Skip to main content

Bagi yang mengikuti perkembangan terbaru mengenai dunia bola sepak mesti sekurang-kurangnya mendengar mengenai kelab bola sepak Wrexham AFC iaitu kelab yang bertempat di bandar Wrexham di Wales. Kelab ini mula mendapat nama selepas pelakon Deadpool Ryan Reynold bersama dengan Rob McElhenney telah mengambil-alih kelab tersebut dengan harapan suatu hari nanti berjaya mencapai tahap tertinggi bola sepak Inggeris iaitu untuk memasuki Liga Premier.

Welcome to Wrexham adalah siri dokumentari yang bermula pada tahun lepas dengan musim pertama mempunyai 18 episod dan boleh ditonton di Disney+ Hotstar. Musim kedua untuknya juga akan mula tiba pada minggu ini dan saya telah berpeluang untuk tonton tiga episod pertama daripada 15 episod yang akan tiba musim ini.

Musim ini sudah semestinya lebih menarik jika anda melihat kejayaan Wrexham pada musim lepas untuk keluar daripada National League dan memasuki EFL League Two, iaitu liga tahap keempat di dalam liga bola sepak Inggeris. Namun, tiga episod pertama untuk musim ini, bermula dengan tidak terlalu memfokuskan kepada perihal bola sepak, tetapi memfokuskan kepada manusia-manusia yang berkait dengan kelab tersebut.

Episod pertama memfokuskan kepada dua pemilik iaitu Ryan Reynolds dan Rob McElhenney yang juga menyentuh mengenai birokrasi dan juga politik yang perlu dihadapi oleh mereka untuk mengembangkan lagi kelab bola sepak ini, mereka juga telah mendapat kunjungan King Charles III iaitu Raja untuk United Kingdom.

Manakala episod kedua pula menyertakan dua ceria yang berhubung iaitu mengenai penyerang Wrexham iaitu Paul Mullion yang mendapat pengesahan yang anak lelakinya disahkan autusime, satu lagi kisah adalah mengenai Millie Tipping iaitu peminat setia Wrexham AFC yang juga merupakan autusime. Episod ini dilakukan dengan sangat baik untuk kesedaran mengenai autusime dan juga memperlihatkan sisi lain di dalam kelab bola sepak.

Manakala episod ketiga, ia mula lebih memfokuskan kepada bola sepak itu sendiri memfokuskan kepada perlawanan melawan Notts County iaitu pasukan pencabar terdekat untuk Wrexham di dalam merebut tempat pertama di dalam liga tersebut. Episod ini juga ada menyentuh mengenai pendapat peminat-peminat lawan mengenai kelab Wrexham yang dianggap sebagai kelab “Hollywood” kerana pemiliknya.

Buat masa ini tidak disahkan lagi bagaimana episod-episod seterusnya akan dilakukan, akan tetapi daripada tiga episod pertama ini saya sangat menyukainya kerana ia bukan sahaja memfokuskan kepada kelab bola sepak itu sendiri, tetapi juga memperkenalkan kepada manusia-manusia lain yang terlibat secara langsung dan juga secara tidak langsung dengan kelab bola sepak ini.

Oleh itu, jika anda ingin mengikut mengenai kelab bola sepak, Welcome to Wrexham musim kedua ini sudah semestinya satu siri dokumentari yang menarik untuk ditonton, tambahan lagi jika anda sudah tonton musim pertama. Jika anda tidak meminati bola sepak, siri ini juga mempunyai bahagian-bahagian lain yang boleh menarik minat anda.

Welcome to Wrexham disiarkan di Disney+ Hotstar.

Leave a Reply