10 Filem Menarik Bulan Oktober 2023

Kita sudah memasuki bulan pertama untuk suku terakhir bagi tahun 2023, dengan kata lain sudah menghampiri penutup sebelum kita menjemput tahun 2024. Bulan ini terdapat pelbagai filem menarik daripada pelbagai genre. Walaupun judul kami letak 10 filem menarik, akan tetapi ia adalah lebih daripada itu kerana pada bulan ini terdapat dua festival filem berlangsung iaitu Festival Filem Animasi Malaysia dan juga Festival Filem Eropah.

Sebagai bulan Holloween, terdapat juga beberapa filem seram seperti The Exorcists Believer, Saw X dan Five Nights at Freddy’s iaitu filem berdasarkan permainan video yang berjudul sama. Tarikan utama bagi bulan ini sudah semestinya Killers of the Flower Moon iaitu filem oleh Martin Scorsese dengan senarai pelakon seperti Leonardo DiCaprio, Robert De Niro dan Brandan Fraser.

Selain itu, terdapat juga dua filem tempatan iaitu Pagari Bulan dan Gemencheh Boys. Berikut adalah senarai filem menarik bagi bulan ini, dan seperti biasa tarikh tayangan adalah tepat semasa penulisan ini dan ia akan berubah dari semasa ke semasa.

Festival Filem Animasi Malaysia 2023 – 5 Oktober 2023

Tarikh Penganjuran – 5 Oktober sehingga 25 Oktober

Buat julung kalinya, GSC telah berkerjasama dengan MDEC untuk hadir dengan Festival Filem Animasi Malaysia. Melalui festival ini, penonton boleh menonton 7 filem pendek dengan satu harga tiket sahaja iaitu RM15. Berikut adalah filem animasi yang akan dipertontonkan

  • The Muralz oleh Jeremy Lee
  • Pillar of Strength oleh Eugene Foo
  • Footprints in the Forest oleh Juhaidah Joemin dan Sandra Khoo
  • Kuihpocalypse oleh Han F
  • Framed Memories oleh Mclelun Lee
  • Walinong Sari oleh Eugene Foo
  • The One That Got Away oleh Jared Lee

Anda boleh baca pautan ini untuk mengetahui lanjut mengenai Festival Filem Animasi Malaysia 2023 ini.

Pagari Bulan

Tarikh Tayangan – 5 Oktober 2023

Pagari Bulan merupakan filem mengenai Bulan iaitu wanita Melayu bersama dengan jirannya berbangsa Cina yang ditangkap oleh Jepun semasa Malaya pada waktu itu dijajah oleh tentera negara tersebut. Filem ini diarahkan oleh Raja Mukhirz dengan senarai pelakon seperti Nazeera Sardi, Trisha Ooi dan Aniq Durar.

The Exorcist: Believer

Tarikh Tayangan – 5 Oktober 2023

Filem yang meneruskan penceritaan untuk filem seram klasik The Exorcist berlau 50 tahun selepas kejadian filem tersebut di mana mengenai dua orang kanak-kanak yang hilang untuk tiga hari kembali tetapi tanpa ingatan mengenai apa yang berlaku.

Bapa untuk salah seorang kanak-kanak tersebut telah meminta bantuan Chris MacNeil iaitu ibu kepada Regan MacNeil yang dirasuk dalam filem asal tersebut. Filem ini diarahkan oleh Davido Gordon Green dengan senarai pelakon Ellen Burstyn yang kembali sebagai Chris MacNeil, Jennifer Nettles dan Ann Dowd.

Saw X

Tarikh Tayangan – 5 Oktober 2023

Satu lagi siri filem klasik yang menerima filem baharu Saw X akan memperlihatkan John Kramer pergi ke Mexico dengan harapan untuk merawat kansernya tetapi dia kemudian dapati yang ia adalah satu penipuan. Filem ini diarahkan oleh Kevin Greutert dengan senarai pelakon seperti Tobin Bell kembali sebagai John Kramer, Shawnee Smith dan Synnove Macody Lund.

Festival Filem Eropah 2023

Tarikh Penganjuran – 12 Oktober sehingga 22 Oktober (Lembah Klang), 26 October sehingga 1 November (Pulau Pinang), 2 November sehingga 5 November (Sarawak)

Festival ini kembali buat kali ke-24 di Malaysia dan melibatkan 18 filem dari pelbagai negara di Eropah seperti Belgium, Croatia, Finland, Perancis, Jerman, dan Itali. Bagi Lembang Klang, pawagam yang terlibat adalah GSC Mid Valley, GSC MyTown dan GSC 1Utama, manakala di Pulau Pinang adalah di GSC Gurney Plaza dan GSC CityOne MegaMall di Sarawak.

18 filem yang akan dipertontonkan adalah seperti berikut;

  • The Restless*
  • Shadow Country
  • Murina
  • Any Day Now
  • Paris Memories
  • Io Sto Bene
  • Neither With You*
  • 100 Years of Ulysses*
  • We Still Talk*
  • Parents vs Influencers*
  • Brothers*
  • Operation Arctic*
  • Goya in Bordeaux*
  • Ramona*
  • Imad’s Childhood*
  • Last Dance
  • Mr Jones*
  • The Rising Hawk

11 filem yang kami tandakan ‘*’ boleh ditonton secara percuma sumbangan Kedutaan negara Eropah. Manakala 7 filem lain ditawarkan dengan harga tiket RM10. Anda boleh layari GSC untuk maklumat lanjut.

Killers of the Flower Moon

Tarikh Tayangan – 19 Oktober 2023

Selepas ahli puak Osage terbunuh secara misteri di Amerika Syarikat pada tahun 1920, siasatan terhadap Bureau of Investigation (BOI) yang kini dikenali sebagai FBI dilkukan oleh J. Edgard Hoover dan Tom White lakonan Jesse Plemons.

Filem ini diarahkan oleh Martin Scorsese dan pelakon lain adalah Leonardo DiCaprio dan Robert De Niro. Filem ini sepatutnya tiba di Apple TV+ tetapi ditayangkan di pawagam terlebih dahulu sebelum memasuki perkhidmatan penstriman tersebut.

Leo

Tarikh Tayangan – 19 Oktober 2023

Filem berbahasa Tamil ini adalah mengenai kisah hidup Leo Das lakonan Vijay yang merupakan pembuat coklat. Ini merupakan filem ke-65 untuk Vijay dan pertama kali diumumkan sebagai Thalapathy 67 bersempena dengan gelarannya sebelum judul sebenar iaitu Leo diumumkan. Filem ini diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj yang sebelum ini pernah berkerjasama dengan Vijay di dalam filem Master.

Five Nights At Freddy’s

Tarikh Tayangan – 26 Oktober 2023

Filem yang mengadaptasi permainan berjudul sama ini akan membawa patung yang menyeramkan ke aksi nyata. Seperti permainan, filem ini adalah mengenai pengawal keselamatan yang baru memulakan pekerjaan di restoran Pizza Freddy Fazbear sebelum dia menyedari ada perkara misteri dan menyeramkan berlaku di restoran tersebut. Filem ini diarahkan oleh Emma Tammi dan melibatkan senarai pelakon seperti Matthew Lillard, Josh Hutcherson dan Elizabeth Lail.

Gemencheh Boys

Tarikh Tayangan – 26 Oktober 2023

Filem arahan Jason Chong dan Eric Ong ini adalah mengenai 6 orang pelajar sekolah dari Gemencheh, Negeri Sembila yang belajar untuk menjadi pelajar, atlit dan juga manusia yang lebih baik dengan membentuk pasukan kriket sekolah dengan tunjuk ajar cikgu yang tegas iaitu Cikgu Azman lakonan Pekin Ibrahim.

Freelance

Tarikh Tayangan – 26 Oktober 2023

Filem aksi komedi yang menggandingkan John Cena, Alice Eve dan Alison Brie adalah mengenai bekas tentera khas mengambil kerja menjadi pengawal peribadi untuk seorang pemberita yang menemubual seorang diktator. Namun, rampasan kuasa berlaku semasa temubual tersebut dan mereka terpaksa menyelamatkan diri dengan memasuki hutan. Filem ini diarahkan oleh Pierre Morel yang mengarah filem seperti Taken, From Paris with Love dan The Ambush.

Sohor Kini