Apple bermula hari ini telah menawarkan model baharu untuk telefon pintar mereka iaitu iPhone 15 Pro, iPhone 15 Pro Max, iPhone 15, dan iPhone 15 Plus. Saya telah berkesempatan untuk menggunakan iPhone 15 Plus selama lebih kurang seminggu dan ini adalah pandang pertama saya dengan ulasan penuh akan tiba dalam masa beberapa minggu lagi.
Menggunakan iPhone 15 Plus terutama daripada segi prestasi memberi perasaan yang sama dengan saya menggunakan iPhone 14 Pro Max terutama kerana ia menggunakan cip pemprosesan yang sama. Oleh itu, ia adalah satu telefon yang mempunyai keupayaan untuk bermain permainan mudah alih dengan tetapan tinggi.
Bagi spesifikasi, iPhone 15 Plus seperti yang saya katakan sebelum ini menggunakan cip pemprosesan yang digunakan oleh iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max sebelum ini iaitu A16 Bionic. Jika anda membaca ulasan saya untuk iPhone 14 Pro Max, keupayaan untuk bermain permainan mudah alih adalah sangat baik dengan saya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan tetapan tertinggi di mana-mana permainan.
Oleh itu, saya boleh jangkakan perkara yang sama untuk iPhone 15 Plus, dan berdasarkan beberapa permainan yang saya cuba seperti Marvel Snap dan Genshin Impact, ia adalah hipotesis yang tepat akan tetapi saya akan menguji lagi sebelum kongsinya secara penuh ketika ulasan kelak.
Bagi paparan pula, ia menyertakan skrin bersaiz 6.7-inci dengan panel OLED, Super Retina XDR. Resolusi yang digunakan adalah 2796×1290 dengan 460ppi yang memperlihatkan sedikit peningkatan berbanding iPhone 14 Plus. Ia juga adalah paparan yang sama dengan iPhone 15 Pro Max kecuali tidak menyertakan teknologi ProMotion dan Always-on dengan kata lain tiada sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz.
Ia adalah perkara yang sedikit mengecewakan terutama kerana saya sudah terbiasa menggunakan iPhone 14 Pro Max dengan kembali menggunakan iPhone 15 Plus, saya terasa perbezaan kadar segar semula ini tetapi untuk penggunaan harian sahaja. Manakala bagi bermain permainan mudah alih, perbezaan adalah tidak ketara kerana tidak banyak permainan yang menyokong melebihi 60FPS.
Pembaharuan yang di bawa oleh iPhone 15 Plus berbanding iPhone 14 dan iPhone 14 Plus, seperti model Pro, iPhone 15 Plus juga mempunyai Dynamic Island, ia adalah cara yang baik untuk berinteraksi dengan telefon. Selain itu, iPhone 15 Plus juga mempunyai rekaan yang kelihatan sama dengan iPhone 14 pada permukaannya, tetapi apabila dipegang ia terasa sangat lain dan lebih selesa untuk digunakan.
Perkara ini kita boleh berterima kasih kepada rekaan yang lebih melengkung untuk bahagian tepi iPhone 15 Plus. Ia adalah satu perubahan yang kecil tetapi memberi kesan kepada keselesaan memegang. Sudah semestinya perkara ini tidak akan terasa jika anda menggunakan telefon ini bersama dengan kerangka.
Satu lagi perubahan, dan saya rasakan paling besar untuk iPhone 15 Plus adalah port pengecasan kini menggunakan USB-C berbanding Lightning sejak sekian lama. Perkara ini sudah semestinya mengurangkan jenis kabel yang anda perlu bawa, bercakap mengenai kabel, di dalam kotak turut tersedia kabel USB-C ke USB-C berjalin yang akan membuatkan kabel ini lebih tahan lama.
Selain kabel, menggunakan USB-C juga lebih memudahkan saya untuk menggunakan aksesori permainan video. Jika sebelum ini kebanyakan alat kawalan untuk telefon pintar akan hadir dengan aksesori khusus untuk iPhone dan Android, kini ia perlu hadir dengan satu variasi sahaja. Namun, sudah semestinya aksesori-aksesori yang menggunakan lightning yang saya miliki sebelum ini tidak lagi boleh digunakan.
Sepanjang penggunaan saya, bateri untuk iPhone 15 Plus tidak mempunyai perbezaan yang ketara dengan iPhone 14 Plus, Apple juga melalui pengumuman rasmi mereka mengatakan ketahanan bateri adalah lebih kurang sama di antara kedua-dua model ini. Saya akan menguji dengan lebih lanjut, tetapi hipotesis awal adalah ia mempunyai ketahanan yang sama dengan iPhone 14 Plus jika tidak lebih baik.
Akhir kata, iPhone 15 Plus tidak membawa kelainan yang ketara berbanding model iPhone 14 Plus sebelum ini, namun perubahan yang disertakan menjadikan ia satu telefon pintar yang lebih baik iaitu cip pemprosesan, dynamic island, rekaan yang lebih selesa untuk dipegang dan juga penggunaan USB-C. Namun, ia masih lagi kekurangan paparan ProMotion yang buat masa ini terhad bagi model Pro sahaja.
iPhone 15 Plus ditawarkan dengan harga bermula RM4,899 dengan tiga pilihan saiz storan iaitu 128GB, 256GB (RM5,399) dan 512GB (RM6,399). Terdapat 5 pilihan warna iaitu Blue, Pink, Yellow, Green dan Black, model yang saya guna untuk pandang pertama ini.