Sony Group telah mengumumkan yang Presiden dan CEO Sony Interactive Entertainment iaitu Jim Ryan akan bersara pada bulan Mac tahun depan, selepas memegang jawatan tersebut sejak pada tahun 2019 yang lepas dan telah bersama dengan PlayStation selama 30 tahun.
Sebelum pengganti dilantik, Hiroki Totoki iaitu Presiden, COO dan CFO Sony Group akan menjadi CEO sementara untuk SIE. Pengganti dijangka akan diumumkan sebelum Jim Ryan bersara secara rasmi.
Jim Ryan di dalam kenyataan yang sama mengatakan yang telah menjadi kesukaran untuknya menetap di Eropah tetapi bekerja di Amerika Utara dan mengatakan PlayStation akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Rakan sejawatan di Xbox iaitu Phil Spencer melalui penulisan di X mengatakan yang Jim Ryan adalah penyumbang besar di dalam industri ini dan merupakan ketua yang hebat di PlayStation. Phil Spencer juga berterima-kasih atas sumbangan Jim Ryan kepada komuniti permainan video sepanjang 30 tahun yang lepas.