Skip to main content

The Creator adalah filem terbaru oleh 20th Century Studios dan sudah mula ditayangkan pada 28 September 2023. Kami sudah tonton filem ini dan sangat menyukainya. Anda boleh baca ulasan kami melalui pautan berikut – Ulasan The Creator dan anda juga boleh tonton video di mana Fahim Zahar berkongsi mengenai apa yang anda perlu tahu mengenai filem ini.

The Creator merupakan filem mengenai peperangan di antara AI dan manusia pada masa depan, di mana AI dikatakan telah meletupkan bom nuklear di Los Angeles yang membuatkan Amerika Syarikat telah mengharamkan penggunaan AI dan juga robot. Namun, negara lain iaitu di Asia masih menggunakan mereka bahkan mereka telah hidup bersama menjadikan konflik bukan sahaja di antara AI dan robot tetapi juga di antara negara.

Tanpa lengahkan masa berikut adalah 5 perkara menarik mengenai The Creator, sebagai peringatan kami akan menyertakan sedikit spoiler sekadar untuk dijadikan sebagai contoh tetapi tidak akan berkongsi bahagian-bahagian yang penting untuk penceritaan ataupun kejutan yang ada di dalam filem ini.

Daripada Rogue One ke The Creator

Perkara pertama yang menarik mengenai The Creator adalah filem ini diarahkan oleh Gareth Edward iaitu pengarah untuk Monsters, Godzilla dan juga Rogue One: A Star Wars Story sebelum menjadi pengarah untuk filem ini.

Seperti kita sedia melihat daripada hasil kerja lain Gareth Edward kita tahu yang filem ini akan dipaparkan dengan visual yang cantik. dan selepas saya menonton filem ini sendiri, saya boleh katakan The Creator tidak mengecewakan dengan banyak adegan disampaikan dengan sangat cantik sekali.

Gareth Edward juga berjaya menyampaikan konflik utama filem ini dengan baik sekali bagaimana peperangan AI dan manusia menjadi latar belakang kepada penceritaan kemanusiaan yang turut melibatkan AI itu sendiri.

Barisan Pelakon Yang Hebat

The Creator juga mempunyai barisan pelakon yang berkualiti tinggi, antaranya adalah John David Washington yang menjadi protagonis utama di dalam filem ini iaitu Joshua. Prestasi baik lakonan beliau di dalam TENET di bawa lagi ke dalam filem ini dan membawa watak yang lebih kompleks, bermula sekadar seorang askar menjadi seorang yang melawan demi keluarganya.

Selain itu, Gemma Chan yang sebelum ini pernah terlibat dengan filem Captain Marvel, dan juga Eternals. Di dalam filem ini Gemma Chan membawa watak Maya yang merupakan isteri kepada Joshua tetapi dia mempunyai perasaan berlainan terhadap AI berbanding dengan Joshua. Konflik menjadi bahagian penting di dalam filem ini dan juga menjadikannya lebih menarik.

Seterusnya adalah Madeleine Yuna Voyles yang mengejutkan membuat debut lakonannya di dalam filem ini sebagai Alphie, saya kata mengejutkan kerana lakonan beliau di dalam filem ini sangat berkualiti bagaikan sudah berpengalaman di dalam dunia lakonan. Beliau juga membawa watak yang rumit iaitu AI ataupun robot yang mempunyai perasaan seperti manusia.

Penceritaan AI Yang Unik

Seperti yang saya katakan di atas, peperangan di antara AI dan manusia adalah latar belakang sahaja dengan sebaliknya fokus utama filem ini adalah memperlihatkan AI terutama melalui watak Alphie mempunyai emosi dan “pemikiran” tersendiri menjadikan satu-satunya perbezaan di antara AI dan manusia adalah AI dibina manakala manusia dilahirkan.

Pada masa sama, persoalan mengenai adakah AI mempunyai emosi ini adalah satu pengaturcaraan ataupun program sahaja dan berbeza dengan bagaimana manusia merasakan emosi. Namun, jika emosi oleh AI ini juga memberi kesan kepada bagaimana mereka membuat keputusan, seperti Alphie yang mempunyai emosi yang inginkan setiap robot dapat hidup secara bebas, adakah ini berbeza dengan emosi yang dirasai oleh manusia?

Oleh itu, walaupun AI bukan sesuatu yang baharu di dalam filem, tidak kira sebagai protagonis ataupun antagonis, akan tetapi The Creator membawa penceritaan ini dengan unik dan lebih menarik.

Juga Menyentuh Penceritaan Keluarga Dan Cinta

John David Washington sebagai Joshua mempunyai perhubungan yang rapat dengan Maya lakonan Gemma Chan, mereka adalah suami isteri akan tetapi kedua-dua mereka mempunyai rahsia tersendiri yang menjadikan konflik kepada perhubungan mereka. Saya sebelum ini mengatakan yang pertempuran di antara AI dan manusia adalah latar belakang sahaja bagi filem ini, kerana fokus masih lagi mengenai kisah cinta dan juga kekeluargaan di antara mereka berdua.

Kisah kekeluargaan ini juga disampaikan melalui perhubungan di antara Joshua dengan Alphie, walaupun Joshua ditugaskan untuk menculik Alphie daripada AI akan tetapi perhubungan mereka berubah apabila Alphie sendiri memperlihatkan dia mempunyai sifat seperti manusia. Perhubungan di antara Joshua dan Maya juga memberi kesan kepada Joshua untuk menjadi sesuatu yang lebih kepada Alphie di dalam filem ini.

Penceritaan ini juga menjadi sangat baik kerana dinamik lakonan di antara John David Washington, Gemma Chan dan juga Madeleine Yuna Voyles. Ketiga-tiga mereka menyampaikan watak masing-masing dengan berkesan menjadikan setiap elemen yang ingin disampaikan di dalam filem ini dilakukan dengan berkesan.

Filem Yang Membuatkan Kita Berfikir

Perkara seterusnya yang menarik mengenai filem ini saya boleh simpulkan adalah filem ini akan membuatkan penonton berfikir mengenai peranan AI, filem ini memperlihatkan kesan penggunaan mereka kepada kehidupan manusia, tidak kira baik ataupun buruk mengenainya, tidak kira menolong ataupun melawan manusia.

Filem ini juga seperti saya katakan sebelum ini, akan membuatkan penonton akan tertanya-tanya mengenai perbezaan konsep kehidupan dan AI, bagaimanakah kita membezakan emosi dengan pengaturcaraan jika kedua-dua memberi kesan kepada pilihan yang dilakukan oleh manusia dan juga AI. Pelbagai persoalan ini yang membuatkan saya sangat menyukai filem The Creator, menonton filem ini bukan sekadar sebagai satu hiburan sahaja tetapi sesuatu yang saya terus fikir apabila keluar daripada pawagam.

The Creator Kini Di Pawagam!

Jika anda masih tidak menonton filem The Creator, filem ini sudah mula ditayangkan di pawagam-pawagam berhampiran anda. Selain tayangan biasa, The Creator juga ditawarkan melalui IMAX dan juga GSC Big untuk memberi pengalaman tontonan yang bersesuaian dengan visual-visual dalam filem ini.

Penafian: Advertorial dari Disney Malaysia

Leave a Reply