tetapi buat masa ini saya cadangkan untuk tidak melakukan ubah suai kereta sejurus selepas sesuatu perlumbaan.

Akhir kata, Forza Motosports adalah satu permainan simulasi perlumbaan yang sangat baik, ia bukan sahaja untuk peminat untuk permainan lumba kereta tetapi juga untuk pemain kasual, dengan pelbagai tetapan yang disediakan, permainan ini boleh menjadi satu ‘simulasi’ ataupun menjadi satu permainan ‘arked’ menyertakan kedua-dua perkara ini menjadikan permainan ini adalah untuk semua.

Kepelbagaian mod yang disertakan juga dengan sistem kemajuan tersendiri juga menjadikannya sangat memuaskan untuk pemain luangkan masa bermain. Kawalan dan grafik bagi permainan ini adalah baik tetapi ia tidak mempunyai pengalaman seperti yang tersedia untuk Gran Turismo 7 melalui DualSense, selain itu bagi grafik ray tracing adalah mencukupi tetapi bukan berkualiti tinggi, sekurang-kurangnya di Xbox Series X, dan mungkin akan lebih baik di PC dengan spesifikasi tinggi.

Penafian: Kod permainan Forza Motosport disediakan oleh Xbox SEA bagi tujuan ulasan ini, Forza Motosport dikeluarkan untuk Xbox Series dan PC.

Forza Motosport
Forza Motosports adalah satu permainan simulasi perlumbaan yang sangat baik, ia bukan sahaja untuk peminat untuk permainan lumba kereta tetapi juga untuk pemain kasual, dengan pelbagai tetapan yang disediakan, permainan ini boleh menjadi satu 'simulasi' ataupun menjadi satu permainan 'arked'.
Positif
Pelbagai Mod Untuk Solo Dan Multi-Pemain
Pilihan Kereta Yang Pelbagai
Tetapan Yang Baik Untuk Tatamain Dan Kereta
Negatif
Ray-Tracing Tidak Sebaik Yang Diharapkan
Beberapa Pepijat Termasuk Juga Yang Perlu Menutup Permainan
8

Leave a Reply