Insomniac Games ketika acara State of Play telah berkongsi beberapa treler baharu untuk Marvel’s Spider-Man 2, antaranya adalah treler yang memfokuskan dunia terbuka di dalam permainan ini.
Seperti diumumkan sebelum ini, Bandar New York kali ini menyertakan dua lagi kawasan baharu iaitu Brooklyn dan Queens, menjadikan ia 2 kali ganda lebih besar berbanding permainan pertama.
Treler ini juga berkongsi lanjut mengenai aktiviti-aktiviti dunia terbuka yang boleh dilakukan oleh pemain. Dengan permainan ini menyertakan dua Spider-Man iaitu Peter Parker dan Miles Morales, pemain boleh melakukan penukaran watak pada bila-bila masa sahaja dan sesetengah aktiviti hanya boleh dilakukan salah seorang ataupun secara bersama.
Peter Parker dan Miles Morales juga akan menerima ‘kepak’ yang membolehkan mereka meluncur memberikan cara baharu dan yang lebih mudah untuk mengembara di bandar New York ini.
Selain itu, mereka juga mengumumkan yang di dalam permainan ini terdapat 65 kostum berbeza untuk Spider-Man dan setiap daripadanya mempunyai beberapa gaya berlainan memberikan lebih 200 gaya yang berbeza.
Marvel’s Spider-Man 2 akan dikeluarkan pada 20 Oktober 2023 secara eksklusif untuk PlayStation 5.