The Expendables pertama kali dikeluarkan 13 tahun yang lepas dengan premis membawa pelbagai bintang-bintang filem aksi di dalam satu filem, ia adalah menarik. Premis terus dikembangkan lagi dengan filem kedua dan filem ketiga, akan tetapi magis tersebut semakin lama, semakin kurang berkesan. The Expendables 3 terutamanya boleh dikatakan menyertakan paling ramai bintang tetapi gagal untuk menjadi satu filem yang baik, terutama mereka memilih untuk menjadikannya filem boleh ditonton oleh kanak-kanak berbanding 18+ sebelum ini.
Bagi The Expendables 4 ataupun Expend4bles, mereka kembali menjadikan filem yang lebih ganas 18+, namun dengan senarai pelakon yang lebih biasa berbanding filem ketiga, antara pelakon baharu adalah Curtis Jackson (50 Cent), Megan Fox, Tony Jaa dan Iko Uwais. Adakah filem ini lebih baik berbanding filem-filem sebelum ini, secara jujurnya saya tidak langsung ingat mengenai filem-filem lain semasa menonton filem keempat ini, namun secara kendirinya Expend4bles bukanlah satu filem yang baik.
Saya tidak mengharapkan satu penceritaan seakan filem Christopher Nolan ataupun Denis Villeneuve, kerana ramai yang akan menonton filem ini adalah untuk aksi sahaja. Namun, sekurang-kurangnya penceritaan yang ada, walau betapa ringkas, perlu disampaikan dengan baik untuk menjadi pengisi dan juga menjadikan segala aksi-aksi yang dilakukan memberi nilai dan bukan sahaja aksi untuk sekadar aksi sahaja.
Malangnya, filem ini menyampaikan penceritaan bukan dengan cara yang baik, ia mungkin disebabkan oleh penulisan itu sendiri ataupun melalui pilihan suntingan yang terlalu janggal. Saya boleh katakan bahagian pembukaan untuk filem ini adalah pembukaan yang paling kurang menarik pernah saya tonton daripada satu filem yang saya tonton baru-baru ini. Ia bermula dengan satu serangan di satu tempat, kemudian bertukar kepada Sylvester Stallone yang menaiki motosikal dan tajuk filem ini dikeluarkan, bagi saya susunan pembukaan ini sangat aneh dan tidak memberi first impression yang baik.
Terdapat beberapa plot yang ingin menjadikan penceritaan lebih rumit berbanding biasa, akan tetapi disebabkan penyampaian yang kurang berkesan menyebabkan segala bahagian plot ini tidak memberi sebarang kesan emosi ataupun menjadikan filem ini lebih menarik. Seperti saya katakan sebelum ini, saya tidak berharap penceritaan yang mendalam, biasa-biasa sudah mencukupi tetapi Expend4bles masih berjaya untuk mengecewakan saya.
Bagi barisan pelakon pula, selain daripada Tony Jaa dan Iko Uwais, penambahan watak baharu tidak memberi kesan yang positif untuk filem ini, Megan Fox terasa sangat kaku, bukan sahaja lakonannya tetapi bagaimana wataknya disertakan di dalam filem ini juga terasa sangat memaksa, perkara yang sama saya boleh katakan mengenai 50 Cent, saya tidak merasakan wataknya memberi sebarang impak di dalam filem ini selain daripada beberapa dialog yang tidak penting.
Manakala untuk pelakon yang kembali juga tidak memberi impak yang besar kecuali Jason Statham bahkan saya boleh katakan ini adalah filem Jason Statham dan bukan lagi The Expendables, Sylvester Stallone sendiri menjadi watak sampingan sahaja di dalam filem ini. Jason Statham adalah pelakon aksi yang baik, tetapi saya tidak ingin tonton satu lagi filem beliau, sebaliknya ingin melihat pelakon-pelakon aksi diberikan ruang yang sama.
Penulisan filem ini juga tidak membantu, terlalu banyak cubaan untuk melakukan “one-liner” tetapi saya tidak merasakan ada yang berjaya disampaikan dengan baik, ada masa ia terasa mendatar, ada yang terlalu cringe menjadikan sebarang cubaan untuk beberapa watak berkomunikasi semasa sendiri tidak menjadi dan menjadi sebab tambahan mengapa penceritaan filem ini tidak disampaikan dengan baik.
Tony Jaa dan Iko Uwais membawa watak mereka dengan baik tetapi seperti pelakon-pelakon yang lain, tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk memberi sebab yang kukuh bagi membawa mereka di dalam filem ini. Mereka dapat memperlihatkan beberapa pertempuran dan aksi yang menarik tetapi terlalu pendek dan ditambah lagi dengan kamera di dalam filem ini sangat mengecewakan terutama di dalam memperlihatkan aksi-aksi pertempuran.
Bagi saya Jason Statham, Tony Jaa dan Iko Uwais adalah tiga pelakon aski berpengalaman yang tidak perlu untuk menggunakan helah kamera untuk menjadikan sesuatu aksi itu lebih pantas atau menarik, oleh itu apabila filem ini menggunakan gaya kamera yang sering bergerak, dan zum terlalu dekat dengan pelakon, ia menjadikan aksi bukan sahaja kurang menarik tetapi membuatkan saya tidak senang untuk tonton. Saya tidak dapat memikirkan sebab untuk mendapatkan pelakon-pelakon aksi yang hebat ini tetapi disampaikan dengan pilihan kamera seperti ini.
Saya biasanya tidak terlalu mementingkan kualiti CGI atau kesan visual di dalam filem, kerana biasanya ia tidak akan menentukan sesuatu filem itu menarik ataupun tidak, namun oleh kerana Expend4bles tidak mempunyai penawaran lain, saya mengharapkan sekurang-kurangnya ia kelihatan berkualiti. Malangnya, filem ini juga gagal di dalam aspek ini, kebanyakan CGI kelihatan sangat mengecewakan, ada masa ia menjadi sebahagian daripada perkara komedi bagi filem ini.
Sepanjang 1 jam 43 minit filem ini, saya boleh katakan lebih kurang 20 minit semasa filem ini memfokuskan kepada pertempuran sahaja filem ini boleh ditonton dengan sedikit menghiburkan. Bahagian-bahagian lain sama ada mengecewakan ataupun tidak akan memberi sebarang reaksi daripada saya. Saya merasakan yang filem ini dihasilkan sekadar untuk memberi ruang kepada Jason Statham untuk menjadi hero sekali lagi.
Akhir kata, The Expendables adalah satu filem yang sepatutnya berakhir daripada filem pertama lagi, mungkin dua filem akan tetapi filem keempat ini membuktikan yang ia telah menjadi satu siri yang tidak mempunyai sebarang tujuan. Filem ini mengecewakan daripada pelbagai aspek dan kerana terus memberi fokus kepada aksi menjadikan ia sedikit menarik terutama dengan filem ini kembali menyertakan aksi-aksi ganas, selain daripada itu, carilah filem yang lain.
Penafian: Tayangan untuk Expend4bles disediakan oleh Warner Bros. Malaysia bagi tujuan ulasan ini.